
NAMA B Sathianathan sememangnya bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan selepas bertahun-tahun terlibat sebagai jurulatih.
Setelah memulakan karier dalam bidang berkenaan pada 1990 bersama skuad belia Negeri Sembilan, jurulatih kelahiran Perak itu mula terlibat dengan beberapa pasukan Liga Super.
Kelantan FA, ATM FA serta Selangor FC merupakan antara kelab yang dibimbingnya dengan pelbagai kejuaraan diraih sepanjang tahun-tahun perkhidmatannya.
Tidak cukup dengan itu, dia juga pernah diberikan peluang untuk bergelar jurulatih pasukan kebangsaan, termasuk ketika dia dilantik sebagai pengendali skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara.
Walaupun tidak membawa sebarang perubahan drastik, ia tidak menghalang penyokong bola sepak tanah air daripada mengangkat namanya sebagai salah seorang yang terbaik dalam bidang itu.
Pandangan berkenaan turut dikongsikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila Sathianathan pernah dinamakan sebagai jurulatih terbaik negara pada 2010, 2012 dan 2017.
Namun, pada Selasa, dunia bola sepak tanah air dikejutkan dengan berita pemergiannya setelah difahamkan menghidap kanser sejak pertengahan tahun lalu.
Perkhabaran berkenaan mendapat respons ramai pihak, termasuk figura-figura penting dalam industri berkenaan dengan ada yang sempat berkongsi momen-momen manis mengenai mendiang.
Kemenangan bersejarah, personalitinya yang terbuka dan kelantangan di hadapan lensa kamera adalah sedikit sebanyak personaliti yang mudah dikenal pasti mengenai Sathianathan.
Jadi, mengimbau semula tahun-tahunnya sebagai jurulatih, terdapat lima kenangan indah yang sukar dilupakan berkaitan jurulatih terbabit.
1. 'Salah ke saya turunkan pemain keling?'
Pada 2020, Sathianathan yang ketika itu mengendalikan skuad Gergasi Merah melakukan kejutan selepas menegur peminat bola sepak yang bersikap perkauman.
Kejadian berkenaan berlaku dalam sidang media selepas aksi Liga Super menentang Perak FA yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selangor.
Sathianathan yang cukup dikenali dengan sikap keterbukannya memilih untuk meluahkan rasa kekecewaannya apabila sebilangan penyokong melabel jurulatih itu 'pilih bulu' kerana kerap menurukan pemain berbangsa India, K Prabakaran.
Sathianathan secara terbuka mengkritik penyokong mengenai pilihan pemainnya.
"Adakah salah kalau saya menurunkan seorang 'keling' seperti saya? 'Keling' bukan pemain bola, saya nak tanya kepada pengguna Facebook.
"Cara mereka tulis seperti tidak pergi sekolah langsung. Dah berapa tahun kita sudah merdeka, 62 atau 63 tahun? Masih ada lagi maki dan menggunakan perkataan 'keling', itu fans ke?" katanya.
Luahan kekecewaan tersebut jelas mencuri perhatian media dengan ramai pihak menganggap kata-kata yang dikeluarkannya itu tepat untuk menceritakan situasi bola sepak tanah air ketika itu.
Meskipun perubahan secara ketara tidak dapat disaksikan, ia sedikit sebanyak menjadi tamparan buat penyokong yang bersikap rasis dengan kes sebegitu sudah jarang menjadi topik perbualan hangat.
2. 'Jangan jadikan bulan puasa sebagai alasan'
Setahun sebelum itu, Sathianathan mencalarkan imejnya sendiri dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan apabila tidak mahu pemain Muslim menggunakan alasan bulan Ramadan untuk tidak bermain di tahap terbaik.
Dia yang ketika itu memegang jawatan sebagai ketua jurulatih Selangor FC berpendapat sedemikian kerana perubahan terbabit hanya akan mengganggu kemeriahan dalam kalangan peminat.
Bagaimanapun, Sathianathan terbuka untuk menerima maklum balas daripada pemeluk agama Islam sambil menggunakan pendirian tahun-tahun penglibatannya sebagai jawapan kepada mereka yang kurang berpuas hati.
Sathianathan cukup terkenal dengan personalitinya yang lantang di luar padang.
"Apa yang saya lakukan untuk pemain Selangor, saya akan memulakan latihan pada pukul 11 malam selain menyediakan makanan seperti susu dan kurma selepas berlatih kepada pemain," katanya ketika itu.
Kenyataan terbabit jelas mengundang padah memandangkan ramai penyokong bola sepak mula mengkritik pandangan mendiang, lebih-lebih lagi di media sosial.
Namun, ia seperti tidak memberi kesan kepada pemain di atas padang memandangkan cara yang dicadangkan Sathianathan mula dipraktikkan sebilangan pasukan.
Tidak cukup dengan itu, Liga Super pada hari ini beraksi dengan cukup baik meskipun pada bulan puasa dengan lebih ramai yang sudah membiasakan diri dengan situasi itu.
3. Kejayaan Piala Malaysia 2010 bersama skuad TRW
Pada awal dekad lalu, Kelantan FA boleh dianggap sebagai salah sebuah pasukan terbaik apabila sering mencatatkan kejayaan demi kejayaan di peringkat domestik.
Pencapaian treble pada 2012 merupakan puncak di sebalik zaman kegemilangan skuad The Red Warriors (TRW) apabila mereka menggondol tiga trofi dalam semusim.
Namun, pemangkin di sebalik tempoh manis itu adalah ketika mana mereka membuktikan kebolehan pasukan dalam kalangan pasukan bola sepak tanah air pada 2010.
Kelantan FA menjulang Piala Malaysia 2010 ketika berada di bawah kendalian Sathianathan.
Kelab Pantai Timur tersebut pada ketika itu dikendalikan Sathianathan yang dibawa masuk pada 2009 bagi menggantikan ketua jurulatih kelahiran England, Peter Butler.
Selepas menamatkan saingan Liga Super dengan status naib johan, Kelantan FA mencatatkan kejayaan tersendiri apabila menjulang trofi Piala Malaysia.
Kemenangan tersebut diraih selepas mereka menundukkan sebuah lagi pasukan gergasi tanah air, Negeri Sembilan FC dengan keputusan 2-1 hasil jaringan Hairuddin Omar dan Badhri Radzi sementara gol pihak lawan dijaringkan Shahurain Abu Samah.
Momen berkenaan pastinya sukar dilupakan penyokong bola sepak tempatan, lebih-lebih lagi dalam kalangan peminat setia skuad TRW yang tidak henti-henti mengangkat nama Sathianathan.
4. Hentam media atas prestasi Selangor FC
"Ada akhbar kata kami bungkus. Saya gunakan akhbar itu untuk membungkus nasi lemak saya."
Itu merupakan reaksi Sathianathan pada 2019 selepas segelintir pihak mempersoalkan pendekatan diambil pengendali tersebut dalam saingan peringkat domestik.
Namun, jurulatih terbabit membuktikan bahawa dia masih relevan dalam bidang yang diceburinya itu apabila membawa skuad Gergasi Merah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia.
Empat tahun lalu, Selangor FC merupakan salah sebuah pencabar Liga Super.
Pencapaian itu diraih Selangor FC selepas menundukkan pencabar Liga Super, Perak FA di suku akhir dengan agregat 3-2, termasuk kebangkitan bersejarah di laman sendiri.
Sathianathan pastinya berbangga atas kedudukan skuad ketika itu sehingga berani mengeluarkan kenyataan seperti itu, sekali gus menceritakan mengenai mentalitinya sebagai seorang ketua jurulatih.
Bagaimanapun, mereka terpaksa akur dengan keagungan Johor Darul Takzim (JDT) selepas tewas dalam kedua-dua perlawanan semi final, sekali gus menutup peluang mereka untuk menjulang Piala Malaysia.
Tetapi, luahan yang dibuat itu semestinya menceritakan mengenai personaliti Sathianathan yang tidak pernah getir untuk menegaskan pendiriannya selain menceritakan akan kemampuan pasukan sendiri.
5. Kejayaan Pestabola Merdeka
Selain mewarnai arena bola sepak di peringkat kelab, Sathianathan juga pernah berpeluang menunjukkan bakatnya bersama pasukan negara.
Antara momen yang sukar dilupakan adalah ketika mana dia bergelar ketua jurulatih untuk skuad B-23 negara selama dua tahun, iaitu pada 2006 sehingga 2008.
Tetapi, kejayaan terbaik pernah dicatatkan pasukan muda itu adalah ketika mereka menjuarai Pestabola Merdeka 2007 selepas menewaskan Myanmar.
Pasukan yang ketika itu dibintangi nama-nama besar seperti Zaquan Adha Abd Radzak, Safee Sali dan Khyril Muhymeen Zambri beraksi dengan cukup baik sepanjang kejohanan itu.
Skuad B-23 negara menjuarai Pestabola Merdeka 2007 ketika berada di bawah kendalian Sathianathan.
Ia merupakan pencapaian terbaik skuad B-23 negara memandangkan kali terakhir mereka memenangi apa-apa kejohanan sebelum itu adalah ketika kejayaan Piala Bangabandhu 1997.
Kemenangan tersebut sedikit sebanyak menjulang nama Sathianathan yang kemudiannya diangkat sebagai pengendali Harimau Malaya pada tahun berikutnya.
Ia juga dilihat sebagai titik perubahan buat pasukan pelapis negara apabila mereka terus menjuarai beberapa kejohanan pada tahun-tahun selepas itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram