KEHILANGAN penyerang kelahiran Brazil, Giovane Gomes dijangka akan menyulitkan lagi keadaan buat Penang FC dalam usaha mereka menambah baik kedudukan dalam carta Liga Super.
Sepanjang bersama skuad Harimau Kumbang, pemain itu merekodkan pulangan yang prolifik apabila menjaringkan empat gol daripada 13 penampilan dicatatkan.
Sumbangan berkenaan serba sedikit membantu kelab Utara tanah air itu daripada berada dalam kelompok pasukan tercorot dengan mereka kini menduduki tangga ke-10 Liga Super.
Jadi, dalam usaha memastikan kedudukan mereka tidak lagi tergugat, terdapat khabar angin yang mengatakan pihak pengurusan sedang bekerja keras di sebalik tabir untuk mendapatkan import baharu.
Sebelum ini, khabar angin mengatakan Penang FC bersedia membawa masuk pemain Terengganu FC, Jordan Mintah atau penyerang berbisa Kuching City FC, Abu Kamara.
Abu Kamara merupakan salah seorang penyerang yang disasarkan Penang FC. — Facebook/Kuching City FC
Melihat kepada profil masing-masing, kemasukan mereka dijangka akan memacu jentera serangan skuad Harimau Kumbang, sekali gus menambah baik prestasi pasukan terbabit.
Bagaimanapun, hasrat untuk menyaksikan kehadiran salah seorang daripada dua penyerang itu seperti tidak kesampaian apabila laporan mengatakan khidmat mereka tidak mahu dilepaskan kelab tersendiri.
Perkhabaran berkenaan pasti menjadi satu tamparan buat penyokong pasukan itu yang mengharapkan seorang penyerang import berkualiti dapat disambar sebelum jendela perpindahan Liga Super ditutup pada awal Ogos.
Tetapi, pada Rabu, luka di hati mereka seakan-akan terubat apabila dikatakan Penang FC sudah mendapatkan khidmat pemain baharu untuk mengharungi baki musim 2023.
Ura-ura tersebut timbul berdasarkan sekeping foto di padang latihan yang dimuat naik kelab terbabit di laman Facebook rasmi mereka.
Berdasarkan pemerhatian, kelihatan seorang pemain yang tidak dikenali menyertai sesi di bawah bimbingan pengendali, Manzoor Azwira Abd Wahid bersama skuad senior.
Kelibat pemain import baharu mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan penyokong. — Facebook/Penang FC
Individu terbabit seperti berasal dari benua Afrika memandangkan struktur fizikal yang sasa di samping kulitnya kelihatan gelap.
Kehadirannya itu menyebabkan persoalan terus memenuhi ruangan komen dengan penyokong Penang FC terus berteka-teki mengenai profil serta latar belakang pemain tersebut.
"Siapakah individu yang dilihat sebagai seorang pemain import ni? Kelab masih belum memberi sebarang kenyataan. Adakah dia masih berada dalam sesi percubaan," ujar Razman Rahim.
"Siapakah pemain yang berada di belakang Rahmat (Makasuf) dalam gambar tu?" soal Eman Haris.
Setakat ini, Penang FC sudah mendapatkan khidmat tiga pemain baharu, iaitu Haziq Puad yang dibawa masuk dari Perak FC sementara Al-Hafiz Harun disambar secara pinjaman dari Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Di samping itu, pasukan berkenaan turut diperkuatkan dengan kehadiran pemain sayap kebangsaan, Kogileswaran Raj yang pulang ke tanah air selepas kontraknya bersama kelab divisyen kedua Korea Selatan, Chungbuk Cheongju ditamatkan lebih awal.
Kemasukan seorang penyerang pastinya amat diperlukan buat skuad Harimau Kumbang apabila mereka bakal berdepan cabaran getir dalam Liga Super berdepan Sabah FC di laman sendiri pada Ahad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram