'Kita perlu lebih agresif', Fandi mahu Tok Gajah bangkit ketika berdepan Perak


  • Podium
  • Jumaat, 21 Jul 2023

Fandi Ahmad mahu kemenangan diraih ketika menerima kunjungan skuad TBG pada 30 Julai. — Facebook/Sri Pahang FC

SELEPAS mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut, Sri Pahang FC mengalami kekalahan yang mengecewakan ketika mereka bertemu Sabah FC di tempat lawan.

Aksi yang berlangsung di Stadium Likas, Sabah tersebut menyaksikan skuad Tok Gajah tewas 0-4 dengan Darren Lok menjaringkan dua gol sementara Ramon Machado dan Stuart Wilking masing-masing memperolehi satu jaringan peribadi.

Kekalahan terbabit menyebabkan mereka jatuh ke tangga keempat Liga Super memandangkan Kedah Darul Aman (KDA) FC mengumpul tiga mata dalam minggu perlawanan yang sama.

Untuk memperbaiki kedudukan dalam carta, kelab Pantai Timur itu pasti akan cuba untuk mencatatkan kemenangan ketika bertemu Perak FC pada 30 Julai.

359789635_646728994155802_4861655488955465377_n

Skuad Tok Gajah turun dengan aksi yang tempang ketika berdepan Sabah FC. Facebook/Sri Pahang FC

Perlawanan itu dijangka akan dibanjiri penonton di Stadium Darul Makmur, Pahang memandangkan penyokong kedua-dua pasukan mengharapkan perubahan untuk baki musim 2023.

Bagi ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad, kekalahan kepada skuad Sang Badak sebelum ini wajar dijadikan pengajaran buat anak-anak buahnya.

"Ya, ia bukan hari kita. Kita akur tewas kepada pasukan lebih baik, tetapi yang penting adalah melihat ke hadapan.

"Ini kekalahan yang harus jadi pengajaran, kita perlu belajar bermain lebih agresif, tunjukkan lebih semangat dan memberi lebih tekanan kepada lawan," katanya.

Kenyataan tersebut dibuat menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi kelab menjelang perlawanan dengan skuad The Bos Gaurus (TBG).

Aksi Liga Super minggu ini akan dihentikan bagi memberi laluan buat perlawanan akhir Piala FA antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Sabtu.

Kemenangan ke atas Perak FC akan membolehkan skuad Tok Gajah mengikat mata dengan Selangor FC yang berada di kedudukan kedua Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram