'Kerana mulut, badan binasa', Faisal sertai senarai 3 individu didenda FAM akibat komen pedas


  • Podium
  • Khamis, 27 Jul 2023

Faisal terpaksa melupakan aksinya bersama skuad Gergasi Merah untuk sekurang-kurangnya sebulan. — Facebook/Selangor FC

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Rabu mengumumkan Faisal Halim akan dikenakan penggantungan daripada aktiviti bola sepak akibat komen yang dikeluarkannya sebelum ini.

Kenyataan yang dibuat selepas aksi Liga Super menentang Sabah FC pada 27 April lalu menyaksikan pemain berkenaan seakan-akan menyalahkan segelintir pihak mengenai kebangkitan yang cuba dilakukan skuad Gergasi Merah.

Berdasarkan pengumuman badan induk bola sepak itu, Faisal akan dikenakan hukuman secara automatik selama sebulan yang akan menyaksikannya ketinggalan lima perlawanan.

Selain itu, kapten skuad kebangsaan berkenaan akan dinilai selama setahun untuk mengenal pasti sekiranya dia akan diberikan penggantungan lanjutan selama tiga bulan.

362296786_676435834530249_50559447626673044_n

Kenyataan dikeluarkan Selangor FC berikutan penggantungan Faisal Halim.

Keputusan tersebut dijangka akan memberi satu tamparan hebat terhadap prestasi Selangor FC dalam saingan domestik sehingga menjejaskan peluang mereka untuk merebut slot ke pentas Asia.

Tindakan terbabit mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air yang berpendapat hukuman itu tidak setimpal dengan komen dibuat.

Bagaimanapun, ada juga yang berasakan tindakan yang dibuat FAM itu adalah wajar berikutan kenyataan Faisal yang dengan sengaja melanggar peraturan perbadanan terbabit.

Untuk menguatkan lagi pandangan mereka itu, beberapa kes terdahulu mula bertebaran di media sosial bagi menceritakan bahawa penggantungan Faisal tersebut adalah tepat.

Melihat kepada kes-kes terdahulu, terdapat tiga insiden yang mana mengaitkan komen pemain serta staf kejurulatihan yang seperti dengan sengaja mencabar pendirian FAM.

1. Rezal Zambery Yahya

Pada November 2021, Rezal Zambery diberikan peranan sebagai ketua jurulatih Kelantan FC memandangkan sentuhannya cukup diyakini untuk membawa mereka kembali ke kancah Liga Super.

Harapan itu direalisasikan pengendali kelahiran Johor berkenaan dengan dia memberikan satu taktikal yang amat positif sehingga membantu mereka mencatatkan kemenangan demi kemenangan.

Namun, cabaran besar terpaksa dihadapi skuad The Red Warriors (TRW) apabila mereka hanya menamatkan saingan Liga Perdana di tangga keenam.

EA8F57C8-98D3-4EEA-8D3D-F414CC2D1C0B

Rezal merupakan ketua jurulatih skuad TRW dari 2021 sehingga 2022. Facebook/TRW Kelantan FC

Kegagalan itu bagaimanapun bukanlah memori paling pahit yang perlu ditelan Rezal dalam kariernya sebagai seorang jurulatih apabila dia pernah didenda FAM.

Hukuman tersebut dikenakan akibat satu komen dibuatnya selepas aksi Piala Malaysia menentang Sabah FC yang menyaksikan kelab Pantai Timur itu tewas 0-4 di laman sendiri.

Komen dibuat pengendali berusia 44 tahun itu dilihat mempertikaikan mutu pengadilan berikutan dua sepakan penalti diberikan kepada skuad Sang Badak.

Rezal kemudiannya dikenakan denda sebanyak RM10,000 dengan FAM menyatakan bahawa Rezal sudah melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama dengan Artikel 7 dan Artikel 82 Statut FAM.

Tidak cukup dengan itu, jurulatih berkenaan turut dikenakan penggantungan selama dua bulan daripada zon teknikal, namun ia ditarik semula selepas FAM mengguna pakai Artikel 35 Kod Tatatertib FAM yang menyaksikannya ketinggalan aksi selama sebulan sahaja.

2. E Elavarasan

Sebelum meneruskan kariernya bersama skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, E Elavarasan pernah mengendalikan beberapa pasukan dalam Liga Super.

Antara pasukan yang cukup sinonim dengan pengendali kelahiran Selangor itu adalah ketika mana dia dilantik sebagai ketua jurulatih Sarawak United pada 2020.

Meskipun tidak dapat menyuntik perubahan ke atas pasukan yang bergelut dengan masalah gaji itu, kelibatnya di tepi padang masih sukar dilupakan penyokong Ngap Sayot.

Namun, terdapat juga sedikit insiden yang menyaksikan Elavarasan dikenakan tindakan tegas daripada FAM berikutan komen yang dikeluarkan terhadap badan induk bola sepak negara itu.

FKEsTTkVQAAR0DC

Elavarasan didenda dengan sejumlah wang yang besar akibat komen yang diberikan. Facebook/Sarawak United

Pengendali berusia 61 tahun itu digantung 12 bulan daripada terlibat dalam segala aktiviti dengan dia didenda sebanyak RM10,000 selepas aksi berdepan Negeri Sembilan.

Elavarasan didapati melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama dengan Artikel 7 Statut FAM dan Artikel 82 Statut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atas tindakannya yang membuat kenyataan semasa temu ramah selepas perlawanan.

Ia sekali gus menyaksikan Sarawak United bakal kehilangan sentuhannya untuk aksi terakhir Liga Perdana musim tersebut dan saingan Piala Malaysia di samping separuh daripada kempen Liga Super mereka musim depan.

Bagaimanapun, jurulatih itu terselamat daripada hukuman berat itu selepas Jawatankuasa Tatatertib memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 35 Kod Tatatertib FAM di mana hukuman penggantungan berkenaan ditangguh terlebih dahulu.

3. B Sathianathan

Kehilangan mendiang Sathianathan yang menghembuskan nafas terakhirnya pada 18 Julai lalu memberi kesan cukup besar dalam dunia bola sepak tanah air.

Ketegasannya sepanjang bergelar seorang jurulatih amat sukar dilupakan apabila dia sering memberikan kenyataan secara terbuka setiap kali berada di hadapan lensa kamera.

Antara momen yang sukar dilupakan mengenai mendiang adalah ketika dia secara terbuka mengkritik FAM ketika masih bergelar pengendali Kelantan FA.

EV0c5cqU8AAlcmg

Sathianathan cukup dikenali dengan personalitinya yang terbuka.

Jurulatih kelahiran Perak itu dikenakan penggantungan selama enam bulan selain didenda sebanyak RM6,000 terhadap Sathianathan akibat komennya itu.

Keputusan terbabit mengakibatkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memilih untuk mencari penggantinya dengan bekas ketua jurulatih, Azraai Khor Abdullah sebagai salah satu calon.

Bagaimanapun, ia tidak memberi kesan terhadap personalitinya apabila Sathianathan terus yakin untuk memberi kenyataan ketika dalam sidang media.

Tetapi, luahan berkenaan tidak cukup untuk menyebabkan FAM memberi denda atau tindakan terhadapnya sehingga memberikannya jolokan sebagai salah seorang jurulatih terbuka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram