KEDAH Darul Aman (KDA) FC mengejutkan penyokong Sang Kenari apabila mengesahkan pemergian tonggak naturalisasi, Lee Andrew Tuck selepas hanya enam bulan menabur bakti bersama kelab berpangkalan di Utara tanah air itu.
Menurut kenyataan di laman media sosial KDA FC, keputusan itu dibuat selepas beberapa perbincangan dan pertimbangan bersama antara pengurusan kelab dan Lee Tuck dan akhirnya mereka sepakat mengumumkan persetujuan bersama mengenai pemergian Lee Tuck dari skuad Sang Kenari.
Pengumuman tersebut sedikit sebanyak memberi duka kepada pengikut Hijau Kuning berikutan pemain naturalisasi kebangsaan itu merupakan salah satu tonggak yang memberi banyak sumbangan kepada kem Sang Kenari.
Masakan tidak, setakat 15 perlawanan Liga Super pemain berusia 35 tahun itu diturunkan oleh Nafuzi Zain, Lee Tuck sudah merekodkan 15 jaringan gol dan tujuh hantaran bantuan bersama pasukan Hijau Kuning.
KDA FC mengucapkan selamat tinggal kepada Lee Tuck. — Facebook/KDAFC
"Sepanjang musim ini, Lee Tuck telah mempamerkan dedikasi yang tinggi, kemahiran yang luar biasa, dan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap prestasi KDA FC.
"Persembahan luar biasa dia di atas padang telah meninggalkan kesan yang besar di hati peminat, dan sumbangan dia kepada keputusan perlawanan pasukan akan sentiasa diingati dengan penuh memori indah dan terima kasih.
"Seperti mana-mana perjalanan pemain bola sepak, peralihan adalah sebahagian dalam kerjaya seorang atlet. Keputusan ini telah dicapai dengan cara yang baik, dan kami menghormati keinginan Lee Tuck.
"Walaupun dia tidak akan lagi memakai jersi kelab ini, kami tidak ragu-ragu bahawa Lee Tuck akan terus bersinar dalam kerjaya masa depannya," memetik kenyataan itu pada Rabu.
Dalam pada itu, dengan kehilangan pemain tengah menyerang itu, ia secara tidak langsung akan menambah kelompangan pada bahagian serangan Kedah terutamanya apabila baru-baru ini KDA FC turut kehilangan penyerang sayap, Al-Hafiz Harun yang dipinjamkan ke Penang FC.
Oleh itu tidak hairanlah jika ada penyokong mula membayangkan bahawa kehilangan pemain yang mampu beraksi sebagai penyerang sayap itu juga akan memberi impak kepada keberkesanan Ifedayo Olusegun untuk menjaringkan gol.
"Kalau Amirul (Amirul Hisyam) yang digugurkan kami penyokong tak terkilan sangat. Yang inilah (Lee Tuck) bagi hidup bahagian tengah. Kalau tidak dapat pengganti, mati kutu Ifedayo tunggu Amirul jolok bola," kata penyokong KDA FC, Muhammad Azim.
"Ifedayo kena tunggu dekat pertahanan sendiri dapatlah bola itu," kata peminat Sang Kenari, Mfm Buu,
"Penatlah Ifedayo nak cover satu padang lepas ini. Perlawanan terakhir pun dah jadi pemain sayap," jelas Muhammad Azim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram