PENTADBIR dan pegawai teknikal sukan olahraga terkenal, R. Govindaraju, meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan kuman di paru-paru di Hospital Pulau Pinang pada Selasa malam.
Mendiang berusia 71 tahun merupakan bekas Setiausaha Persatuan Olahraga Perak (PAA) selama sembilan tahun dan Setiausaha Jawatankuasa Teknikal Persekutuan Olahraga Malaysia (MAF) selama 15 tahun.
Mendiang meninggalkan seorang isteri dan dua anak perempuan.
Berita duka tersebut dimaklumkan oleh Presiden PAA dan bekas Presiden MAF, Karim Ibrahim, kepada Bernama pada Rabu.
Karim turut menyifatkan pemergian mendiang sebagai kehilangan besar untuk sukan olahraga negara dan rantau Asia selain menjaga perkembangan dan persiapan jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan pelari 400 meter (m) wanita negara, Shereen Samson Vallabouy, semasa mencurah bakti kepada PAA.
"Dunia olahraga telah kehilangan seorang yang hebat, banyak berkorban untuk olahraga selama tiga dekad. Seorang yang sangat merendah diri dan rajin yang pernah saya temui,” katanya.
Karim berkata, mendiang merupakan seorang bekas guru, jurulatih dan pegawai teknikal olahraga yang membantu mengendalikan banyak kejohanan olahraga peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa serta dilantik oleh Olahraga Dunia sebagai Pegawai Teknikal Antarabangsa untuk rantau Asia.
Selain itu, katanya, mendiang merupakan perwakilan teknikal sukan olahraga pada temasya Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur, beberapa temasya Sukan SEA dan Sukan Malaysia (SUKMA).
Upacara sembahyang diadakan di rumah mendiang di Taman Minamah, Nibong Tebal, sebelum upacara pembakaran jenazah disempurnakan di Bukit Mertajam. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram