NUKILAN Laptop Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
KESAL dan ralat tiada dalam kosa kata Irfan Bakti Abu Salim di sebalik keputusan muktamadnya untuk melepaskan jawatan ketua jurulatih Kuching City FC (KCFC) berkuatkuasa pada Isnin.
Malah, jurulatih veteran berusia 72 tahun itu tidak lagi mengendalikan latihan dengan menyerahkan tugas itu sepenuhnya kepada penolong ketua jurulatih, Sulaiman Hussin.
Namun, Sulaiman dilaporkan turut menyerahkan surat peletakan jawatan tapi KUFC difahamkan sedia berbincang untuk menawarkannya jawatan ketua jurulatih sementara.
“Ini bukan caranya saya mahu berundur sebagai jurulatih (ketika pasukan berada di bawah) tapi kalau pasukan dalam keadaan baik, saya tak akan berhentilah,” kongsi Irfan Bakti dengan Laptop Cabuk.
“Pengurusan KCFC terlalu baik dengan saya, seboleh-bolehnya mereka mahu saya teruskan tapi saya perlu mengambil tanggungjawab penuh di atas kemerosotan pasukan.”
Didorong oleh rasa bertanggungjawabnya itu, Irfan Bakti yang membawa masuk tiga pemain import baharu dalam jendela perpindahan kedua yang dibuka pada 5 Julai, tidak dapat menerima hakikat KCFC tewas dua perlawanan berturut-turut sejak itu.
Dechi ditimpa kecederaan pada aksi menentang Sabah. — Facebook/KuchingCity
Dengan Dechi Marcel tercedera teruk dalam perlawanan pengenalannya bersama Pedro Henrique manakala Bruno Dybal langsung tidak tersenarai kerana lebih dahulu cedera dalam latihan, KCFC tewas 3-4 kepada Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 8 Julai.
Kemudian, dalam perlawanan di gelanggang sendiri di Stadium Negeri Kuching pada Ahad, mereka tunduk pula 1-2 kepada Perak FC – kemenangan pertama di bawah ketua jurulatih skuad Seladang, Yusri Che Lah, selepas lima perlawanan.
“Lepas game dengan Perak, saya terus hubungi presiden KCFC (Fazzrudin Abdul Rahman) maklumkan hasrat saya untuk lepaskan jawatan atas rasa penuh tanggungjawab terhadap kemerosotan prestasi pasukan.
“YB Fazzrudin (ADUN Tupong dan Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak) ada bertanyakan sama ada saya betul-betul dah buat keputusan dan saya jawab ‘ya’ dan beliau menerima baik.
“Pengurusan KCFC terlalu baik dengan saya hingga saya tak tau nak cakap apa dah. Pasukan tak menang-menang juga, termasuk di tempat sendiri,” katanya.
Irfan Bakti mengendalikan KCFC sejak 2021, termasuk berhasil membawa pasukan itu menduduki tangga ketiga Liga Perdana musim lalu selain layak ke suku akhir Piala FA dan Piala Malaysia.
Malah, banyak yang dikongsikannya mengenai perjalanan panjangnya sejak kali pertama menduduki kerusi ketua jurulatih Negeri Sembilan pada musim 1999.
Hasil didikan Irfan, penyerang berbisa Kuching City, Abu Kamara dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak Liga Perdana 2022 bagi Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) tahun tersebut. — Facebook/KuchingCity
Dalam musim sulungnya itu, skuad Jang menduduki tangga ketiga liga di samping mara sejauh separuh akhir Piala Malaysia – seolah-olah satu pengumuman Irfan Bakti sudah tiba dalam kancah bola sepak Malaysia.
“Ini adalah tahun terakhir saya mengendalikan sebuah pasukan dalam Liga Super. Keputusan untuk bersara sebenarnya sudah saya tangguhkan beberapa kali. Musim ini adalah yang terakhir. Saya dah terlalu penat,” tambahnya kepada Laptop Cabuk, 16 Mac lalu.
Cuma, sayang sekali kejayaan memenangi Piala Malaysia atau Liga Super tidak akan tertulis dalam senarai pencapaian, yang diredainya sebagai rezeki yang sudah tertulis setakat itu.
Sebelum pengenalan Liga Super pada 2004 lagi, dia lebih dahulu mengecap kejuaraan liga Divisyen Satu bersama Pulau Pinang pada 2001, disusuli kejayaan menjulang Piala FA pada tahun berikutnya.
Selepas beberapa tahun berselang yang menyaksikan jurulatih itu ketandusan gelaran ketika membimbing Telekom Melaka FC (2005-2006) dan Perlis (2008-2009), dia kembali bergelar juara tatkala menjulang Piala FA bersama Terengganu pada 2011.
Irfan menjulang Piala FA bersama Terengganu pada 2011. — Agensi
“Kebanyakan pasukan yang saya latih juga sekurang-kurangnya pernah mengecap kedudukan naib juara,” jelasnya merujuk kepada Pulau Pinang (naib juara Piala FA 2000), Telekom Melaka (naib juara Liga Super 2006), Persipura FC (naib juara Liga Indonesia 2007), Perlis (naib juara Liga Super 2009), Selangor (naib juara Liga Super 2012) dan Felda United (naib juara Liga Super 2016).
“Tapi biasalah, tiada siapa yang ingat pasukan naib juara,” ujarnya ketika itu. Selain beberapa piala yang dimiliki, Irfan Bakti menagih sedikit pengiktirafan daripada kejayaan membawa empat pasukan dinaikkan ke Liga Super daripada Liga Perdana -- Telekom Melaka FC (2004), Felda United (2014), Terengganu FC (2017) dan Kuching City FC (2021).
Pada 2019, Irfan Bakti mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan apabila Terengganu kendaliannya yang mendahului PJ City 3-0 di Stadium Sultan Ismail, Kuala Terengganu kesudahannya tewas 5-3.
Peletakan jawatannya bersama KCFC pada Isnin adalah kali ketiga dia meletakkan jawatan selepas bersama Telekom Melaka pada 2007 dan Terengganu pada musim 2019 di samping pernah menawarkan diri untuk berbuat yang sama selepas skuad The Cats itu tewas tiga atau empat kekalahan pada awal musim ini.
“Mana ada jurulatih letak jawatan, selalunya mereka direhat. Ini pun kira saya dah rugi setengah juta ringgit (pampasan jika dipecat). Tapi saya tak suka istilah direhatkan, jadi biarlah saya letak jawatan saja,” katanya.
Irfan mula melatih The Cats pada musim 2021. — Facebook/KuchingCity
Sebagai jurulatih veteran yang sudah memasuki tahun ke-23 dalam Liga Malaysia, Irfan Bakti tahu bila waktunya untuk dia berundur daripada satu pekerjaan yang sudah menjadi darah dagingnya.
“Dua setengah musim bersama Kuching City, cukuplah... Jauh daripada rasa ralat dan walaupun penamatnya tak cantik, saya perlu terimanya.
“Jurulatih ni, kerja dia sangat stress, tambah-tambah bila team tak menang-menang.
“Sekarang, saya rasa sangat tenang, tak ada nak stress-stress lagi,” kata Irfan Bakti, yang mengucapkan salam perpisahan ketika KCFC terperosok di tangga kedua terbawah dengan enam mata hasil satu menang, tiga seri dan 12 kalah.
“Tentunya ini bukan caranya saya mahu berundur sebagai jurulatih.” — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram