Asyik main petang, fans Sri Pahang penat 'management' seperti tak endah jadual Liga Super


  • Podium
  • Rabu, 26 Jul 2023

Setakat ini, Tok Gajah direkodkan beraksi selama tiga kali di waktu petang. — Facebook/SriPahang

SEDAR tak seda,r saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini sudah memasuki pusingan kedua. Jika diimbau kembali, tahun ini menyaksikan sebanyak 14 pasukan bertanding merebut kejuaraan Liga Super, sementara saingan Lig Perdana pula digantung sementara.

Selain perubatan format tersebut, pengelola saingan domestik iaitu Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) turut membuat perubahan besar bagi saingan Liga M 2023 apabila memperkenalkan waktu sepak mula baharu pada sebelah petang.

Setelah mengkaji perubahan tersebut, pihak MFL memutuskan waktu sepak mula pada pukul 5.30 atau 5.15 petang di semenanjung manakala di Sabah dan Sarawak pada pukul 4.30 petang atau 4.45 petang.

Selepas 18 aksi berlangsung setakat ini, kebanyakan pasukan Liga Super sudah merasai sendiri suasana perlawanan pada waktu petang dan ternyata perubahan tersebut tidak mendapat sambutan baik daripada penyokong pasukan tertentu.

Seperti baru-baru ini penyokong Tok Gajah meluahkan rasa tidak puas hati terhadap jadual Liga Super yang disusun pihak MFL apabila pasukan kesayangan mereka itu banyak diletakkan untuk bermain di waktu petang.

Berdasarkan tinjauan Majoriti, perkara itu bukanlah sekadar luahan tidak menentu daripada penyokongnya kerana melihat kepada jadual tersebut, Sri Pahang menjadi pasukan terbanyak beraksi pada waktu petang.

Tok Gajah direkodkan beraksi selama empat kali di waktu tersebut dan kiraan berkenaan termasuklah perlawanan menentang Perak FC pada 30 Julai ini yang diadakan sekitar pukul 5:30 petang di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Manakala, pasukan Selangor menjadi pasukan kedua terbanyak beraksi di petang hari iaitu sebanyak dua kali, pasukan lain pula bermain dalam dua dan satu perlawanan di waktu tersebut.

JDT PETANG

Skuad Harimau Selatan ketika perlawanan pada waktu petang menentang Kelantan FC. — Facebook/JDT

Beranggapan ia seperti memberi layanan tidak adil buat Tok Gajah, penyokong Sri Pahang meminta agar pihak pengurusan pasukan Pantai Timur itu agar tidak berdiam diri dan menyarankan untuk melakukan perubahan jadual.

"Maaf nak cakap kenapa pengurusan Pahang FC ini hanya berdiam diri, ke mereka semua setuju buat pasukan Pahang bermain di waktu petang.

"Rasanya ini kali keberapa ntah Pahang kena bermain di waktu petang dan kenapa pasukan (Johor Darul Takzim) JDT tak main waktu petang adakah kerana pemain mereka tak biasa bermain di cuaca panas," kata penyokong Sri Pahang, Mohd Yazid.

"Panas dan silau...tiket harga sama kalau siang kenalah murah sebab penonton kepanasan dan silau," tambah peminat Tok Gajah, Zulhakim Abdulaziz.

Untuk rekod, dakwaan penyokong itu bahawa JDT belum pernah beraksi pada waktu petang adalah tidak tepat kerana pada aksi menang 5-0 ke atas Kelantan FC di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada 11 Mac 2023, skuad Harimau Selatan bermain pada pukul 5:30 petang.

Keprihatinan penyokong Tok Gajah terhadap isu beraksi di petang hari timbul kerana perlawanan pada waktu tersebut lebih panas dan dikhuatiri menjejaskan kemampuan dan kecergasan pemain untuk menampilkan aksi konsisten sepanjang 90 minit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram