Perak sokong cadangan mekanisme penyingkiran baharu — Azim


  • Podium
  • Khamis, 27 Jul 2023

Azim bagaimanapun yakin dengan kemampuan skuad TBG selepas pelbagai perubahan dilakukan. — Facebook/Perak FC

LAUNGAN amaran Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam bahawa dua pasukan tercorot Liga Super musim ini boleh tersingkir ke saingan Liga M3 menjadikan Perak FC komited untuk memperbaiki kedudukan.

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, walaupun belum ada keputusan rasmi berhubung perkara itu, namun ia menjadi kebimbangan pihak pengurusan ketika ini dan berazam membawa perubahan untuk memastikan skuad The Bos Gaurus (TBG) terus bersaing dalam liga berkenaan.

"Untuk separuh kedua musim ini, kami akan melakukan segala yang terbaik untuk mengukuhkan kedudukan kami di pertengahan liga selain menempa pencapaian sejauh yang boleh dalam saingan Piala Malaysia dan MFL,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, Perak FC menyokong penuh mekanisme penyingkiran seperti yang dinyatakan dan bersedia menghadapinya kerana pasukan itu juga pernah melalui dan mengharungi pelbagai cabaran dari awal pembabitan sehingga kini.

1536207

Stuart melihat terdapat kemungkinan penyingkiran dilaksanakan pada penghujung musim.

Menurutnya, selepas beberapa perubahan yang dilakukan pada kakitangan kejurulatihan, pemain dan pegawai perubatan serta menstruktur semula strategi pada pertengahan musim ini, dia yakin Perak FC mampu menjadi pasukan yang lengkap dan bermotivasi untuk memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super.

Pada masa yang sama, pihaknya turut menghargai jasa penyokong TBG serta kerajaan negeri menerusi agensinya seperti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) yang sentiasa menyatakan sokongan kepada Perak FC.

Empat pasukan tercorot Liga Super ketika ini masing-masing adalah bekas pasukan Liga Perdana musim lepas yang kini bergelut untuk kekal dalam saingan Liga Super.

Perak FC berada pada kedudukan ke-11 liga dengan 13 mata, mendahului Kuching City FC dan Kelantan United (tujuh mata), selain Kelantan FC yang hanya memperoleh lima mata hasil satu kemenangan sahaja setakat ini.

Dua pasukan yang berada di kedudukan terakhir di hujung liga bakal tersingkir dan dua pasukan daripada Liga M3 berpeluang beraksi di Liga Super musim 2024, namun perkara itu tertakluk kepada kelulusan pelesenan kelab pasukan terbabit. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram