JENDELA perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) sedang rancak berlangsung selepas beberapa kelab sudah mula membawa masuk muka-muka baharu bagi memperkuatkan pasukan masing-masing.
Kelantan United antara pasukan yang banyak membawa masuk muka-muka baharu tidak kira pemain tempatan mahupun import.
Negeri Sembilan satu-satunya pasukan yang sudah pun mengangkat bendera putih untuk tidak membawa masuk mana-mana pemain meskipun salah seorang import sah meninggalkan pasukan.
Sabah FC, Selangor FC, Sri Pahang FC, Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) antara pasukan gergasi yang menambah sengat di posisi serangan serta tengah pasukan untuk bersaing dengan Johor Darul Takzim (JDT).
Namun dalam banyak-banyak pemain import baharu, hanya Ramon Machado sahaja yang menyerlah ketika ini selepas dia menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan Liga Super.
Majoriti senaraikan tiga import yang hadir dengan reputasi besar tetapi lambat menyesuaikan diri dengan keadaan Liga M dan masi belum membutikan ketajaman mereka.
Cifu sebelum ini cemerlang beraksi bersama Kelantan FC. — Facebook
1. Miguel Cifuentes (Sabah FC)
Siapa yang tidak kenal dengan Miguel Cifuentes atau lebih dikenali sebagai Cifu yang cemerlang beraksi bersama Kelantan FC awal musim ini sebelum berpindah ke Sabah FC.
Cifu yang menyertai Sabah FC hanya tampil sekali dan masih belum merekodkan apa-apa bantuan assists ataupun jaringan.
Tidak sama ketika beraksi di Kelantan, Cifu menjaringkan empat gol dan satu assist dalam 13 penampilan bersama pasukan itu.
Cifu yang boleh beraksi di pelbagai posisi pun masih belum mampu memikat hati Datuk Ong Kim Swee untuk mempercayai kudratnya.
Rafael sebelum ini pernah beraksi bersama beberapa pasukan dalam Liga Brazil, Portugal, China, Bolivia, Iraq, dan Indonesia. — Facebook/Sri Pahang FC
2. Rafael Silva (Sri Pahang FC)
Rafael Silva hadir dengan reputasi apabila dia pernah menjadi penjaring terbanyak Liga Indonesia ketika beraksi bersama PS Barito Putera apabila menjaringkan 14 gol dan melakukan empat assists dalam 28 penampilan.
Rafael sebelum ini pernah beraksi bersama beberapa pasukan dalam Liga Brazil, Portugal, China, Bolivia, Iraq, dan Indonesia.
Sepanjang 216 perlawanan, Rafael menjaringkan 60 gol dan 13 assists sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak di sembilan buah negara.
Meskipun hadir dengan reputasi cemerlang, Rafael masih lagi gagal menjaringkan gol tambah teruk lagi apabila dia tidak berjaya membantu skuad muda Pahang mencetak jaringan ketika bertemu KL Extension dalam Piala MFL pada Selasa.
Nurillo menandatangani kontrak bersama Terengganu sehingga Disember 2024. — Facebook/TFC
3. Nurillo Tukhtasinov (Terengganu FC)
Nurillo Tukhtasinov antara pemain terbaik tengah Liga Uzbekistan yang baru saja menyertai Terengganu FC (TFC).
Pemain tengah berusia 26 tahun itu mengikat kontrak dengan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner selama 18 bulan bagi mengisi kuota pemain import bebas skuad Penyu itu.
Pemain yang pernah dinobatkan sebagai 'arkitek' terbaik dalam liga di negaranya itu berpengalaman luas bersama skuad kebangsaan bermula dengan skuad Bawah 19 Tahun (B-19), B-21, B-23 dan skuad senior.
Kehadiran bekas pemain kelab Neftchi Fergana dalam Liga Divisyen 1 Uzbekistan itu untuk menambah kekuatan jentera tengah pasukan yang sebelum ini dilihat agak longgar.
Namun begitu, kemasukan Nurillo di bahagian tengah TFC nampaknya masih belum memberikan impak positif meskipun pemain berusia 26 tahun itu hadir dengan resume yang menakjubkan.
Ia selepas TFC gagal menembusi benteng pertahanan PDRM FC selepas terikat 0-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram