KEDUDUKAN skuad Kedah FC yang kini berada di tangga ketiga carta Liga Super musim ini semakin mendapat perhatian ramai dengan penyokong mula meletakkan sandaran terhadap pasukan itu untuk terus mendaki ke carta liga.
Menang dalam dua perlawanan terdahulu menyaksikan Sang Kenari kini memperoleh 34 mata keseluruhan berkongsi mata dengan Sri Pahang FC yang berada satu anak tangga di bawah sambil diikuti rapat Sabah FC (33) di tangga kelima.
Dengan perlawanan berikutnya menentang Sarawak United FC di tempat lawan, tiga mata penuh pastinya dimahukan Kedah untuk terus memintas Selangor FC untuk berada di kelompok dua terbaik sekali gus melayakkan diri ke Kejohanan Piala AFC musim depan.
Sang Kenari yang menerima kehadiran dua pemain import baharu pada jendela kedua perpindahan pemain baru-baru ini, tampil dengan aksi yang lebih garang apabila penyerangnya, Ifedayo Olusegun dan Moses Atede tampil dengan aksi memukau dalam dua perlawanan sebelum ini.
Ifedayo Olusegun menampilkan aksi cemerlang dalam dua perlawanan bersama Kedah setakat ini. — Facebook/KedahFC
Ketua jurulatih, Nafuzi Zain mempunyai beberapa pilihan pemain untuk diletakkan di posisi tengah dan menyerang pasukan dengan peminat sudah mula memberi bayangan pilihan trio terbaik untuk menjadi enjin kelab tersebut.
Buat masa ini, Moses Atede menjadi pilihan utama Nafuzi Zain dengan kapasiti pemain itu sebagai jentera tengah, sentiasa memberikan sumbangan buat rakan sepasukan memperoleh kemenangan.
Menerusi ruangan komen, kelab penyokong Pena Bola Kedah membariskan tiga pilihan berbeza dengan strategi dan taktikal berlainan yang boleh dicuba pasukan Kedah.
1. Kuasai permainan - Moses Atede, Amirul Hisham dan Manuel Ott
Sekiranya Nafuzi ingin mengukuhkan jentera tengah pasukan, trio Moses Atede, Amirul Hisham dan Manuel Ott menjadi pilihan peminat yang melihat ketiga-tiganya sebagai watak penting bagi taktikal tersebut.
Kehadiran Moses Atede sebagai 'enjin' baharu Kedah melengkapkan gandingan tersebut susulan hantaran tepat serta kelajuan pemain itu yang mampu membuka peluang buat rakan sepasukan menjaringkan gol.
Amirbaek Juraboev yang lebih dominan sebagai pemain tengah bertahan dijangka akan membantu benteng pertahanan tatkala Kedah diasak serangan pasukan lawan.
2. Tengah menyerang - Amirbaek Juraboev, Manuel Ott, Amirul Hisham
Dengan ketiga-tiga pemain itu mampu beraksi selaku jentera serangan tengah, trio ini mampu menjadi pemusnah pasukan lawan dengan jaringan di awal minit permainan menerusi penguasaan penuh di jentera tengah.
Taktikal menyerang amat memerlukan kepantasan dan ketajaman posisi tengah menerusi kawalan bola yang kemas dan perebutan di udara yang mampu merencatkan serangan lawan.
Dalam gandingan ini, Manuel Ott lebih sesuai diletakkan di posisi tengah dengan penampilan dimilikinya setakat ini melihatkan pemain itu telah diturunkan dalam 14 perlawanan setakat ini.
Manuel Ott dan Amirbaek Juraboev antara tonggak utama Kedah musim ini. — Facebook/KedahFC
3. Trio import - Moses Atede, Amirbaek Juraboev, Manuel Ott
Kedah yang dibarisi 10 pemain import pada musim ini menyaksikan pasukan tersebut antara pencabar terkuat untuk merebut kejuaraan Piala Malaysia yang bakal bermula tidak lama lagi.
Dengan kelebihan serta potensi import dimiliki, Nafuzi juga boleh mencuba untuk membariskan tiga penyerang luar di posisi tersebut sekiranya percaturan rapi dibuat dalam barisan yang diturunkan.
Dengan ketiga-tiga pemain itu mempunyai kelebihan selaku penjaring pada musim ini, jaringan yang dicari bukan sahaja disandarkan kepada barisan hadapan, malah pemain tengah juga mampu membolosi jaring lawan dengan kawalan kemas pemain-pemain tersebut.
Selain itu, Manuel Ott juga boleh dijadikan sandaran pasukan menerusi kelebihan sepakan percuma jarak jauh yang dimiliki, sekali gus memudahkan urusan benteng pertahanan dalam menjaga kubu daripada dibolosi.
Kedah yang bakal memulakan aksi pusingan pertama Piala Malaysia menentang Perak FC pada 3 Ogos nanti, pastinya menjadi tumpuan pemerhati bola sepak tanah air dengan potensi Sang Kenari pada musim ini dilihat antara pencabar terkuat di samping Selangor FC dan Johor Darul Takzim (JDT). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram