Sudah 10 tahun lepas cuba nasib di Portugal, kini karier Nazmi Faiz tergantung sepi di JDT


  • Podium
  • Isnin, 24 Jul 2023

Pada musim lalu, Nazmi berjaya mendapat tempat dalam skuad perlawanan sebanyak 23 kali daripada 27 perlawanan. — Facebook/JOHORSouthernTigers

SEPULUH tahun lalu, pemain pertahanan Johor Darul Takzim (JDT), Nazmi Faiz Mansor pernah mengejutkan industri bola sepak apabila sempat beraksi di kelab Divisyen 1 Liga Portugal, S.C Beira-Mar.

Ketika berumur 18 tahun anak jati Selangor itu sudah beraksi bersama kelab Portugal selama lapan bulan sebelum dilaporkan menamatkan kontrak secara mengejut dengan pasukan tersebut.

Selepas tamat kontrak di kelab Eropah itu, Nazmi kemudian bermain bersama PKNS FC sebelum berhijrah ke Selangor FA.

Bagaimanapun, ketika beraksi bersama skuad Harimau Malaya menentang Chealsea dalam aksi persahabatan ketika itu, Nazmi Faiz pernah menyahut cabaran pengendali skuad negara ketika itu, K. Rajagopal.

nazmi

Selepas menamatkan kontrak di Portugal, Nazmi Faiz beraksi untuk PKNS FC. — Agensi

Hal ini kerana, pemain tengah itu tidak terlalu mengambil berat tentang kekurangan masa bermain bersama pasukan kebangsaan.

Bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu diturunkan hanya selama 20 minit oleh Ketua Jurulatih negara Datuk K. Rajagopal pada aksi persahabatan menentang Chelsea.

Dalam aksi persahabatan tersebut, pasukan kebangsaan tewas 1-4 kepada The Blues.

Nazmi juga termasuk dalam latihan pasukan kebangsaan dan bermain di Jepun berikutan perlawanan menentang kelab Divisyen Satu Liga-J Shimizu S-Pulse, Shonan Bellmare dan pasukan Divisyen Dua Tokyo Verdy.

Walaupun menjadi pemain termuda dalam skuad itu dan kekurangan masa bermain, Nazmi bertekad bersaing untuk peranan bahagian tengah menyerang dengan kapten Mohd Safiq Rahim ketika itu.

Nama Nazmi mula menarik perhatian selepas memulakan karier bola sepaknya bersama Sekolah Sukan Bukit Jalil dari tahun 2009 hingga 2011 dan kemudian diserapkan dalam pasukan Harimau Muda B pada tahun yang sama.

Pada tahun 2012, Nazmi diserap ke dalam pasukan Harimau Muda A bimbingan Datuk Ong Kim Swee untuk beraksi dalam Liga Singapura.

Nazmi Faiz berjaya memikat kelab dari Portugal, SC Beira-Mar dan menandatangi kontrak selama tiga tahun bersama kelab tersebut dan melakukan penampilan pertama bersama Beira-Mar dalam satu perlawanan persahabatan menentang kelab Portugal, CD Tondela dengan keputusan seri 1-1 pada 21 Mei 2012.

Pemain kelahiran Lembah Keramat itu juga merupakan nadi tengah untuk pasukan Bawah 23 tahun (B-23) Malaysia yang memenangi pingat emas Sukan Sea 2011 dan pernah menjadi tonggak ketika skuad B-23 negara melangkah ke peringkat ke-3 kelayakan Sukan Olimpik 2012.

PKNS FC telah mendapatkan khidmat Nazmi Faiz selepas kontraknya bersama Beira-Mar ditamatkan kerana masalah kewangan kelab Portugal tersebut pada 2013.

Tetapi, pada 2014, pemain dengan ketinggian 1.65 meter itu memilih untuk ke Selangor FA yang jelas memacu namanya semula, lebih-lebih lagi selepas memenangi Piala Malaysia pada 2015.

Bagaimanapun, Nazmi kini berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan minit permainan kerana perlu bersaing dengan barisan pemain berkualiti JDT ketika ini.

Berdasarkan semakan, kali terakhir Nazmi diturunkan pada 15 April tahun lalu ketika JDT menentang Guangzhou FC dalam saingan Liga Juara-Juara AFC dan hanya bermain selama 15 minit tetapi menyumbang satu assist dalam perlawanan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram