SELEPAS enam bulan berkelana di Korea Selatan, R. Kogileswaran akhirnya kembali memeriahkan Liga Malaysia dengan menyertai Penang FC, sekali gus menjadi tonggak terbaharu membantu memperkukuh jentera serangan pasukan Utara tanah air tersebut.
Sebelum ini, timbul teka-teki tentang masa depan pemain kebangsaan Harimau Malaya itu selepas dia mengambil keputusan untuk berpisah dengan kelab yang berpangkalan di Korea Selatan, Chungbuk Cheongju FC.
Kogileswaran ataupun pemain yang mesra dengan sapaan Kogi itu berkata, dia membuat keputusan untuk menamatkan kontrak secara persetujuan bersama dan pihak Chungbuk turut bertindak membayar pampasan kepadanya.
Difahamkan sebelum ini, terdapat spekulasi yang mengatakan bahawa persembahan kurang bermutu antara faktor dia disingirkan daripada kelab tersebut.
Hal ini kerana, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu hanya diturunkan menjadi kesebelasan utama ketika penampilan sulung bagi aksi Piala FA Korea pada Mac lalu dan membantu merekodkan kemenangan 3-0 ke atas Seoul Jungnang FC.
Bagaimanapun, Kogi sudah memberikan penjelasan mengenai perkara tersebut dan mengatakan bahawa dia berpisah dengan pasukan Korea tersebut bukanlah kerana mutu permainan ataupun persembahan yang ditampilkan kurang cemerlang bersama Chungbuk FC.
Tangkap layar hantaran tersebut. — Twitter/Zulhelmizainalazam
Menerusi hantaran daripada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dalam Twitter, mendedahkan bahawa Kogi kini sah bersama Harimau Kumbang dan difahamkan bakal menyarungkan jersi bernombor 9 skuad tersebut.
Oleh itu, kehadirannya ke skuad Harimau Kumbang dilihat mampu memperkukuhkan lagi jentera serangan.
Pemain berusia 24 tahun itu pernah beraksi bersama pasukan Sri Pahang selama tiga musim bermula dari tahun 2016 sehingga 2019 kemudian berhijrah ke kelab Petaling Jaya FC untuk dua musim sebelum mengambil keputusan menghirup udara baharu di Korea Selatan.
Kogi juga pernah bersama skuad kebangsaan sejak 2018 dan merekodkan dua gol. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram