Lapan tahun lalu, Liverpool punca Selangor nyaris dipotong mata oleh FAM


  • Podium
  • Jumaat, 21 Jul 2023

Kesebelasan utama Liverpool ketika menentang Pilihan Malaysia pada 2015.

GARA-GARA Liverpool FC, Selangor FC pernah hampir dikenakan tindakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas menolak untuk melepaskan tiga pemain ke kem skuad kebangsaan pada 2015.

Pemain pertahanan Australia, Robert Cornthwaite, Afiq Azmi dan Ahmad Hazwan Bakri antara tiga pemain yang dipanggil untuk menyertai kem skuad kebangsaan bagi menghadapi persiapan perlawanan persahabatan menentang Liverpool di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 24 Julai 2015.

Jurulatih kebangsaan ketika itu, Datuk Dollah Salleh kecewa dengan tidakan Afiq dan Hazwan yang tidak melaporkan diri kerana beliau sudah mempunyai perancangan untuk dua pemain itu.

Disebabkan tidak melepaskan pemain ke kem kebangsaan, Selangor boleh dijatuhkan hukuman sekatan kerana melanggar Artikel 24.1 status pemain dan peraturan perpindahan Liga M serta berdepan denda sehingga RM50,000 dengan potongan mata Liga Super.

Screenshot 2023-07-21 at 16-06-19 MALAYSIA VS LIVERPOOL - Google Search

Patrick Ronaldinho (kanan) berjaya mengikat Liverpool dengan jaringannya. Agensi

"Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengambil tindakan sewajarnya. Pasukan dalam Liga M seharusnya mengetahui kepentingan panggilan kebangsaan. Saya kecewa dengan larangan mereka untuk melepaskan pemain.

"Saya berharap dapat melakukan perubahan kepada pasukan dalam kem latihan ini selepas kekalahan 6-0 kepada Palestin dalam kelayakan Piala Dunia bulan lalu (Jun 2015). Saya melihat Afiq dan Hazwan sebagai tonggak penting dalam rancangan saya. Ketiadaan mereka menyukarkan tugas saya sekarang kerana tiada pilihan," kata Dollah.

Skuad Pilihan Malaysia seri 1-1 menentang Liverpool FC pada aksi persahabatan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 24 Julai 2015.

Selangor tetap tidak berganjak dengan pendiriannya bahawa keputusan tidak melepaskan tiga pemain mereka menyertai latihan skuad Pilihan Malaysia ketika itu kerana percaya ia tidak bertentangan dengan peraturan.

Ini bukan kali pertama skuad Gergasi Merah berdepan masalah hampir sama apabila pada 2008, mereka pernah didenda pemotongan tiga mata apabila empat pemainnya Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Indra Putra Mahayuddin, Mohd Safee Sali dan Mohd Amirulhadi Zainal didakwa ‘cabut lari’ daripada klinik kendalian bekas penyerang kelab Liverpool, Ian Rush.

Semua pemain terbabit didenda RM1,000 manakala ironinya jurulatih Selangor ketika itu, Dollah yang dikatakan memberikan arahan kepada pemain pula didenda RM10,000. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram