Forestieri cedera, Solari perlu beri peluang buat Safawi Rasid


  • Podium
  • Ahad, 23 Jul 2023

Pasukan JDT dinobatkan juara selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC 2-0 pada perlawanan akhir Piala FA 2023 di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu. — Bernama

KELAB pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) pada Sabtu memastikan Piala FA terus berada dalam dakapan selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) 2-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor, pada Sabtu.

Walaupun pasukan itu pada mulanya dilihat agak bergelut menembusi benteng pertahanan skuad Warga Kota, namun dua gol hasil jaringan Hong Wan dan pemain import, Leandro Velazquez pada babak kedua perlawanan itu sekali gus memastikan Piala FA berjaya dipertahankan buat dua musim berturut-turut.

Usai daripada kemenangan itu, kegembiraan penyokong sememangnya tidak dapat disangkal lagi terhadap pasukan yang berpangkalan di Selatan tanah air tersebut.

Selain itu, pemain tengah Hong Wan turut mencipta sejarah tersendiri dengan meledakkan gol sulung sepanjang kariernya dengan JDT.

Namun, di sebalik kemenangan skuad Harimau Selatan itu, terselit satu berita buruk yang melibatkan tonggak utama pasukan tersebut, Fernando Forestieri.

362684845_849308739898437_2033316667270375302_n

Forestieri mengalami kecederaan pada minit-minit akhir permainan berpunca daripada terjahan pemain skuad Warga Kota, Akram Mahinan. — Facebook/ JohorSouthernTigers

Pemain import Argentina itu, difahamkan mengalami kecederaan pada minit-minit akhir permainan berpunca daripada terjahan daripada pemain skuad Warga Kota, Akram Mahinan.

Sehubungan itu, dengan kecederaan kaki yang dialami pemain berusia 33 tahun itu sudah pasti menimbulkan sedikit kerisauan dalam penyokong.

Hal ini kerana dengan Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia AFC (ACL) bakal bermula pada Ogos depan, pasukan itu pastinya memerlukan pemain lincah seperti Forestieri.

Walaupun begitu, jika melihat daripada sudut positif, kehilangan penyerang tersebut boleh membuka ruang kepada Safawi Rasid untuk beraksi semula.

Sejak pulang dari tempoh pinjamannya ke Liga Thailand, pemain sayap masih belum lagi mendapatkan kepercayaan daripada pihak kejurulatihan dengan aksi dari bangku simpanan ketika berdepan Negeri Sembilan FC merupakan satu-satunya penampilannya.

Sehubungan itu, ketua jurulatih JDT, Esteban Solari seharusnya memberi peluang kepada pemain berumur 26 tahun berkenaan.

2126671

Jaringan memukau Safawi menarik perhatian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang memuat naik gol menarik yang dihasilkan Safawi. — Facebook/FAM

Jika melihat kepada prestasinya bersama skuad Harimau Malaya, anak kelahiran Dungun, Terengganu ini masih lagi berbisa.

Aksinya itu dapat dilihat ketika skuad kebangsaan mengalahkan Kepulauan Solomon 4-1 dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Jun lalu.

Pada perlawanan tersebut, Safawi berjaya meledakkan satu gol pada minit ke-77 apabila dia menerima hantaran Lee Tuck berjaya menggunakan kemahiran dimilikinya bagi merobek gawang Kepulauan Solomon.

Malah, jaringan memukau Safawi itu turut menarik perhatian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang memuat naik gol menarik yang dihasilkan pemain tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram