[VIDEO] Lagi dakwaan kecuaian hospital, bayi usia sebulan hidap 'chicken pox' terpaksa dibedah lepas bengkak dicucuk jarum


  • Tular
  • Selasa, 18 Jul 2023

Tangkap layar seorang bayi berusia sebulan terpaksa menjalani pembedahan dipercayai akibat kecuaian doktor di sebuah hospital dekat Melaka.

SEORANG bayi perempuan terpaksa menjalani pembedahan selepas mengalami ketumbuhan nanah di tangannya yang disyaki akibat kecuaian doktor, dalam kejadian dipercayai berlaku di sebuah hospital di Melaka.

Perkara itu dikongsikan di laman Facebook Mohamad Izwan pada Isnin dengan dakwaan mengatakan anak saudaranya yang baru berusia sebulan, telah dijangkiti demam dan bengkak tangan selepas pulih daripada penyakit demam campak (chicken pox).

Pada mulanya, dia mendakwa ia berpunca akibat kecuaian doktor. Begitupun dakwa Mohamad Izwan, pihak hospital menafikan perkara tersebut dengan menyifatkan ia adalah kesan daripada jangkitan penyakit demam campak yang dialami bayi berkenaan.

Justeru, dakwanya, pihak hospital memaklumkan pembedahan perlu dilakukan bagi membuang nanah di bahagian tersebut.

Perkongsian tersebut meruntun hati ramai hingga tular di media sosial, namun, Mohamad Izwan telah memadam posting berkenaan.

Sehingga berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan lanjut daripada pihak hospital mahupun Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung insiden berkenaan.

Sebelum ini, negara dikejutkan dengan kes kematian kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, Dea Maisarah Bada yang didakwa berpunca akibat kecuaian di sebuah hospital kerajaan di Klang, Selangor baru-baru ini.

Mangsa meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di sebuah hospital kerajaan di Klang sebelum tular di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai persepsi orang ramai.

Dalam perkembangan sama, pihak hospital juga didakwa membuat laporan palsu berhubung kematian kanak-kanak tersebut dengan mengatakan mangsa sudah meninggal dunia ketika dihantar untuk mendapatkan rawatan.

KKM dilaporkan masih menunggu laporan siasatan polis berhubung kes terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram