JANTUNG penyokong Hijau Kuning bagai nak gugur apabila dikejutkan dengan berita pemergian pemain tengah, Lee Andrew Tuck dari Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Rabu menerusi persetujuan bersama pasukan berpangkalan di Utara tanah air tersebut.
Berdasarkan kenyataan di laman Facebook rasmi KDA FC, persetujuan secara bersama itu dibuat selepas mengadakan beberapa perbincangan dan pertimbangan antara pengurusan kelab dan Lee Tuck.
Kehilangan pemain naturalisasi itu dalam skuad Sang Kenari sememangnya akan memberikan kesan kepada jentera serangan KDA FC berikutan Lee Tuck yang banyak memainkan peranan membantu membuat hantaran bantuan mahupun jaringan gol.
Perkara itu dapat dibuktikan menerusi statistik yang menunjukkan setakat 15 perlawanan Liga Super pemain berusia 35 tahun itu diturunkan oleh Nafuzi Zain, Lee Tuck sudah merekodkan 15 jaringan gol dan tujuh hantaran bantuan bersama pasukan Hijau Kuning.
Oleh itu, ramai penyokong membangkitkan persoalan punca utama pemain kelahiran England itu memutuskan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Kedah walaupun baru hanya enam bulan berbakti bersama skuad Sang Kenari.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut tiga punca Lee Tuck membuat keputusan drastik meninggalkan Kedah pada jendela perpindahan kedua ini;
1) Tawaran lebih lumayan
Lee Tuck ketika beraksi bersama Sri Pahang. — Instagram/LeeTuck
Mendapat tawaran yang lumayan ataupun lebih baik boleh menjadi faktor seseorang pemain bola sepak profesional memilih untuk berhijrah ke pasukan lain berikutan ia juga merupakan sebagai jalan untuk mengembangkan karier mereka.
Sejurus sahaja berita pemergian Lee Tuck dimuat naik di laman rasmi KDA FC, timbul pelbagai spekulasi mengaitkan pemain itu akan menyertai liga luar negara dan antara yang disebut-sebut ialah Liga Divisyen Satu Thailand serta Liga Profesional Saudi.
Lee Tuck sememangnya dikenali sebagai seorang pemain yang sering bertukar kelab baharu dan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), tonggak itu sudah mencatatkan sebanyak empat pasukan iaitu Negeri Sembilan FC, Sri Pahang, Terengganu FC serta KDA FC.
Malah, penghijrahannya ke Sang Kenari pada awal musim 2023 juga mencetuskan kontroversi dalam kalangan penyokong Tok Gajah sehingga mereka melabelkan Lee Tuck sebagai pemain yang tidak kenang jasa bekas majikannya walaupun selepas Sri Pahang membantu proses naturalisasinya.
2) Pengubahsuaian posisi
Lee Tuck bukan hanya beraksi di posisi tengah, malah sebagai penyerang sayap. — Facebook/KDAFC
Selain daripada mendapat tawaran yang lebih baik, adalah tidak mengejutkan jika Lee Tuck memilih untuk bertukar angin berikutan ingin beraksi di posisi kegemarannya iaitu sebagai pemain tengah menyerang.
Bukanlah ingin mengatakan pengendali Kedah, Nafuzi Zain tidak memberinya peluang beraksi sebagai tonggak tengah menyerang namun jika dilihat pada musim ini, pengendali berusia 44 tahun itu banyak meletakkan pemain itu sebagai penyerang sayap.
Pertukaran posisi itu berlaku berikutan pengendali berusia 44 tahun tersebut baru berada di tahun pertamanya untuk mengendalikan pasukan Kedah dan masih mencari ramuan terbaik untuk melatih skuad Hijau Kuning.
Seseorang pemain profesional lebih gemar untuk kekal berada di satu posisi kerana percaya kehebatan dan skilnya akan semakin menyerlah berikutan mereka beraksi dengan peranan kegemaran.
3) Peluang lebih bersinar di Asia
Lee Tuck merupakan antara wajah utama Kedah pada musim ini. — Facebook/KDAFC
Dengan khabar angin Lee Tuck akan melebarkan sayap ke Liga Thailand dan Liga Pro Arab Saudi, status majikan baharu pemain kebangsaan itu dijangka merupakan sebuah kelab elit yang bertanding di peringkat Asia.
Jika Lee Tuck meneruskan perjuangannya bersama skuad Hijau Kuning, bekas pemain Bangkok itu tidak akan berpeluang untuk beraksi di peringkat AFC dan perlu menunggu keputusan di akhir saingan liga.
Sekiranya tonggak tengah itu ke pasukan yang bertanding di peringkat Liga Juara-Juara AFC (ACL) ataupun Piala AFC dan mempamerkan persembahan terbaik, Lee Tuck berpeluang untuk mencipta nama di persada Asia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram