KEHANGATAN pusingan akhir Piala FA semakin dirasai apabila Johor Darul Takzim (JDT) bakal berdepan KL City FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Sabtu ini.
Selepas 16 pusingan, JDT sekali lagi berjaya menempah tiket ke pusingan akhir ke kejohanan piala domestik itu selepas kali terakhir membawa pulang trofi sulung pada musim 2022.
Ketika itu, pasukan Harimau Selatan berjaya membaham Terengganu FC 3-1 sepanjang 90 minit perlawanan, sekali gus menamatkan kemarau tanpa gelaran juara Piala FA.
Mengimbau kenangan skuad gergasi Selatan itu bersaing dalam kejohanan tersebut, bekas pemainnya, Jasazrin Jamaludin menceritakan kisahnya berkhidmat untuk pasukan berkenaan sejak 2013.
Katanya, walaupun bangga skuad Harimau Selatan berjaya menempah tempat ke pusingan akhir Piala FA, namun tidak dinafikan agak gementar apabila berdepan Kelantan FC yang ketika itu nama mereka agak gah dan menjadi sebutan ramai.
"Crowd dari JDT dan Kelantan FC luar biasa, begitu ramai, tidak kira dari mana pun mereka support. Kelantan FC (ketika itu) satu pasukan yang kuat dengan pemain dan nama (yang terkenal), (manakala) JDT pula baru ditubuhkan dan baru nak mula catch up dalam Liga Malaysia.
"Tapi kita sebagai pemain diberi tugas dan kita tetap buat. Namun ketika itu, Kelantan terlalu baik (cemerlang) dengan pemain-pemain yang ada," katanya dalam satu temu bual dalam segmen Jejak Legenda bersama Malaysia Football League pada Selasa.
Farizal banyak memberi sokongan kepada Jasazrin semasa berkhidmat dengan JDT. — Facebook/ Johor Southern Tigers
Walaupun bekas bintang JDT tersebut kecewa tidak dapat membawa pulang trofi Piala FA selepas ditewaskan pasukan dari Pantai Timur itu, mereka tidak mengalah dan meneruskan perjuangan untuk mendapatkan trofi itu tiga tahun kemudian.
Berkat usaha sepasukan, dendam mendapatkan trofi sulung itu terbalas selepas menewaskan PKNS FC 2-1 selepas gawang dibolosi pihak lawan seawal minit keenam perlawanan tersebut.
Jasazrin turut memaklumkan berdepan kesukaran apabila jurulatih JDT ketika itu menurunkannya dalam kesebelasan utama di posisi bek kiri yang waktu itu digalas oleh Fazly Mazlan untuk digandingkan bersama S. Kunanlan di bek kanan.
"Jadi bila saya ditugaskan di posisi itu, agak sukar kerana ia bukan posisi saya, tapi saya jalankan tugas.
"Tapi alhamdulillah, penjaga gol ketika itu Farizal Marlias banyak guide saya. Kalau tak ada kawan macam itu, mungkin saya tidak mempunyai motivasi (untuk bermain).
"Farizal Marlias the best goal keeper, dia guide (pemain pertahanan) cukup baik," katanya.
Mengulas lanjut tentang persiapan JDT menentang skuad The City Boys itu, Jasazrin menasihatkan agar mereka tidak terlalu yakin dan mengambil mudah terhadap pihak lawan.
"Saya rasa peluang (untuk menang Piala FA) itu tiada masalah. Kalau pemain masih maintain prestasi, tidak terlalu yakin. Jika JDT ambil mudah (pihak lawan), bahaya untuk mereka," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram