
PERAK FC melakar kemenangan manis dalam Liga Super ketika bertandang ke Stadium Negeri, Sarawak pada Ahad lalu apabila menundukkan Kuching City FC dengan skor 2-1.
Gol daripada Luciano Guaycochea dan Seo Seon-ung membantu pasukan pelawat meraih tiga mata, sekali gus mencipta jurang lebih besar dengan pencabar terdekat dalam carta liga.
Meskipun kejayaan itu sedikit tercalar akibat mutu pengadilan, pengikut setia kelab tersebut masih bergembira dengan persembahan yang dipamerkan.
Hantaran kemas, larian bertenaga serta komunikasi antara pemain dapat disaksikan sepanjang 90 minit permainan, sekali gus menjadi resipi di sebalik kemenangan itu.
Tidak cukup dengan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Interim Perak FC, Bobie Farid Shamsudin juga 'sebulu' dengan pandangan terbabit apabila dia tidak henti-henti memberikan pujian atas perlawanan tersebut.
Kegembiraan itu diluahkannya dalam satu sesi temubual anjuran kelab Utara tanah air berkenaan, Sembang Gaurus yang ditonton ratusan pengguna media sosial.
Bobie pastinya berharap perancangan yang dibuat pihak pengurusan berjalan lancar. — Facebook/Perak FC
Selain mengakui terdapat perbezaan berbanding pada awal musim, Bobie turut mendapati pemain yang diturunkan pengendali pasukan, Yusri Che Lah mempamerkan semangat tersendiri.
Namun, apa yang lebih menarik disampaikan Bobie dalam program tersebut adalah apabila dia mengulas mengenai keempat-empat pemain baharu yang dibawa masuk ketika jendela perpindahan kedua Liga Malaysia.
Rekrut yang dimaksudkannya ialah dua bek tengah, Jesper Nyholm dan Kim Youn-do, Azalinullah Alias yang beraksi sebagai pemain tengah serta penyerang berdarah Croatia, Luka Milunovic.
Menurut Bobie, kesemua yang dibawa masuk, terutamanya Jesper sudah memberikan sinar harapan buat skuad The Bos Gaurus (TBG) dalam sesi latihan mahupun ketika beraksi dalam Liga Super.
"Selepas dia masuk, dia sering berhubung dengan Afif (Asyraf), Shivan (Pillay) dan Hafizal (Mohamad) untuk bermain dengan lebih baik.
"Jadi, itu mengejutkan saya dan pihak pengurusan serta kami turut berfikir bahawa ia adalah satu keputusan tepat untuk kami mendapatkan khidmatnya," katanya.
Luka masih belum mempamerkan aksi terbaik ketika berdepan skuad The Cats. — Facebook/Perak FC
Jelasnya lagi, Jesper yang dibawa masuk untuk mengisi kuota Asean mempamerkan aksi cukup berbeza dengan ketenangan serta kelantangannya ketika bermain merupakan aset terbaik.
Sementara itu, Bobie berpandangan bahawa Youn-do mempunyai tahap kematangan yang cukup baik meskipun baru sahaja berusia 20 tahun dan masih belum memiliki pengalaman luas.
Tetapi, CEO Interim Perak FC turut percaya pemain kelahiran Korea Selatan itu perlu diberikan masa sebelum bakatnya dapat berkembang dengan lebih baik.
Bagi Azalinullah pula, persembahannya dalam dua aksi Liga Super baru-baru ini mudah melenyapkan sangkaan meleset orang ramai mengenai reputasinya.
"Apabila kita bawa dia masuk, ramai yang kecam dan berkata pelbagai perkara. Tetapi, pada saya, Azalinul sudah beraksi dengan cukup baik setakat ini," katanya.
Bagaimanapun, bercakap mengenai Luka, Bobie tidak memberikan komen mendalam memandangkan dia lebih tertarik untuk membincangkan perihal kehadiran Yusri dalam skuad utama TBG.
Namun, dengan bekas penyerang Melaka United itu baru sahaja diturunkan dalam satu perlawanan, masih terlalu awal bagi mana-mana pihak dalam membincangkan impak kehadirannya bersama skuad Seladang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram