KEBANGKITAN Johor Darul Takzim (JDT) untuk mendominasi Liga Malaysia (Liga M) sejak lebih sedekad lalu merupakan satu pencapaian perlu dibanggakan.
Malah, boleh dikatakan kejayaan dikecapi kelab berpengkalan Selatan tanah air itu adalah antara yang terbaik pernah diperolehi oleh sesebuah pasukan di Liga M.
Letak tepi dulu soal asal-usul JDT sama ada kesinambungan daripada Johor FC ataupun Johor FA, Johor tetap Johor.
Dalam tempoh tersebut, skuad Harimau Selatan menjulang sebanyak 22 kejuaraan terdiri daripada Liga Super yang dimenangi sebanyak sembilan kali berturut-turut sejak 2014, Piala Malaysia (tiga), Piala FA (dua) Piala Sumbangsih (lapan).
Tidak cukup dengan itu, JDT turut berjaya membantu meningkatkan imej di peringkat antarbangsa khususnya Asia antaranya dengan menjuarai Piala AFC pada 2012 di samping terus konsisten menempatkan diri dalam saingan Liga Juara-Juara Asia.
Pencapaian itu meletakkan JDT sebagai kelab paling berjaya dalam era bola sepak moden di Malaysia.
Dalam pada itu, perlu diingatkan juga bahawa kelab bola sepak Johor sebelum itu turut pernah mengecapi beberapa kejayaan dalam sejarah panjang bola sepak negara yang kini sudah mencecah usia lebih seabad.
Antara pencapaian yang diingati pastinya kejayaan menjulang Piala Malaysia pada 1985 dan 1991 serta Piala FA 1998.
Bagi kesemua kejayaan yang diperolehinya tidak boleh dinafikan bahawa ia antara lain dibantu oleh kecemerlangan toggak import yang direkrut bagi memperkukuhkan skuad.
Oleh itu, berikut Majoriti senaraikan lima pemain import terbaik sepanjang zaman yang pernah menyarung jersi Johor:
1. Alistair Martin Edwards
Alistair (kiri) kini memegang jawatan sebagai Pengarah Teknikal bersama JDT. — Facebook/JOHORSouthernTigers
Bagi yang baru sahaja mengikuti perkembangan JDT, nama Alistair Martin Edwards merupakan sesuatu yang tidak perlu diperkenalkan lagi.
Ini kerana beliau yang juga bekas pemain kebangsaan Australia merupakan antara individu bertanggungjawab dalam membantu pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mentransformasi kelab bola sepak tersebut sejak 2016.
Jawatan terkini yang dipegangnya ialah Pengarah Teknikal JDT.
Kehadirannya bersama keluarga besar JDT adalah sesuatu yang tidak boleh dipersoalkan kerana beliau merupakan antara pemain legenda yang mempunyai nilai tersendiri dalam lipatan sejarah bola sepak negeri Johor.
Meskipun hanya bersama selama dua musim, Alistair yang beraksi di posisi penyerang tidak memerlukan masa yang lama untuk memberikan impak apabila berjaya Johor merangkul dua kejuaraan iaitu Piala Malaysia dan Divisyen Satu pada 1991.
Selain Johor, Alistair turut pernah beraksi dengan beberapa kelab utama Liga M ketika itu, antaranya Selangor pada 1994 dan Sarawak 1994.
2. Ervin Boban
Boban ketika mewakili Johor. — chedinsphere
Ervin Boban yang merupakan pemain import dari Croatia menyertai Johor pada April 1989.
Dia merupakan salah seorang daripada tiga import direkrut selepas pengurusan pasukan pada waktu itu membuat rombakan besar-besaran bagi bersaing dengan Selangor yang pada waktu itu diketuai oleh legenda bola sepak negara, Mokhtar Dahari.
Dari segi gaya permainannya, Boban cukup dikenali dengan kepantasan dan ketinggiannya sehingga menyebabkan dirinya digeruni oleh pihak lawan.
Malah, gandingannya bersama Alistair di jentera serangan pasukan Johor juga membantu kelab bagi menjuarai Liga Divisyen Satu dan Piala Malaysia pada 1991.
Dalam perlawanan akhir Piala Malaysia pada tahun tersebut, dia berjaya menghasilkan jaringan hatrik bagi membantu pasukan menang 3-1 mengalahkan Selangor.
Selepas bersara, Boban kembali ke JDT pada penghujung 2014 untuk mengambil tanggungjawab menjadi jurulatih bagi skuad muda kelab tersebut.
Bagaimanapun, dia mengambil keputusan untuk mengundurkan diri pada 2019 dengan jawatan terakhir disandangnya adalah ketua jurulatih JDT II.
3. Abbas Saad
Boban turut pernah beraksi bersama Singapura. — Agensi
Abbas Saad yang beraksi di bahagian tengah menyerang merupakan pemain yang melengkapkan trio import terbaik dimiliki skuad Johor pada 1991.
Bersama Alistair dan Boban, Abbas yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan Australia berjaya membentuk gandingan yang begitu digeruni pasukan lawan pada tahun tersebut.
Gandingan trio ketiga-tiga pemain import ini juga disifatkan sebagai antara yang dikenang sepanjang sejarah bola sepak sepak negara.
Selepas meninggalkan Johor, Abbas turut beraksi bersama Singapura dan membantu pasukan tersebut memenangi Piala Malaysia pada 1994 menewaskan Pahang 4-0 melalui jaringan hatriknya.
4. Luciano Figueroa
Figueroa (kiri) bergambar bersama Tunku Ismail di hadapan `Luciano Figueroa Stand' di SSI. — Facebook/JOHORSouthernTigers
Dalam usaha untuk mentranformasikan pasukan bermula 2012, JDT merekrut beberapa bintang bola sepak ternama di bahagian serangan bagi memperkuatkan pasukan.
Antara pemain berkelas dunia yang pernah bersama Harimau Selatan ialah Daniel Guiza, Simone Del Nero dan Pablo Aimar.
Bagaimanapun, impak yang dibawa kesemua pemain tersebut terhadap prestasi pasukan Johor adalah agak kurang signifikan jika dibandingkan dengan sumbangan penyerang kelahiran Santa Fem, Argentina iaitu Luciano Figueroa.
Sepanjang bersama skuad Harimau Selatan sejak 2014, Figueroa berjaya merekodkan 42 jarngan dan 14 bantuan gol daripada 71 perlawanan bersama JDT.
Selain membawa pasukan memenangi sembilan kejuaraan domestik terdiri daripada Liga Super sebanyak empat kali, Piala Sumbangsih (tiga) dan Piala Malaysia (satu), dia juga menjadi tonggak membantu pasukan mencipta sejarah bagi memenangi Piala AFC pada 2015.
Sumbangan besar dia terhadap kecemerlangan skuad Harimau Selatan turut diakui oleh JDT apabila kelab memberikan penghormatan dengan mengabadikan satu kawasan tempat duduk di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor dengan namanya iaitu `Luciano Figueroa Stand'.
5. Jorge Pereyra Diaz
Diaz memilik rekod jaringan yang cemerlang ketika beraksi bersama JDT. — Agensi
Meskipun meninggalkan kelab dengan agak kontroversi, namun kelincahan dan ketajaman yang dipamerkan untuk import Jorge Pereyra Diaz dalam menjaringkan gol merupakan sesuatu yang agak sukar untuk dilupakan penyokong JDT.
Malah, penyerang kelahiran Argentina itu juga pernah memegang status penjaring terbanyak JDT untuk tempoh semusim melalui 18 jaringannya dalam Liga Super 2016 sebelum ia dipecahkan oleh Bergson Da Silva pada 2021.
Sepanjang bersama Harimau Selatan, Diaz menjadi tonggak utama yang membantu pasukan memenangi Liga Super sebanyak dua kali pada musim 2014 dan 2015 serta Piala FA pada 2016.
Dalam tiga musimnya bersama JDT bermula 2014, Diaz berjaya mencatatkan sebanyak 53 jaringan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram