Tiga sebab Nazmi Faiz perlu pulang ke Selangor


  • Podium
  • Khamis, 08 Jun 2023

Nazmi (tengah) ketika sesi latihan bersama pasukan JDT baru-baru ini. — Facebook/JOHORSouthernTigers

BERSAING mendapatkan tempat dalam skuad gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) bukanlah sesuatu yang mudah.

Ini kerana selain perlu bersaing dengan tonggak import, pemain juga perlu bersaing sesama sendiri dengan dengan deretan pemain pernah menyarung kebangsaan yang membarisi pasukan,

Standard tinggi ditetapkan pengurusan skuad Harimau Selatan itu menyebabkan ramai pemain mengalami krisis prestasi sehingga namanya mula tenggelam daripada dipilih untuk mendapat tempat dalam skuad utama.

Kebiasaanya, situasi tersebut sekiranya dibiarkan berlanjutan berpotensi berlarutan untuk beberapa musim sehingga menyukarkan pemain berkenaan bagi mendapatkan semula prestasi terbaik yang dimiliki,

Keadaan yang berlaku tidak terhada hanya kepada pemain biasa malah juga menimpa mereka yang pernah memegang status sebagai bintang seperti Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh.

Pada musim ini, seorang lagi pemain dilihat mula mengalami nasib serupa ialah pemain tengah JDT, Nazmi Faiz Mansor yang dilihat sukar untuk mendapatkan tempat berbanding beberapa musim lalu.

Nazmi1

Pada musim lalu, Nazmi berjaya mendapat tempat dalam skuad perlawanan sebanyak 23 kali daripada 27 perlawanan. — Facebook/JOHORSouthernTigers

Untuk rekod, setakat 15 perlawanan Liga Malaysia (M) yang diharungi skuad Harimau Selatan, dia yang berusia 28 tahun itu hanya berjaya membuat penampilan dalam dua perlawanan sebagai pemain gantian.

Lebih merisaukan, daripada jumlah tersebut, Nazmi hanya dipilih untuk berada dalam skuad perlawanan sebanyak enam kali, iaitu kurang separuh daripada kesemua jumlah aksi pasukan.

Ini berbeza berbanding musim sebelumnya yang menyaksikan dia mendapat tempat dalam skuad perlawanan sebanyak 23 kali daripada 27 perlawanan.

Meskipun menjadi pilihan kedua dalam barisan tonggak tengah JDT, dia pada musim lalu juga masih berjaya tampil sebagai pemain kesebelasan utama dalam 13 perlawanan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Disebabkan itu, terdapat pihak berpandangan bahawa Nazmi perlu mula memikirkan pilihan untuk berhjirah ke pasukan lain di Liga Malaysia untuk memastikan prestasinya tidak terus merudum.

Dalam perbincangan tersebut, antara pasukan yang sering dikaitkan dengannya tentunya Selangor FC, iaitu kelab bola sepak pertama disertainya di Liga M pada 2013.

Berikut Majoriti senaraikan tiga sebab mengapa Nazmi perlu mempertimbangkan pilihan untuk berpindah keluar daripada JDT ke kelab lain:

1) Dapatkan lebih minit permainan

nazmi3

Nazmi (kanan) ketika beraksi di Liga Juara-Juara Asia bersama JDT. — Facebook/JOHORSouthernTigers

Memasuki musim baharu kali ini, membawa masuk dua pemain tengah baharu antaranya import, Juan Muniz dan pemain naturalisasi negara, Endrick dos Santos.

Perkembangan itu dilihat menambahkan lagi tahap persaingan di bahagian tengah pasukan JDT yang sudah sedia dibarisi dengan pemain berkualiti.

Selain dua pemain baharu itu, antara nama lain menjadi pilihan utama pengendali baharu JDT, Esteban Solari di dalam skuad ialah Leandro Velazquez, Afiq Fazail dan Hong Wan.

Selain itu, Nazmi juga perlu bersaing dengan pemain tengah lain iaitu Natxo Insa, Syamer Kutty, Safiq Rahim dan Daniel Amir.

Persaingan yang tinggi itu dilihat menjadi penyumbang utama menyebabkan Nazmi semakin sukar mendapat tempat dalam skuad perlawanan, apatah lagi dipilih sebagai kesebelasan utama.

Disebabkan itu, Selangor FC dilihat merupakan pilihan yang baik untuk Nazmi sekiranya mahu mendapatkan minit perlawanan yang diperlukan.

2) Rebut tempat dalam skuad Piala Asia 2023

nazmi4

Nazmi sebelum ini merupakan pemain tengah regular sering dipanggil dalam skuad kebangsaan. — Instagram/NazmiFaizMansor

Sementara itu, lebih utama dalam usahanya bagi mendapatkan minit permainan bersama pasukan adalah bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad Harimau Malaya yang bakal beraksi di Piala Asia 2023 Januari tahun depan.

Disebabkan itu, tempoh tujuh bulan akan datang dilihat waktu yang penting untuk Nazmi membuktikan bahawa kewibawaan prestasinya untuk dipanggil oleh pengendali pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon.

Namu begitu, usaha tersebut dilihat sukar sekiranya dia terus dipinggirkan daripada skuad JDT.

Pada masa sama, meskipun dilihat sebagai pemain regular dalam skuad kebangsaan sebelum ini, namanya dilihat langsung tidak tersenarai dalam dua panggilan terakhir pasukan negara.

Kedua-dua panggilan terbaharu bagi menjalani sesi latihan dan perlawanan persahabatan antarabangsa itu merupakan rangka persediaan Pan-gon bagi mempersiapkan skuad Harimau Selatan menghadapi Piala Asia 2023.

Sehubungan itu, Nazmi dilihat tidak boleh menunggu terlalu lama untuk membuat keputusan jika mahu mendapat tempat dalam pasukan kebangsaan.

Ini kerana, Pan-gon dijangka bakal membuat senarai akhir pemain terbaik mewakili negara ke kejohanan bola sepak paling berprestij di Asia itu dalam beberapa perlawanan persahabatan akan datang.

3) Peluang kembali beraksi bersama kelab negeri kelahiran

nazmi

Nazmi pernah beraksi bersama Selangor bermula pada 2013 hingga 2016 sebelum menyertai JDT.

Kepulangan Nazmi ke skuad Gergasi Merah boleh diumpamakan seperti bagai sirih pulang ke gagang.

Sebagai anak jati Selangor, peluang untuk beraksi bersama skuad Gergasi Merah tentunya satu kemungkinan yang berada dalam fikirannya.

Apatah lagi, Selangor FC kini dilihat sebuah pasukan yang agak stabil dari segi pengurusan mahupun prestasi dengan skuad Lembah Klang itu berada di tangga kedua selepas pusingan pertama Liga Super 2023.

Dalam pada itu, persaingan untuk merebut tempat di bahagian tengah juga tidaklah terlalu mencabar seperti di JDT.

Dengan pengalaman panjang dimilikinya di peringkat domestik dan Asia iaitu ketika beraksi di Liga Juara-Juara Asia, Nazmi dijangka tidak terlalu sukar untuk merebut tempat di bahagian tengah Selangor FC.

Pada waktu ini, import tengah Selangor FC terdiri daripada Yohandry Orozco, Alex Agyarkwa dan Noor Al-Rawabdeh.

Manakala, pemain tengah tempatan pula ialah Brenda Gan yang juga kapten pasukan, Mukhairi Ajmal, Izwan Yuslan dan Syahir Bashah.

Pada masa sama, dengan usianya yang belum mencapai 30 tahun, Nazmi dilihat mampu untuk beraksi bersama Gergasi Merah bagi tempoh sekurang-kurangnya empat tahun akan datang.

Jangka waktu berkenaan dilihat mencukupi untuk dirinya membina nama bersama pasukan negeri kelahirannya itu.

Untuk rekod, Selangor pernah menunjukkan minat bagi membawa pulang Nazmi pada 2021, namun anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu memilih untuk meneruskan kontrak bersama JDT. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram