LALUAN berlubang dan tidak rata kian menjadi bualan hangat dalam kalangan pemandu jalan raya yang mula melihat perkara itu sebagai masalah serius.
Menganggap ia juga sebagai salah satu punca kemalangan dan tragedi berdarah di atas jalan, rata-rata masyarakat di kawasan pedalaman mahupun bandar sememangnya mahukan laluan yang selamat untuk dilalui seiring dengan keselamatan yang lebih terjamin.
Tidak dinafikan bahawa syarikat utiliti yang bertanggungjawab dalam hal terbabit cukup peka dengan isu yang melanda namun, tahap kualiti proses turapan dijalankan dikatakan kurang memuaskan dengan ia mudah berlubang selepas hujan lebat melanda.
Turut mendapat perhatian pihak atasan, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menggesa agar syarikat berkaitan tidak mengambil mudah terhadap kerja baik pulih jalan raya yang dijalankan.
Alexander Nanta Linggi meminta agar syarikat utiliti yang menjalankan kerja baik pulih jalan raya lebih komited dalam melakukan tugas. — Awani
Beliau berkata, mereka seharusnya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan, bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjaga sekiranya proses tampalan dan penurapan jalan raya yang dilaksanakan tidak sempurna.
"Saya ingatkan syarikat utiliti, jangan suka-suka selepas buat kerja dan biarkan saja Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), menanggung apa sahaja masalah yang lagi teruk. Ini akan menimbulkan masalah keselamatan dan keselesaan kepada pengguna," katanya dalam satu laporan media.
Di ruangan Facebook, perkara itu turut mendapat perhatian masyarakat yang seperti sudah lali dengan isu tersebut.
"Turap jalan sekarang tak ada kualiti langsung, hujan sikit berlubang balik, serupa tampal tahi hidung, memang berbahaya," kata Apiklanas.
"Menteri pergi tanya pegawai kamu adakah mereka buat kerja dengan betul ataupun sekadar lepas tugas pada kontraktor sahaja, tutup lubang tak sampai seminggu terus rosak balik, kerja yang dibuat dipantau ke tidak oleh pihak atasan," ujar Shunmuganar Muthalagu.
"Syarikat tak semak betul tugas penurapan yang dijalankan, asal buat kerja tutup lubang je tapi kualiti memang ke laut," jelas Mohd N. Jailani.
"Sepatutnya, kerajaan sendiri kena pantau tugas-tugas syarikat utiliti yang buat turap jalan ini, bukan sekadar beri arahan dan lepas tangan, tiap kali lepas hujan mesti rosak balik jadi keselamatan pemandu memang tak terjamin," tambah Faizal Johari.
Dengan faktor cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini, ia turut mengundang pelbagai kerosakan jalan raya yang boleh menyumbang kepada isu kemalangan dan tragedi kematian membabitkan pemandu dan penunggang motosikal.
Justeru, dengan isu berbangkit yang masih tiada penyelesaian itu, diharapkan pihak kerajaan khususnya Kementerian Kerja Raya lebih peka dengan proses sebelum dan selepas penyelenggaraan dijalankan di sesebuah kawasan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram