PENGENDALI Kuala Lumpur City FC (KL City), Bojan Hodak sah meletak jawatan selepas berjaya membimbing pasukan itu ke pentas akhir Piala FA menentang Johor Darul Takzim (JDT) musim ini.
Berita ini pastinya mengejutkan seluruh penyokong warga kota selepas Bojan boleh dilabelkan sebagai jurulatih paling berjaya KL City selepas membawa pasukan itu menjuarai Piala Malaysia 2021 dan mara ke pentas akhir Piala AFC 2022.
Menurut laporan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam di Twitter, pengendali berusia 52 tahun itu meletakkan jawatan selepas mendapat tawaran daripada sebuah kelab luar negara.
"Bojan Hodak letak jawatan. Jurulatih dari Croatia itu buat keputusan undur diri pada musim ketiga bersama KL City.
"Jurulatih yang membawa KL City ke final Piala Malaysia 2021, Piala AFC 2022 dan Piala FA 2023 itu dapat tawaran sebuah kelab luar negara.
Nenad pernah bersama KL City sebagai penolong jurulatih Bojan.
Tambahnya lagi, bekas pengendali JDT II, Nenad Bacina bakal diumumkan KL City bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Bojan.
Nenad sebelum ini bekerja rapat dengan Bojan sebagai penolong ketua jurulatih sebelum memilih untuk menjadi ketua akademi kelab Arab Saudi, Al-Fayha pada musim lalu.
Jika benar Bojan mendapat tawaran ke luar negara, ini merupakan pasukan kedua yang akan dikendalikannya selepas kali terakhir melatih kelab Indonesia, PSM Makassar pada 2020 sebelum kembali ke Malaysia bersama KL City.
Sementara itu kelab Indonesia, Persib Bandung sudah pun mengumumkan Bojan sebagai pengendali baharu kelab itu bagi menggantikan Luis Milla yang meninggalkan pasukan baru-baru ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram