KEKALAHAN skuad simpanan Sang Kenari di tangan pasukan Penang FC dalam saingan Piala MFL pada Isnin nyata meninggalkan kesan mendalam buat peminat Kedah.
Tewas dengan keputusan 1-2 di tempat lawan, menyaksikan anak-anak buah Roslee Md Derus jatuh satu anak tangga di kedudukan keempat dalam carta kumpulan A Piala MFL musim ini.
Namun, dalam satu temu bual bersama ketua jurulatih pasukan tersebut, Roslee menyifatkan kekalahan itu sebagai salah satu strategi untuk dia merancang taktikal terbaik ketika bertemu Johor Darul Takzim (JDT II) di perlawanan berikutnya nanti.
Antara kelibat yang direhatkan termasuk penggempur berbisa mereka, Ebenezer Assifuah yang diletakkan di bangku simpanan.
Jelas Roslee, kesebelasan utama hanya akan diturunkan menjelang pertemuan itu kelak dengan minit permainan dan tenaga tonggak utama yang disimpan, menjadi sandaran untuk menewaskan pasukan muda Harimau Selatan tersebut.
Kedah yang kini dipisahkan dengan satu mata dengan JDT II, masih berpeluang untuk memperbaiki kedudukan sekiranya berjaya meraih kemenangan dalam pertemuan tersebut.
KDA FC B tewas 1-2 di tangan pasukan Penang FC 2 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang. — Facebook/KDA FC
Namun, saingan seterusnya kelak dijangka akan diberi tentangan sengit oleh skuad ubi muda JDT yang semestinya enggan berputih mata dalam pertemuan tersebut.
Dengan kredibiliti pasukan itu yang sememangnya dilengkapi dengan fasiliti dan pemain yang berkualiti, ia pastinya satu cabaran yang sukar buat Kedah mengatasi kelab berkenaan.
Melihat kepada taktikal jurulatih Kedah yang enggan menurunkan pemain utama di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, penyokong menganggap tahap kecergasan pemain juga perlu dititikberatkan dengan ia dilihat salah satu kelebihan dimiliki pasukan JDT II.
Menggesa agar latihan kecergasan berintensiti tinggi dikenakan terhadap pemain di skuad muda, Syed Salahudin A-Ayubi berpendapat bahawa sesi latihan yang lebih keras perlu dijalani pemain-pemain Kedah.
"Sepatutnya latihan kecergasan kena tegas sikit tak kira skuad senior ataupun junior, latihan sekarang masih di tahap kebiasaan pasukan lain di Malaysia.
"Latihan kena tambah baik lagi jadi intensiti tinggi sama tahap dengan kelab luar, awal-awal memang akan muntah sebelum badan dapat biasakan dengan latihan keras.
"Memang payah la nak cabar JDT kalau latihan masih di tahap yang biasa, mereka semua dah terapkan latihan berkualiti tinggi dan ada ramai pemain yang bertubuh sasa," katanya di rungan komen Facebook.
Jelasnya lagi, faktor saiz badan yang kurang tegap juga dikatakan sebagai salah satu punca pemain sukar untuk merebut bola dan tewas dengan pasukan lain.
"Pemain-pemain Kedah badan kena 'fit' sikit, ini tak, bila kena gasak dah nak rebah, Korea dan Jepun fizikal lebih kurang sama dengan kita tapi mereka boleh bersaing setaraf eropah," jelasnya.
Tidak dinafikan bahawa kecergasan pemain di atas padang amat diperlukan untuk sesebuah pasukan kekal melakukan serangan dalam tempoh 90 minit di atas padang dan perkara itu perlu segera ditambah baik oleh pihak pengurusan sekiranya ingin meraih kemenangan.
Untuk rekod, kedudukan teratas kumpulan B saingan Piala MFL kini dikuasai oleh pasukan Terengganu FC II dengan 31 mata sambil diekori rapat PDRM FC (28), JDT II (26) dan KDA FC B (25)..
Mengikut format Piala MFL, empat pasukan teratas dari kumpulan A dan B akan layak ke pusingan kedua dan empat pasukan terbabit sudah layak.
Persaingan di Kumpulan B pula lebih terbuka antara Selangor FC B, Kuala Lumpur City FC Extension, Perak FC II, Sri Pahang FC II, Negeri Sembilan FC II, Kuching City FC II dan Kelantan United II memandangkan perbezaan mata yang tidak jauh berbeza. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram