Ramalan 6 perlawanan: Sabah FC, Tok Gajah bakal pamer aksi terbaik rebut kedudukan terbaik carta Liga Super


  • Podium
  • Jumaat, 14 Jul 2023

Tumpuan semestinya diberikan kepada pertembungan antara kelab gergasi JDT dengan Kelantan FC. — Facebook

AKSI Liga Super bakal diteruskan dengan tujuh perlawanan bakal berlangsung pada minggu ke-17 membabitkan kesemua 14 pasukan yang bertanding.

Pertembungan antara Kelantan FC dengan Johor Darul Takzim (JDT) serta perlawanan antara Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kelantan United bakal berlangsung pada Jumaat.

Tetapi, perlawanan yang ditunggu-tunggu pastinya antara Sabah FC dan Sri Pahang FC memandangkan kedua-dua pasukan itu kini berada dalam kelompok lima pasukan teratas.

Selain itu, perlawanan yang menemukan Selangor FC dan Penang FC juga tentunya menarik dengan skuad Gergasi Merah mahu memperbaiki semula prestasi dalam liga dengan visi menjarakkan mata dengan Sri Pahang yang ketika ini berkongsi 34 mata.

Jadi, melihat kepada ketujuh-tujuh pertembungan yang dijadualkan, ramalan boleh dibuat untuk melihat kelab yang lebih berpotensi untuk meraih kemenangan.

Dalam meramal keputusan itu, Majoriti memilih untuk bertanya kepada dua wartawan, Zikry Marzuki dan Rahmi Jumriati Jono untuk mengetahui pandangan masing-masing.

358605597_836492834877643_3550730749404461048_n

Harith Akif boleh bawa pulang gol sagu hati untuk Kelantan FC berdasarkan prestasinya sebelum ini ketika perlawanan menentang Penang FC. — Facebook

1. Kelantan FC vs Johor Darul Takzim (JDT)

Rahmi Jumriati — Kekal rekod tanpa kalah

"Walaupun bermain di laman sendiri, JDT kekal meraih tiga mata di bumi Darul Naim. Tapi tidak mengejutkan kalau ubi muda TRW, Harith Akif boleh bawa pulang gol sagu hati untuk Kelantan FC berdasarkan prestasinya sebelum ini ketika perlawanan menentang Penang FC baru-baru ini.

"Meskipun turun dengan pasukan kedua, pasti tiada masalah untuk Esteban Solari meneruskan rekod tanpa kalah selain meneruskan rekod kemenangan bersejarah dalam Liga Super."

Zikry Marzuki — Jaringan besar

"JDT mampu menang mudah dengan keputusan 5-0 meskipun aksi berkenaan bakal berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan.

"Gol sepertinya bakal dihasilkan Diogo yang mampu diletakkan kesebelasan utama sementara Arif Aiman Hanapi, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Fernando Forestieri juga dilihat berpotensi mencetak gol."

358656131_311584257889425_8512277199366458111_n

Kemenangan mudah pastinya dapat direkodkan skuad Sang Kenari pada perlawanan menentang Kelantan United. — Facebook

2. Kedah Darul Aman FC (KDA FC) vs Kelantan United FC

Rahmi Jumriati — Kedah menang mudah

"Kedua-duanya sudah menguji pemain baharu pada perlawanan sebelum ini. Jika tengok pada prestasi semasa, skuad Sang Kenari boleh menang di laman sendiri. Ifedayo sudah mempunyai keyakinan sebab dapat meledakkan satu gol pada aksi debutnya dan sudah pasti dia tak sabar nak jaring gol di depan penyokong Kedah pula.

"Manakala Kelantan United FC (KUFC) pula, minggu lawan Perak FC bergelut nak menjaringkan gol walaupun The Bos Gaurus pasukan terbawah. Adapun rezeki dapat penalti. Apakan lagi jurang antara Hijau Kuning dan KUFC yang dibezakan dengan 24 mata, mudah untuk Kedah menewaskan pasukan pelawat."

Zikry Marzuki — Ledakan Ifedayo lagi

"Kemenangan mudah pastinya dapat direkodkan skuad Sang Kenari dengan Ifedayo Olusegun dilihat terus dahaga untuk mendapatkan lebih banyak jaringan peribadi.

"Sekiranya dilihat kepada kedua-dua pasukan, jaringan 3-1 berpihak kepada KDA FC seperti mampu dicatatkan dengan Ifedayo dan Amirbek Juraboev seperti akan menggegarkan gawang pihak lawan."

359414401_657248669775161_8771514529626937125_n

Sabah FC boleh manfaatkan beraksi di laman sendiri, boleh meraih tiga mata disaksikan ribuan penyokong. — Facebook

3. Sabah FC vs Sri Pahang FC

Rahmi Jumriati — Sabah jangan leka

"Perlawanan yang sengit antara Sabah dan Pahang di aksi pertama di Darul Makmur pun mereka mencatat seri 1-1. Jika Sabah boleh manfaatkan beraksi di laman sendiri, boleh meraih tiga mata disaksikan ribuan penyokong.

"Namun, kelekaan pemain Sabah FC menjadi kerisauan lagi-lagi jika The Rhinos dah leading di separuh masa pertama. Datuk Ong Kim Swee perlu mainkan peranan ingatkan pemain jangan cukup selesa. Kelekaan seperti aksi menentang Kuching City jangan diulang semula."

Zikry Marzuki — Ramon mengganas lagi?

"Sukar untuk dijangka perlawanan itu memandangkan kedua-dua pasukan sering mencipta kejutan, baik dari segi ketajaman jentera serangan ataupun kegoyahan benteng pertahanan.

"Namun, berdasarkan rekod beraksi di tempat lawan, Sabah FC mampu mencatatkan kemenangan mudah 2-0 hasil jaringan Ramon Machado dan Saddil Ramdani."

358153575_804836581156998_1608024707179439221_n

Jentera pertahanan Penang FC boleh menjadi duri dalam daging untuk perlawanan menentang Gergasi Merah seperti kesilapan pada perlawanan menentang TRW minggu lalu. — Facebook

4. Selangor FC vs Penang FC

Rahmi Jumriati — Penang harus baiki pertahanan

"Kelebihan di laman sendiri boleh jadi kekuatan untuk Selangor FC. Jika melihat kepada statistik, skuad The Red Giants hanya kalah sekali di laman sendiri iaitu ketika aksi perlawanan menentang JDT. Sehubungan itu, Tan Cheng Hoe (TCH) pastinya tidak ingin merekodkan kekalahan dua kali berturut-turut selepas minggu lalu yang mana mereka kalah di tangan Pahang.

"Namun begitu, jentera pertahanan Penang FC boleh menjadi duri dalam daging untuk perlawanan menentang Gergasi Merah seperti kesilapan pada perlawanan lawan TRW minggu lalu. Manzoor perlu cari cara baiki kelompongan di pertahanan bagi mengelak Selangor berpesta gol."

Zikry Marzuki — Selangor kena elak kalah lagi

"Selepas prestasi terumbang-ambing, skuad Gergasi Merah pastinya lebih dahaga untuk mengumpul tiga mata penuh, lebih-lebih lagi apabila mereka beraksi di laman sendiri.

"Jaringan Brendan Gan dan Ayron del Valle semestinya akan membantu Selangor FC mencatatkan kemenangan 2-1 dengan Penang FC meraih gol sagu hati menerusi Alif Ikmalrizal."

358559344_284503454130037_360085795347844432_n

Perak FC yang hadir dengan pemain baru iaitu Luka Milunovic masih bergelut untuk mencari keserasian dalam pasukan. — Facebook

5. Kuching City FC vs Perak FC

Rahmi Jumriati — Taruhan pemain baharu

"Misi balas dendam menjadi motivasi Kuching City. Pasukan kendalian Irfan Bakti pastinya ingin meraih tiga mata selepas pada perlawanan pertama menentang Perak mereka tewas 0-2. Prestasi minggu lepas yang sedikit berkongsi mata bersama Sabah FC cukup menunjukkan peningkatan The Cats.

"Perak FC yang hadir dengan pemain baru iaitu Luka Milunovic masih bergelut untuk mencari keserasian dalam pasukan."

Zikry Marzuki — Sengat Afolabi & Wan Zack

"Kemarau untuk mencatatkan kemenangan dalam Liga Super akan terus melanda Kuching City FC apabila mereka menerima kunjungan skuad The Bos Gaurus.

"Kemenangan 2-0 semestinya akan diraih berpunca daripada gol Sunday Afolabi dan Wan Zack Haikal Wan Noor memastikan tiga mata dapat diraih skuad kendalian Yusri Che Lah."

358112875_645088424196513_3350720961519759160_n

PDRM FC mampu memberikan saingan sengit kepada skuad Sang Penyu. — Facebook

6. PDRM FC vs Terengganu FC

Rahmi Jumriati — Trio TFC beri sinar

"Masa depan Jordan Mintah masih samar-samar bersama Terengganu FC (TFC) tapi ramai berharap agar trio Hakim Hassan, Adisak dan Sony Norde akan memberi sinar baharu untuk TFC. Debut Hakim Hassan minggu lepas memberi impak pada serangan TFC.

"PDRM FC pula masih ada kekurangan di bahagian tengah seperti yang dinyatakan oleh penolong jurulatih minggu lepas. Kalau The Cops berhasil baiki bahagian tengah, pasti boleh jadi kejutan dengan TFC."

Zikry Marzuki — Saingan sengit The Cops

"Terengganu FC dilihat akan terus bergelut untuk berada dalam kelompok lima pasukan teratas apabila mereka seperti akan sekali lagi tewas kepada PDRM FC.

"Dalam aksi yang bakal berlangsung di Stadium MBPJ, Selangor, skuad Sang Saka Biru akan mencatatkan kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan Ahmad Nabil Latpi." — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram