'Bakal ada penyingkiran', 4 pasukan Liga Super tunggu masa tempah tiket ke Liga M3


  • Podium
  • Rabu, 26 Jul 2023

Stuart sahkan dua pasukan tercorot Liga Super musim ini boleh tersingkir ke saingan Liga M3.

KELANTAN FC, Kelantan United FC, Kuching City FC dan Perak FC kini dalam bahaya selepas Liga Bola Sepak (MFL) mengesahkan kedudukan dua tercorot Liga Super boleh tersingkir ke saingan Liga M3.

Empat pasukan terbabit adalah bekas pasukan Liga Perdana musim lalu jelas bergelut untuk bersaing dalam Liga Super dan ia dibuktikan menerusi prestasi mereka sepanjang musim 2023.

Menghuni tangga ke-10 hingga ke-14, mereka menjadi 'lubuk tiga mata' buat pasukan lain dalam Liga Super dan lebih membimbangkan, tiga pasukan hanya berjaya menghimpun satu digit mata.

Perak FC lebih baik sedikit dengan tiga kemenangan untuk mengutip 13 mata namun Kuching City FC dan Kelantan United (tujuh mata) serta Kelantan FC (lima mata) hanya berjaya menang sekali pada musim ini.

Menerusi laporan Berita Harian, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan dua pasukan tercorot Liga Super musim ini boleh tersingkir ke saingan Liga M3.

Ini menyaksikan dua pasukan dari Liga M3 berpeluang beraksi di Liga Super musim 2024 namun Stuart menegaskan perkara itu tertakluk kepada kelulusan pelesenan kelab pasukan terbabit.

"Satu slot penyingkiran dan satu 'play-off'. Bagi pasukan Liga Super, pasukan tercorot akan tersingkir secara automatik sementara pasukan kedua tercorot akan mengharungi 'play-off' dengan naib juara Liga M3.

"Tetapi semua ini tetap bergantung jika juara dan naib juara Liga M3 mendapat lesen kelab dari MFL," katanya.

Meskipun berlaku penstrukturan liga yang menyaksikan empat pasukan Liga Perdana dinaikkan pangkat' ke Liga Super, ini tidak bermakna mereka boleh 'terselamat' sekali pun menghuni tangga tercorot.

Ini kerana undang-undang penyingkiran tetap berkuatkuasa yang mana pasukan kedua tercorot terpaksa mengucapkan selamat tinggal ke Liga Super dan kembali ke 'habibat' asal mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram