Ceroboh bilik isteri orang, bekas pemain Perak FA mengaku tidak bersalah


Ahmad Shahrul Azhar Sofian mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor pada Isnin. — Facebook

SEORANG kapten skuad bola sepak kebangsaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor atas pertuduhan menceroboh bilik hotel didiami kenalan wanitanya, bulan lalu.

Ahmad Shahrul Azhar Sofian, 49, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah pada Isnin.

Ahmad Shahrul didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki bilik hotel wanita berusia 36 tahun yang juga isteri orang di Kelana Jaya, Selangor pukul 6 petang, 21 Jun lalu.

Bekas pemain Perak FA itu didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda hingga RM 5,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Ekoran pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Md. Kamal, mencadangkan jaminan RM6,000 terhadap tertuduh.

“Mangsa dalam kes ini ialah kenalannya. Syarat tambahan supaya tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan hingga kes selesai,” katanya.

Sementara itu, peguam bela Ahmad Shahrul, Datuk Suraj Singh memohon jaminan paling rendah atas alasan anak guam perlu menanggung isteri serta tujuh anak selain tiada risiko melarikan diri.

“Anak guam dalam jaminan polis ketika menerima panggilan dan terus hadir ke mahkamah, tidak cuba mengelak dan melarikan diri. Isterinya tidak bekerja, manakala enam daripada tujuh anaknya masih belajar.

“Rakan anak guam yang juga pekerja kontrak akan menjadi penjamin untuk pastikan kehadiran pada tarikh akan datang, selain tertuduh tiada kes rekod jenayah di mahkamah,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 serta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan, selain menetapkan 18 September ini untuk sebutan kes. The Star/NURBAITI HAMDAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram