Afiq Fazail termasuk 3 pemain sekadar berita persinggahan sarung jersi baharu


  • Podium
  • Jumaat, 21 Jul 2023

Afiq tampil dalam 15 perlawanan Liga Super 2023 musim ini bersama JDT.

JENDELA perpindahan pemain kedua pada Julai ini menyaksikan pelbagai khabar angin mengaitkan beberapa nama besar yang dikatakan akan menyarung jersi pasukan baharu selepas menabur bakti bersama majikan lama mereka.

Seperti sebelum ini nama Safawi Rasid menjadi tumpuan berikutan dia dikaitkan akan menyertai beberapa pasukan Liga Super seperti Sri Pahang, Terengganu FC dan ada juga mengaitkannya dengan kelab Liga Indonesia.

WhatsApp Image 2023-07-20 at 21.17.50

Safawi memutuskan untuk kembali ke JDT selepas dipinjamkan ke Ratchaburi.

Namun harapan penyokong-penyokong kelab tersebut punah selepas penyerang sayap itu memutuskan untuk kekal bersama Johor Darul Takzim (JDT) setelah tempoh pinjamannya berakhir bersama pasukan Liga Thailand, Ratchaburi FC pada Mei lalu.

Selain Safawi, penyerang berkelas dunia, Radamel Falcao juga menghancurkan impian Harimau Selatan untuk mendapatkan khidmatnya bagi beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) untuk baki musim ini apabila perpindahan itu tidak kesampaian.

Hal ini kerana, bekas penyerang Manchester United dan Chelsea itu memilih untuk melanjutkan kontrak bersama kelab La Liga, Rayo Vallecano untuk tempoh semusim lagi.

Dengan jendela perpindahan kedua dijadual akan ditutup pada 8 Ogos ini, terdapat lagi tiga pemain Liga Super sekadar menjadi berita persinggahan sarung jersi baharu;

1. Afiq Fazail

WhatsApp Image 2023-07-20 at 21.19.02

Afiq antara pemain tengah terbaik JDT dengan menerima pelbagai anugerah bersama skuad Harimau Selatan.

Tiada angin, tiada ribut tapi nama pemain Harimau Selatan, Afiq Fazail tiba-tiba sahaja dikatakan akan bertukar angin dengan menyertai pasukan berpangkalan di Borneo tanah air, Sabah FC bagi membantu memperkemas lagi jentera tengah pasukan tersebut.

Afiq yang sudah tampil dalam 14 perlawanan Liga Super dan merekodkan dua hantaran bantuan pada musim ini itu dilabel sebagai salah seorang jeneral tengah terbaik tanah air kerana kebijaksanaan mengatur permainan melalui hantarannya kepada rakan sepasukan.

Pemain berusia 28 tahun itu mula menjadi sebahagian keluarga Harimau Selatan sejak dia menyertai JDT II pada 2014 dan dinaikkan pangkat ke skuad utama pada musim 2016.

Sejak 2016 menyertai skuad utama juara bertahan Liga Super itu, Afiq sudah tampil dalam 143 kesemua perlawanan JDT dan mengecapi pelbagai kejuaraan di peringkat domestik, selain menjadi watak utama ketika saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim lepas.

Namun harapan The Rhinos untuk mendapatkan pemain tengah berkualiti itu hanya mimpi selepas difahamkan juara Piala AFC 2015 itu tidak menerima apa-apa tawaran daripada pihak Sabah FC.

2) Mario Arques

WhatsApp Image 2023-07-20 at 21.20.45

Mario diberi kepercayaan untuk menjadi ketua pasukan TRW musim ini.

Bekas kapten Kelantan FC, Mario Arques masih berstatus tanpa kelab selepas pemain kelahiran Sepanyol itu mengambil keputusan untuk angkat kaki daripada The Red Warriors (TRW) pada Jun lalu atas persetujuan bersama dengan pihak pengurusan.

Tonggak berusia 31 tahun itu antara pemain cemerlang buat pasukan Kelantan yang mana dia mampu membantu di bahagian serangan mahupun pertahanan sebagai seorang arkitek tengah.

Selepas meninggalkan pasukan Pantai Timur itu, Arques mula dikaitkan akan berhijrah ke Perak FC sebagai destinasi seterusnya namun desas-desus tersebut kekal sebagai khabar angin tidak menjadi kenyataan.

Bekas pemain Sporting B itu sebaliknya selangkah akan menyertai The Cops pada jendela perpindahan kedua ini yang mana pengurus The Cops, Shamsul Hisham Abd Razak, berkongsi bahawa urusan perpindahan Arques sudah 90 peratus selesai.

"Berkenaan Perak FC, mereka hanya bercakap untuk membawa saya masuk namun tidak ada sebarang pengesahan mengenai perpindahan," katanya kepada Majoriti.

3. Azam Azmi Murad

WhatsApp Image 2023-07-20 at 21.21.45 (1)

Azam Azmi menandatangani lanjutan kontrak sehingga musim 2025 bersama TFC.

Bek kanan Terengganu FC (TFC), Azam Azmi Murad difahamkan menerima tawaran daripada sebuah kelab elit Liga Super dan ada yang mengatakan pasukan tersebut ialah Selangor FC.

Menerusi laporan dari wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, kelab berkenaan difahamkan sedia menebus kontrak bek kanan muda itu dengan nilai tinggi bagi memperbaiki pertahanan yang longgar.

Bagaimanapun, perkara itu sudah dinafikan ejen Azam yang menggunakan akaun Twitter, Joe Berbatov dengan mengatakan tiada tawaran diterima pihaknya dan kapten Bawah 23 tahun (B-23) negara tersebut akan terus kekal bersama TFC sehingga musim 2025.

Pemain sedang meningkat naik itu sememangnya watak utama skuad Penyu dengan musim ini dia diberi kepercayaan pengendali Tomislav Steinbruckner untuk tampil dalam 15 perlawanan Liga Super 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram