Lapan tahun lalu, Dollah Salleh idam naturalisasi 5 pemain perkuat Harimau Malaya


  • Podium
  • Rabu, 26 Jul 2023

Patrick (kanan) berjaya menjaringkan gol ketika lawan Liverpool pada 2015.

GUILHERME de Paula dan Liridon Krasniqi antara dua pemain naturalisasi Harimau Malaya yang gagal menyerlah bersama skuad kebangsaan sekali gus menyebabkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak lagi berminat untuk meneruskan proses itu terhadap pemain import lain.

Namun begitu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan FAM masih lagi memberikan kelonggaran buat kelab-kelab Liga Malaysia (Liga M) untuk menaturalisasikan pemain-pemain import yang sudah beraksi di negara ini lebih lima tahun.

Kuala Lumpur City FC (KLC FC) musim ini menaturalisasikan kapten pasukan mereka, Paulo Josue dan khabar angin mengatakan Romel Morales turut akan mengikuti jejak langkah pemain berusia 34 tahun itu.

Sri Pahang FC pula memberikan kerakyatan kepada Sergio Aguero dan Lee Tuck pada musim lalu dan dipanggil untuk menyertai skuad Harimau Malaya beraksi dalam Piala AFF 2022.

Johor Darul Takzim pula musim ini berjaya mendapatkan khidmat 'maestro' kelahiran Brazil, Endrick dos Santos sebagai status pemain tempatan selepas dia sudah beraksi dalam negara ini sejak 2018.

Thiago (tengah) dan Bikana (kanan) pernah disebut-sebut sebagai calon naturalisasi skuad kebangsaan.

Tetapi adakah anda tahu, lapan tahun lalu Datuk Dollah Salleh pernah secara terbuka berminat menaturalisasikan pemain-pemain import Liga M bagi memperkuatkan skuad kebangsaan ketika beliau menjawat jawatan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya pada 2015.

Menurut laporan The Star bertarikh 26 Julai 2015, perkara itu dilontarkannya selepas perlawanan persahabatan di antara Malaysia XI dan Liverpool FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 24 Julai 2015.

Lebih terkejut lagi, kehadiran lima pemain import dalam skuad itu berjaya mengikat juara 19 kali Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan keputusan 1-1 yang mana gol Malaysia dijaringkan oleh Patrick Ronaldinho Wleh.

Dollah memuji lima pemain yang dipanggilnya iaitu Patrick Wleh (PKNS FC), Zah Rahan Krangar (Felda United), Chad Souza, Thiago Junior (Perak) dan Vincent Bikana (Terengganu) yang membawa impak segera dalam skuad pilihan Malaysia.

Jurulatih berusia 59 tahun itu mengemukakan cadangannya bagi merapatkan jurang kualiti skuad kebangsaan dengan negara-negara lain ketika itu.

"Pemain import, terutamanya pemain pertahanan, memberikan impak segera menghalang pemain Liverpool daripada menyebabkan kami bolos lebih banyak.

"Thiago melakukan tugas yang baik mengetuai benteng pertahanan ia sekali gus membuatkan pemain tempatan dapat belajar banyak perkara positif.

"Ini mungkin jawapan sementara untuk menghentikan kemerosotan pasukan kebangsaan," kata Dollah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram