JOHOR Darul Takzim (JDT) menepati ramalan ramai apabila muncul juara Piala FA untuk dua tahun berturut-turut selepas menundukkan Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Sabtu.
Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama meskipun terdapat beberapa peluang keemasan dipamerkan sepanjang 45 minit permainan.
Percubaan pertahanan skuad Warga Kota, Matko Zirdum yang menampan sepakan percuma Paulo Josue gagal menembusi gawang apabila penjaga gol JDT, Syihan Hazmi bertindak cemerlang.
Skuad Harimau Selatan turut berkali-kali berusaha mendapatkan jaringan awal dengan rembatan kencang Afiq Fazail yang terkena palang gol merupakan antara momen terbaik.
Namun, asakan demi asakan dibuat anak-anak buah Esteban Solari akhirnya membuahkan hasil apabila pemain tengah muda, Hong Wan menjaringkan gol pada minit ke-66.
Vida (tengah, kanan) kelihatan bersama anaknya, Cik B. — Facebook/Sport Repvblic
Percubaannya yang meroket berjaya menewaskan penjaga gol lawan, Kevin Ray Mendoza, sekali gus meletakkan skuad Harimau Selatan berada di hadapan.
Mereka kemudiannya terus mengasak pintu gol KL City FC, namun perlu menunggu kira-kira lapan minit kemudian untuk meraih gol kedua menerusi Leandro Velazquez.
Situasi kelam-kabut dalam kotak penalti pasukan Lembah Klang itu dimanfaatkan Arif Aiman Hanapi yang melakukan percubaan, tetapi terbias selepas mengenai Sebastian Avanzini sebelum Leandro tenang mendapatkan jaringannya.
Bagaimanapun, bagi penyokong bola sepak tanah air, kehadiran usahawan tempatan, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida.
Dia sebelum ini dikatakan sedang dalam usaha untuk mempelajari ilmu bola sepak daripada pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris bagi mempersiapkannya untuk membeli saham majoriti Kelantan FC.
Vida yang berada di kawasan penonton dilihat menyaksikan perlawanan itu sambil menyarung jersi skuad Harimau Selatan sambil ditemani anak perempuannya, Nur Edlynn Zamileen Amin yang juga dikenali sebagai Cik B.
Kemenangan terbabit menyaksikan JDT menjulang trofi Piala FA untuk kali ketiga dalam sejarah penubuhan kelab dengan dua yang lain diraih pada 2016 dan 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram