KEHILANGAN tonggak utama Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Lee Andrew Tuck meninggalkan kesan kepada penyokong Sang Kenari selepas beraksi cemerlang bersama pasukan tersebut.
Tonggak naturalisasi KDA FC itu mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan tersebut selepas hanya enam bulan menabur bakti bersama kelab yang berpangkalan di Utara tanah air.
Menurut kenyataan di laman rasmi Facebook KDA FC pada Rabu, keputusan itu dibuat selepas beberapa perbincangan dan pertimbangan bersama antara pihak pengurusan kelab dan Lee Tuck yang akhirnya sepakat mengumumkan persetujuan bersama mengenai pemergian Lee Tuck dari skuad Sang Kenari.
Bekas tonggak utama KDA FC, Lee Tuck. — Instagram/lee_tuck
Lee Tuck sememangnya dikenali sebagai seorang pemain yang sering bertukar kelab baharu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Tonggak naturalisasi itu sudah berhijrah skurang-kurangnya empat pasukan sebelum ini iaitu Negeri Sembilan FC, Sri Pahang, Terengganu FC serta KDA FC.
Lee Tuck memperolehi naturalisasi pada Ogos 2022 ketika masih beraksi bersama Sri Pahang FC.
Bukan sahaja Lee Tuck malah empat pemain lagi pemain naturalisasi pernah mengecewakan penyokong bola sepak pasukan masing-masing apabila mengambil keputusan meninggalkan kelab masing-masing.
Berikut Majoriti menyenaraikan empat pemain naturalisasi yang pernah berkelana dalam Liga Malaysia (Liga-M).
Tonggak JDT, Mohamadou Sumareh. Agensi
1. Mohamadou Sumareh
Tonggak Johor Darul Takzim (JDT), sah menjadi pemain naturalisasi pada April 2018 yang mana dia sebelum itu membuat penampilan pertama bersama PDRM FC pada 2013.
Mohamadou Sumareh yang beraksi di posisi sayap memulakan kariernya dalam Liga Super di Malaysia bersama Sri Pahang FC sebelum berhijrah ke kelab Harimau Selatan.
Selain pernah beraksi bersama JDT, Sumareh juga pernah membantu memperkuatkan jentera serangan skuad kebangsaan.
Pemain kelahiran Gambia itu beraksi pertama kali bersama skuad Harimau Malaya pada 12 Oktober 2018 dan kali terakhir membuat persembahan pada 25 September 2022 ketika menentang Tajikistan.
Rekod jaringan Sumareh dalam skuad kebangsaan adalah tujuh gol dalam 28 perlawanan.
Pemain naturalisasi kedua negara, Liridon. — Instagram/liridonkrasniqi_8
2. Liridon Krasniqi
Penantian seluruh peminat bola sepak tanah air untuk melihat Liridon Krasniqi menyarung jersi keramat skuad Harimau Malaya akhirnya terjawab selepas dia sah bergelar pemain naturalisasi kedua negara pada Februari 2020.
Liridon juga pernah bermain bersama pasukan Melaka United FC, KDA FC, JDT dan kini masih beraksi bersama Terengganu FC.
Pemain kelahiran Kosovo itu beraksi pertama kali bersama skuad negara adalah pada 6 Mei 2021 dan terakhirnya ketika menentang Hong Kong pada 6 Januari 2022.
De Paula antara pemain naturalisasi yang turut menyarung jersi kebangsaan. — Instagram/g.depaula13
3. Guilherme De Paula
Pemain kelahiran Brazil, Guilherme De Paula diumumkan sebagai pemain naturalisasi ketiga skuad Harimau Malaya pada Mac 2021.
Bekas pemain Harimau Selatan itu membuat penampilan sulung dalam kancah liga bola sepak Malaysia pada 2015 bersama Selangor dan pernah mewakili PDRM serta Kuala Lumpur.
Pemain berusia 34 tahun itu menandatangani kontrak bersama pasukan Perak sejak tahun lalu yang bersaing dalam Liga Super.
De Paula pernah membantu skuad kebangsaan pada 6 Mei 2021 dan kali terakhir beraksi pada 14 Jun 2022 ketika menentang Bangladesh.
Penyerang kebangsaan itu kini beraksi di Divisyen 2 Liga Malaysia bersama Melaka United FC.
Kapten Sri Pahang, Sergio Aguero. — Instagram/aguero.sergio16
4. Sergio Aguero
Kapten Sri Pahang FC, Sergio Aguero mendapat kewarganegaraan pada Jun 2022.
Pemain kelahiran Argentina itu bermain di posisi bahagian tengah untuk beberapa pasukan tempatan termasuk Perak FC, Sri Pahang, Melaka United FC dan Penang FC.
Tonggak Tok Gajah yang berketinggian 1.75 meter itu melepasi tempoh untuk bergelar pemain naturalisasi.
Pemain berusia 29 tahun itu memulakan aksi bersama skuad negara pada 9 September 2022 ketika menentang Kemboja dan terakhir berada dalam skuad utama ketika berdepan Thailand awal tahun 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram