Obiozor dalam senarai 5 awang import 'flop' akibat isu luar padang


  • Podium
  • Jumaat, 21 Jul 2023

Obiozor difahamkan sudah tidak lagi bersama skuad TBG untuk baki musim 2023. — MFL

SUMBANGAN pemain import dalam pasukan-pasukan Liga Malaysia sememangnya memainkan cukup penting baik dari segi pertahanan mahupun serangan.

Musim ini, carta penjaring terbanyak Liga Super didominasi pemain luar negara dengan pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim hanya berada di kedudukan kelima.

Bagi membuktikan sumbangan mereka lagi, kesemua pasukan dalam divisyen teratas bola sepak tempatan sekurang-kurangnya memiliki seorang pertahanan import.

Di samping mempunyai kelebihan dari segi fizikal, mereka juga lazimnya mempunyai lebih banyak pengalaman beraksi dalam pelbagai liga-liga serata dunia.

Namun, bukan kesemua pemain import yang dibawa masuk dapat mempamerkan aksi terbaik meskipun diberikan lebih banyak masa permainan daripada pihak kejurulatihan.

Perbezaan dari segi pendekatan taktikal sering menjadi alasan di sebalik kegagalan itu sehingga menyebabkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong.

Selain itu, pergerakan lewat daripada rakan sepasukan juga sering dilihat menjadi punca mereka tidak dapat mempamerkan aksi terbaik di atas padang.

Bagaimanapun, di samping faktor-faktor permainan, terdapat beberapa pemain yang berdepan cabaran dari segi luaran, seperti isu kebajikan serta pengurusan.

Jadi, melihat kepada musim 2023, Majoriti menyenaraikan lima awang import dengan reputasi kurang memberangsangkan sehingga dilabel 'flop' di mata peminat bola sepak tanah air.

1. Nuha Marong (Gaji)

Meskipun Kelantan FC tidak mempunyai struktur kewangan yang kukuh, mereka turut memilih untuk membawa masuk beberapa sembilan import demi meraikan kepulangan mereka ke Liga Super.

Keputusan tersebut jelas menimbulkan kegembiraan buat penyokong setia kelab Pantai Timur itu dengan harapan mereka dapat menamatkan saingan liga dalam kelompok 10 pasukan teratas.

Namun, tidak lama selepas musim 2023 bermula, skuad The Red Warriors (TRW) berdepan masalah pengurusan yang mendapat perhatian media tempatan.

Antara yang terkesan ialah penyerang kelahiran Gambia, Nuha Marong yang difahamkan tidak menerima bayaran gaji untuk beberapa bulan.

1990529

Nuha tidak memberikan sebarang sumbangan signifikan buat Kelantan FC. Facebook/TRW Kelantan FC

Isu tersebut menyaksikan pemain tinggi lampai itu diletakkan dalam skuad simpanan dengan harapan keputusan berkenaan dapat mengembalikan sentuhannya di hadapan pintu gol lawan.

Bagaimanapun, perubahan landskap terbabit masih tidak dapat membawa sebarang perbezaan terhadapnya apabila dia gagal menjaringkan sebarang gol dalam Liga Super.

Masalah itu berlanjutan sehingga menyaksikan Nuha memilih untuk meninggalkan skuad TRW pada Jun dengan kenyataan menyebut dia akan kembali ke Sepanyol.

Persoalan mengenai tunggakan gaji bagaimanapun masih tidak terjawab dengan ada yang menyebut bahawa pemilik kelab, Norizam Tukiman sudah melangsaikan hutang sementara ada yang lain berkata sebaliknya.

2. Domagoj Pusic (Landskap permainan)

Selepas menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua, Terengganu FC berdepan perubahan secara menyeluruh terhadap hala tuju pihak pengurusan.

Antara kesan yang dapat disaksikan adalah apabila hanya jeneral tengah kelahiran Bahrain, Habib Haroon kekal sebagai pemain import daripada musim lalu.

Untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan, pihak pengurusan kelab memilih untuk membawa masuk pemain tengah kelahiran Croatia, Domagoj Pusic

Kemasukan itu dilihat cukup sesuai dengan latar belakang ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner yang juga merupakan seorang yang berasal dari negara Eropah terbabit.

Damagoj Pusic terengganu fc 2023

Hubungan antara Pusic dengan skuad Sang Penyu sudah berakhir. Facebook/Terengganu FC

Tetapi, kehadiran pemain berusia 31 tahun itu seperti tidak memberikan sebarang impak dengan hanya satu bantuan jaringan direkodkan dalam 13 penampilan.

Sumbangan suam-suam kuku itu menyebabkan pihak pengurusan Terengganu FC menamatkan kontraknya bagi memberi ruang untuk pemain baharu, Nurillo Tukhtasinov.

Punca-punca yang dilihat menyebabkan Pusic gagal sepanjang berada dalam Liga Malaysia adalah perubahan drastik mengenai situasi permainannya.

Sekiranya diperhatikan, pemain berketinggian 1.89 meter (m) itu tidak pernah bermain di luar Eropah, sekali gus menjadikan persembahannya amat mengecewakan.

3. Christian Obiozor (Tekanan daripada penyokong)

Sebuah lagi pasukan Liga Perdana, Perak FC turut berpeluang berada dalam divisyen teratas bola sepak tanah air selepas rombakan dibuat Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Jadi, untuk memastikan mereka dapat berentap dengan lebih baik, pihak pengurusan memilih untuk membawa masuk penyerang kelahiran Nigeria, Christian Obiozor.

Kehadirannya dilihat menghadirkan keghairahan terhadap penyokong skuad The Bos Gaurus (TBG) dengan pemain terbabit memiliki struktur fizikal yang amat berbeza berbanding pemain tempatan.

Namun, selepas merekodkan debut ketika berdepan PDRM FC, penyerang terbabit lebih kerap mengecewakan berbanding melakukan sumbangan di hadapan pintu gol lawan.

WhatsApp Image 2023-07-20 at 16.56.22

Obiozor (kanan) tidak menjaringkan sebarang gol dalam Liga Super. Facebook/Perak FC

Selepas diturunkan dalam lapan aksi Liga Super, Obiozor hanya mencipta satu bantuan jaringan sehingga mengakibatkan rekod serangan skuad TBG berada di antara yang tercorot.

Isu berkenaan seperti berpunca daripada tekanan daripada penyokong yang berharap pemain terbabit dapat membawa perubahan drastik, sekali gus membaiki isu ketumpulan jentera serangan mereka.

Oleh itu, untuk memastikan mereka dapat bersaing lebih baik bagi baki musim 2023, Perak FC memilih untuk menamatkan kontrak penyerang berusia 28 tahun itu.

Dia kemudiannya digantikan dengan bekas penyerang Melaka United dan Sabah, Luka Milunovic dibawa masuk dengan harapan yang sama diletakkan terhadap Obiozor.

4. Lucas Silva (Masalah kecergasan)

Selepas mencipta nama dalam Liga Super bersama Penang FC untuk dua musim, Lucas Silva memilih untuk mencari angin baharu apabila kontraknya tamat penghujung musim lepas.

Enam gol yang dijaringkannya dalam hanya 11 penampilan Liga Super buat skuad Harimau Kumbang mengakibatkan beberapa kelab tempatan tertarik untuk mendapatkan khidmatnya.

Tetapi, pemain berusia 33 tahun itu memilih untuk menyertai Sri Pahang FC yang sedang dalam usaha membawa gandingan buat seorang lagi penyerang, Kpah Sherman.

Bagaimanapun, keputusan itu seperti tidak membawa sebarang perubahan apabila Lucas hanya beraksi dalam tiga perlawanan Liga Super setakat separuh musim.

1992012 (2)

Lucas Silva (depan) difahamkan akan ditamatkan kontraknya. Facebook/Sri Pahang FC

Kekurangan peluang di atas padang tersebut dilihat berpunca daripada masalah kecederaan serta kecergasan yang dialaminya sejak bersama Penang FC.

Sekiranya diberikan minit beraksi, pemain kelahiran Brazil itu masih memberikan persembahan terbaik dengan kebolehannya untuk menggelecek bola amat mencuri perhatian.

Tetapi, dengan skuad Tok Gajah kini memiliki Rafael Silva sebagai import baharu, terdapat kemungkinan Lucas terpaksa disisihkan untuk baki musim 2023.

Setakat ini, pemain berketinggian 1.83 m itu hanya beraksi dalam tiga perlawanan tanpa sebarang sumbangan dicatatkan dari segi jaringan mahupun bantuan gol.

5. Jacob Njoku (Kekangan bahasa)

Sabah FC memilih untuk mendapatkan bekas penyerang Kelantan United, Jacob Njoku dalam usaha mereka mengurangkan beban yang ditanggung pemain kebangsaan, Darren Lok.

Kehadiran itu pada awalnya cukup menghangatkan penyokong skuad Sang Badak memandangkan pasukan itu bakal beraksi di peringkat Asia buat kali pertama sejak 1995.

Namun, seperti sering dialami pasukan Borneo itu, Njoku tidak dapat memberikan sebarang sumbangan prolifik meskipun pernah bersinar dalam Liga Perdana.

Sepanjang kira-kira empat bulan bersama Sabah FC, pemain berusia 25 tahun terbabit hanya diturunkan dalam dua perlawanan Liga Super.

2078400

Njoku (kiri) lebih kerap beraksi bersama skuad simpanan Sabah FC.

Bagi sesetengah pihak, masalah berkenaan berpunca daripada saingan hebat di posisi berkenaan dengan Darren Lok dan Baddrol Bakhtiar lebih diberikan minit permainan daripada ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.

Tetapi, melihat kepada situasi skuad Sang Badak, terdapat kemungkinan Njoku malap bersama skuad Sang Badak akibat cabaran untuk berkomunikasi.

Melihat kepada senarai pemain import Sabah FC, mereka memiliki rata-rata pemain kelahiran Brazil, iaitu Gabriel Peres dan Jailton Paraiba di samping diperkuatkan dengan duo import dari Korea Selatan, Park Tae-su dan Kwang Min-ko.

Selepas dilepaskan kelab Borneo itu, pemain kelahiran Nigeria tersebut tidak lagi terikat dengan mana-mana pasukan meskipun khidmatnya seperti ditagih kelab lamanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram