PENDUDUK di kediaman Pangsapuri Mentari Court 1, Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor difahamkan tidak mengalami sebarang masalah dengan lambakan warga asing yang dikatakan semakin mendominasi kawasan perumahan tersebut.
Kediaman itu yang didakwa dipenuhi dengan golongan pendatang, bagaimanapun masih menjadi pilihan untuk didiami oleh sesetengah penduduk tempatan yang senang dengan situasi tersebut.
Sebelum ini, tular satu video di laman TikTok memaparkan landskap pangsapuri berkenaan dipenuhi dengan penduduk asing khususnya warga Myanmar yang sekali gus mengundang rasa jelik dalam kalangan warga tempatan yang tidak menduduki tempat tersebut.
Memaparkan beberapa individu asing di kawasan taman tersebut, warganet di ruangan komen turut mengecam kehadiran golongan terbabit.
Namun, tinjauan Majoriti di pangsapuri itu menunjukkan sebaliknya dengan situasi tersebut tidak seteruk seperti yang dikongsikan di laman media.
Dengan lambakan penduduk asing yang mendiami kawasan terbabit, masyarakat tidak mempertikaikan kehadiran mereka dengan keselamatan dan kelengkapan fasiliti di situ dikatakan lebih terjamin di bawah kendalian golongan berkenaan.
Kerja-kerja pembersihan di kawasan tersebut yang dikuasai rata-rata pekerja asing, dianggap lebih terjamin susulan fasiliti seperti taman permainan dan kolam renang di situ dijaga dengan baik tanpa sebarang kerosakan mahupun pencemaran.
Menganggap golongan pendatang sebagai rakan karibnya, Nurul Wani, 35, meletakkan kepercayaan sepenuhnya terhadap Ruwandi Kiman, 33, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di pangsapuri berkenaan.
Nurul Wani (kiri) sempat bergurau senda dengan Ruwandi Kiman (kanan) ketika ditemu bual wartawan.
Menurutnya, setakat ini tiada sebarang isu berbangkit di kediaman tersebut dengan penduduk asing dan tempatan saling hormat menghormati satu sama lain.
"Memang sini ramai warga asing, tetapi mereka tak kacau kita dan kita pun tak kacau mereka, bahkan pekerja-pekerja pembersihan dan pelayan restoran di sini juga terdiri daripada mereka.
"Jadi, saya memang tak ada isu dengan mereka dan taman permainan di sini digunakan sebaiknya oleh kanak-kanak tempatan dan asing.
"Myanmar dan Nepal antara yang ramai mendiami kawasan sini tapi tak ada kecurian yang berlaku dan pondok pengawal keselamatan sentiasa beroperasi 24 jam sehari sekiranya ada kecemasan," katanya kepada Majoriti.
Seorang lagi penduduk tempatan, Fariz Zulkifli, 36, juga tidak melihat situasi itu sebagai satu masalah.
Mula menetap sejak 2011, sehingga kini dia sudah memiliki empat orang anak dan selesa tinggal di kawasan berkenaan tanpa gangguan daripada pihak terbabit.
"Saya dah tinggal sini lebih 10 tahun dan warga Myanmar, Nepal dan Bangladesh sini tak kacau kita, ada yang hormat kita pun ada.
"Cuma memang tak nafikan bahawa persepsi masyarakat luar mungkin agak sedikit sinis terhadap kami yang tinggal di sini, tetapi terpulang la kepada mereka untuk menilai, yang penting saya sekeluarga selamat.
"Ada yang peramah dan suka bermain dengan anak-anak kami, hujung minggu memang kawasan taman permainan di sini akan dipenuhi kanak-kanak tak kira warga asing ataupun tempatan," jelasnya.
Dalam pada itu, Pangsapuri Mentari Court terbahagi kepada dua bahagian iaitu Mentari Court I dan Mentari Court II dengan kedua-duanya mempunyai empat blok 18 tingkat yang setiap satunya terdiri daripada kira-kira 200 unit setiap blok.
Dengan mendengar sendiri apa yang dikatakan oleh penghuni tempatan di Mentari Court I, tidak wajar bagi orang ramai membuat spekulasi berkaitan video tular terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram