PENYOKONG Sang Kenari dikejutkan dengan satu perkhabaran mendukacitakan pada Rabu apabila Kedah Darul Aman (KDA) FC mengesahkan pemergian tonggak naturalisasi, Lee Andrew Tuck selepas hanya enam bulan menabur bakti bersama kelab berpangkalan di Utara tanah air itu.
Keputusan berat itu diambil selepas melalui perbincangan dan pertimbangan bersama antara pengurusan kelab dan pemain kelahiran Halifax, England itu.
Meskipun tidak memberitahu alasan sebenar meninggalkan KDA FC, mereka pada akhirnya sepakat mengumumkan persetujuan bersama mengenai pemergian Lee Tuck dari skuad Sang Kenari.
Pengumuman tersebut sedikit sebanyak memberi duka kepada pengikut Kedah berikutan pemain naturalisasi kebangsaan itu merupakan salah satu tonggak yang memberi banyak sumbangan kepada kem Sang Kenari.
Masakan tidak, setakat 15 perlawanan Liga Super, pemain itu diturunkan oleh Nafuzi Zain, jentera utama bahagian tengah pasukan itu berjaya mencatatkan 15 jaringan gol dan tujuh hantaran bantuan bersama pasukan Hijau Kuning.
Lee Tuck, pada hujung tahun lalu menandatangani kontrak selama tahun bersama Sang Kenari bagi mengisi slot kuota pemain tempatan terakhir bagi musim ini.
Dengan pemergiannya dari Kedah, pastinya banyak kelab di luar sana yang sedang berebut dan menanti peluang untuk menyambar pemain berusia 35 tahun itu.
Sehubungan itu, berikut Majoriti senaraikan empat destinasi baharu yang mungkin disertai Lee Tuck:
1. Terengganu FC
Lee Tuck bersyukur apabila dia sudah pun menerima kewarganegaraan Malaysia. — Instagram
Pernah mendapat jolokan 'Rooney Ganu', Lee Tuck mula menyarung jersi skuad Penyu bermula 2018 hingga 2021 ketika dipinjamkan daripada Sri Pahang FC.
Pemain berketinggian 1.78 meter (m) itu menghabiskan tiga musim bersama TFC membantu pasukan itu muncul naib juara Piala Malaysia 2018, selain membantu TFC ke Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Sebelum ini, pemain berdarah kacukan Malaysia-England berkenaan pernah menyuarakan hasrat untuk kembali bermain bersama Terengganu.
2. Indonesia
Lee Tuck pernah beraksi dalam saingan Liga Thailand selama enam musim. — Agensi
Terdapat desas-desus yang mengatakan Lee Tuck berkemungkinan akan mengikut jejak langkah pengendali KL City FC, Bojan Hodak yang akan berkelana ke kelab luar negara, Persib Bandung.
Pengendali dari Croatia itu mengumumkan untuk melepaskan jawatannya menerusi satu sidang media yang berlangsung di Kompleks PKNS pada Rabu.
Ia kerana, Persib Bandung diketahui merupakan antara kelab yang berpengaruh dan terbaik di Asia.
Malah, kelab berkenaan adalah satu-satunya kelab Liga Indonesia yang tersenarai dalam 10 teratas.
Kelab bola sepak kebanggaan warga Bandung itu mendapat rating 64.6 dan menduduki tempat kelapan.
Selain itu, penghijrahannya ke kelab Indonesia tersebut boleh menemukan kembali Lee Tuck dengan bekas rakan sepasukannya ketika di TFC, iaitu Davida da Silva yang kini turut bermain untuk Persib Bandung.
Gabungan kedua-dua pemain itu dilihat akan memacu Persib Bandung merebut slot ke pentas Asia.
3. Sri Pahang FC
Lee Tuck melakukan debut bersama skuad Harimau Malaya selepas bergelar naturalisasi pada 31 Ogos 2022. — Facebook
Sementara itu, terdapat juga pandangan yang mengatakan Lee Tuck bakal beraksi kembali bersama Sri Pahang FC.
Apatah lagi dia sebelum ini pernah mengakui bahawa pasukan Pantai Timur itu merupakan antara kelab yang terbaik.
Pemain yang pernah beraksi dalam Liga Thailand dan Bangladesh itu menyertai skuad Tok Gajah bermula tahun 2017 hingga 2021 dan dalam tempoh itu, dia juga pernah dipinjamkan ke Terengganu.
Berita peninggalannya daripada Pahang sebelum ini bukan sahaja hangat diperkatakan, malah turut dihujani pelbagai spekulasi dan persoalan dalam kalangan penyokong tempatan.
Dalam pada itu, dia turut menerima kecaman ramai susulan ada dakwaan mengatakan punca utama Pahang menamatkan kontrak pemain tersebut adalah kerana permintaan gaji yang terlampau tinggi.
Difahamkan, kos yang diminta pemain itu terlampau mahal sehingga mencecah ratusan ribu ringgit yang sekali gus mendatangkan pelbagai kesukaran serta masalah kepada pengurusan kelab.
Bagaimanapun, keputusan tersebut membuatkan ramai peminat kecewa lantaran dia merupakan antara pemain tengah terbaik dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).
4. Liga Arab
Lee Tuck bermain dengan skuad kebangsaan selepas memperoleh kerakyatan Malaysia. — Facebook/Sri Pahang
Dalam masa sama, timbul desas-desus yang mengaitkan dia dengan kelab Arab Saudi untuk beraksi dalam saingan Liga Pro Arab Saudi.
Liga Arab Saudi terkenal dengan pakej kewangan menarik yang boleh ditawarkan kepada pemain-pemain bertaraf bintang.
Antaranya, Cristiano Ronaldo yang memulakan rentak di Arab Saudi selepas berpindah ke Al Nassr dari Manchester United dan menandatangani perjanjian lumayan.
Selain itu, legenda di Liga Perdana Inggeris (EPL), Kante, Koulibaly dan Ruben Neves juga berpindah ke Timur Tengah apabila masing-masing menandatangani perjaniian dengan Al Ittihad dan Al Hilal.
Justeru, tidak mustahil jika kelab di Arab Saudi mampu memberi bayaran selaras dengan permintaan Lee Tuck. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram