PEMAIN pertahanan Johor Darul Takzim (JDT), Nazmi Faiz Mansor kini berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan minit permainan kerana perlu bersaing dengan barisan pemain berkualiti kelab itu ketika ini.
Kali terakhir Nazmi diturunkan adalah pada 15 April tahun lalu ketika JDT menentang Guangzhou FC dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) dan hanya bermain selama 15 minit tetapi menyumbang satu assist dalam perlawanan tersebut.
Kekurangan minit permainan yang diraih oleh anak jati Selangor itu boleh menyebabkan dirinya tidak mampu mencapai tahap terbaik apabila berada di atas padang, apatah lagi untuk mencapai kemuncak dalam kerjayanya.
Sekiranya dia tetap jarang diturunkan bermain untuk kelab pada masa akan datang, tidak mustahil akan lebih sukar untuk dia menyerlahkan potensinya dalam skuad.
Selain itu, demi kelangsungan kerjayanya, peminat turut merasakan penting untuk dia mengekalkan persembahan dan kecergasan sedia ada dengan bermain di kelab lain.
Justeru, seandainya JDT mempertimbangkan keputusan untuk melepaskan Nazmi Faiz ke kelab lain, berikut Majoriti senaraikan tiga destinasi baharu yang dilihat sesuai dengannya :
1. Sri Pahang FC
Nazmi Faiz (tiga dari kiri) ketika beraksi di kelab Divisyen 1 Liga Portugal, S.C Beira-Mar. — Agensi
Sekiranya Nazmi Faiz ke Sri Pahang FC, dia dilihat tidak mempunyai masalah untuk membina keserasian dengan pemain lain berikutan tonggak lain juga merupakan pemain pinjaman JDT.
Baru-baru ini, Sri Pahang FC turut mengumumkan empat bekas pemain Harimau Selatan iaitu Izham Tarmizi, Fadhli Shas, Syazwan Andik dan Azrif Nasrulhaq sebagai tonggak baharu pasukan berkenaan.
Penyokong skuad Tok Gajah mahu pemain tersebut mengikut jejak empat 'abangnya' daripada JDT yang kini mencari makan di kelab kendalian Datuk Dollah Salleh itu.
Oleh itu, berkemungkinan Nazmi Faiz tidak akan mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan barisan pemain kelab tersebut, ditambah dengan kebolehan yang dimiliki olehnya menerusi hantaran, fokus dan pergerakan yang cekap.
2. Perak FC
Pada musim lalu, Nazmi berjaya mendapat tempat dalam skuad perlawanan sebanyak 23 kali daripada 27 perlawanan. — Facebook/JOHORSouthernTigers
Perak FC memerlukan pemain tengah untuk membantu menjaringkan gol kerana setakat 17 perlawanan Liga Super, skuad kendalian Yusri Che Lah itu hanya berjaya mencatatkan 13 jaringan.
Justeru, kehadiran pemain berusia 29 tahun itu dilihat mampu membantu skuad Seladang dalam menghadapi baki liga musim ini.
Nazmi Faiz yang pernah beraksi bersama kelab Portugal, SC Beira-Mar selama lapan bulan merupakan antara pemain yang berpengalaman dan mempunyai keupayaan untuk membuat hantaran.
Oleh itu, berkemungkinan kemunculannya bakal membantu skuad The Bos Gaurus (TBG) meraih tiga mata penting sekali gus mengembalikan keyakinan penyokong pasukan tersebut.
3. Negeri Sembilan FC
Selepas tamat kontrak di kelab Eropah, Nazmi kemudian bermain bersama PKNS FC sebelum berhijrah ke Selangor FA.
Antara faktor utama kegagalan skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) berada dalam kedudukan lima terbaik Liga Super kerana tidak memiliki pemain import dan tempatan yang berkualiti.
Herold Mark Goulon, Levy Madinda dan Casagrande antara import skuad Jang, manakala, Shahrel Fikri Mohd Fauzi antara pemain tempatan di Negeri Sembilan.
Rentetan perkara tersebut, skuad Jang kurang menyerlah di saingan liga dengan hanya merekodkan 24 jaringan dalam 17 perlawanan Liga Super dan hanya empat kali meraih kemenangan setakat ini.
Oleh itu, kehadiran Nazmi Faiz dianggap mampu membantu bahagian tengah agar jentera serangan NSFC dapat menambah jaringan pada perlawanan seterusnya.
Selain itu, kehadirannya ke kelab itu mampu menyuntik nilai tambah kepada pasukan yang sememangnya memerlukan pemain tempatan yang berkualiti.
Ia kerana setakat ini, pasukan yang berada di tangga kesembilan itu dilihat tidak dibarisi oleh pemain yang memiliki pengaruh dan nama besar dalam liga tempatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram