Kini ranking ke-7 FIFAe, JDT|GBX tutup musim 2022/23 penuh cemerlang


  • eSports
  • Sabtu, 22 Jul 2023

Barisan pemain serta pihak pengurusan JDT|GBX musim 2022/23.

PASUKAN JDT|GBX Esports kini sudah pun menutup tirai musim 2022/23 dengan jayanya selepas berjaya melayakkan diri dalam kejohanan tertinggi FIFA iaitu FIFAe Club World Cup 2023.

Menjuarai saingan ePiala Malaysia 2022 dan melayakkan diri ke pusingan FIFAe Club World Cup adalah suatu kejayaan yang boleh JDT|GBX Esports banggakan sepanjang musim ini.

Selain itu, JDT|GBX Esports berjaya menaikkan ranking pasukan mereka sehingga berada di kedudukan ketujuh dunia dan sekali gus memberi gambaran pemain FIFA eSukan tanah air mampu menggegar pentas dunia.

Perjalanan pasukan JDT|GBX Esports terpaksa pulang awal selepas terhenti di tempat ke-17 pasukan terbaik dalam dunia kejohanan FIFAe Club World Cup 2023.

Namun ia merupakan satu pengajaran terbaik buat pemain-pemain JDT|GBX Esports kembali kuat untuk musim yang akan datang.

357496972_839172434245401_7785724298667532935_n

Pemain JDT|GBX Esports semasa berada di FIFAe Club World Cup 2023.

Pengurus JDT|GBX Esports, Aris Danial, 24, berkongsi perkembangan baru pasukan mereka selepas tamat musim ini.

"Buat masa kini, memandangkan semua kejohanan kompetitif sudah pun tamat buat pasukan JDT|GBX Esports, kami memberi fokus untuk musim baharu.

"Musim baharu mungkin akan datang dengan suasana kompetitif yang sedikit berbeza jika dibandingkan dengan siri permainan yang dahulu.

"Setiap kekalahan yang dialami sudah pasti akan kami jadikan pengajaran lebih-lebih lagi di peringkat tertinggi seperti FIFAe Club World Cup," katanya kepada Majoriti.

358650117_747494600716265_3903814979244795186_n

JDT|GBX terpaksa akur dengan kehebatan pasukan lawan.

Tambah Aris, meskipun JDT|GBX Esports tewas dan terkeluar awal daripada kejohanan FIFAe Club World Cup dia merasakan pasukan mereka tiada kelemahan.

"Bagi saya, tiada kelemahan yang ada pada pasukan kami dan faktor utama kegagalan kami di peringkat dunia adalah kerana kurang pengalaman dan juga kurang latihan bersama pasukan Eropah.

"Pengalaman yang kami pelajari adalah, latihan intensif bersama pasukan Eropah sangatlah diperlukan sebelum menghadapi kejohanan bertaraf Piala Dunia.

"Menjuarai saingan ePiala Malaysia 2022, layak ke FIFAe Club World Cup 2023, dan berjaya menduduki tangga ketujuh dalam ranking FIFA.GG adalah pencapaian terhebat JDT|GBX musim ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram