BEK tengah kebangsaan Filipina, Christian Rontini merupakan salah seorang yang memilih untuk meninggalkan skuad The Red Warriors (TRW) yang bergolak akibat masalah kewangan.
Meskipun hanya muncul dalam lima perlawanan Liga Super, kelibatnya masih dirindui penyokong Kelantan FC dengan dia memiliki kualiti cukup baik di posisi pertahanan.
Selain berpengalaman dalam arena bola sepak tanah air dengan Penang FC, pemain kelahiran Itali itu dikatakan sebagai aset jangka masa panjang buat kelab dengan usianya baru sahaja mencecah 24 tahun.
Tetapi, dengan isu pengurusan semakin memburuk, Rontini memilih untuk menamatkan kontraknya pada 17 April di samping dua pemain lain, iaitu Carli de Murga serta Shafiq Shaharudin.
Keputusan terbabit menyaksikan khabar angin mula bertebaran di media sosial dengan pelbagai pihak mengatakan bek muda itu akan kembali ke pangkuan skuad Harimau Kumbang.
Namun, tidak lama selepas penghijrahannya dari Kelantan FC, Rontini diumumkan sebagai pemain baharu untuk kelab Liga 1 Indonesia Persita Tangerang pada Mei.
Kemasukan pemain terbabit boleh dikatakan sebagai satu penambahan ideal buat skuad Pendekar Cisadane apabila dia sudah diturunkan dalam kesemua empat aksi liga.
Rontini beraksi dengan cukup cemerlang sepanjang bersama Persita. — Agensi
Tidak cukup dengan itu, kebolehan Rontini juga lantas dimanfaatkan ketua jurulatihnya, Luis Duran dengan Persita kini berada di kedudukan kedua Liga 1 Indonesia.
Malah, pasukan berkenaan berjaya mencatatkan tiga perlawanan tanpa bolos setakat empat aksi, sekali gus membuktikan benteng pertahanan mereka sudah semakin kukuh.
Bagaimanapun, baru-baru ini, nama Rontini sekali lagi menjadi bahan bualan ketika dia ditanya mengenai perbandingan antara landskap bola sepak di Indonesia dan Malaysia.
Berkata kepada MakanBola Indonesia pada Rabu, bek dengan ketinggian 1.86 meter tersebut mendedahkan bahawa terdapat satu perbezaan ketara yang dapat disaksikannya.
"Secara asasnya, taraf setiap pasukan adalah amat berbeza. Di sini (Indonesia) lebih taratur. Di Malaysia, saya lihat jurang terlalu besar antara pasukan di kelompok lima teratas dan pasukan bawahan.
"Tetapi di Indoneisa semua pasukan adalah sama. Jadi, ini lebih mendebarkan dan kesemua daripada kami mempunyai peluang untuk menjadi juara liga," katanya.
Berdasarkan rekod, terdapat empat pasukan berbeza yang dinobatkan sebagai juara Liga 1 Indonesia dalam lima musim terdahulu, sekali gus membuktikan kebenaran atas pandangan Rontini.
Sementara itu, dalam landskap Liga Super pula, Johor Darul Takzim (JDT) mempertahankan gelaran itu sejak 2014 dengan terdapat perubahan dari segi naib johan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram