MISI membalas dendam selepas Penang FC tewas 0-2 kepada Kelantan FC dalam aksi sebelum ini di gelanggang lawan pada 5 Mac lalu akhirnya terbalas apabila mereka menang tipis terhadap skuad The Red Warrior (TRW).
Dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang pada Sabtu, skuad The Black Panthers menang 4 -3 ke atas Kelantan FC.
Pada awal perlawanan menyaksikan skuad The Red Warrior (TRW) mendahului dengan jaringan gol daripada penyerang muda, Harith Akif pada minit ke-11.
Namun skuad Harimau Kumbang itu kembali bangkit dengan menyamakan kedudukan melalui sepakan percuma yang disempurnakan Hadin Azman pada minit ke-19.
Hadin sekali lagi menggegarkan stadium keramat pasukan tersebut dengan menjaringkan satu lagi gol pada minit ke-30.
Hujan lebat dan keadaan padang yang licin juga menyebabkan kedua-dua pasukan dilihat bergelut untuk beraksi atas padang namun ia tidak menghalang Rafael Vitor untuk menanduk tepat ke gawang skuad TRW dan menghasilkan gol ketiga buat Penang FC pada minit ke-41.
Harith Akif menjaringkan dua gol untuk Kelantan FC ketika bertembung dengan skuad Harimau Kumbang.
Kesilapan hantaran pemain pertahanan Penang FC pada akhir minit babak pertama akhirnya membawa padah apabila penyerang sayap import TRW, Natanael Siringoringo menjaringkan gol kedua pada masa tambahan.
Menjelang babak kedua, anak buah jurulatih Alfredo Vera tidak menunggu lama untuk mengejar kembali dan menyamakan kedudukan 3-3 dengan rembatan Harith Akif sekali gus mengikat kedudukan dengan jaringan seri.
Tersentak dengan jaringan itu, skuad kendalian Manzoor Azwira Abdul Wahid dilihat cuba melakukan serangan demi serangan dan akhirnya mendapatkan satu jaringan yang cukup penting meletakkan Penang FC berada di hadapan sekali gus meleburkan hasrat Kelantan FC membawa pulang tiga mata.
Namun, kemenangan yang diperoleh oleh skuad Harimau Kumbang itu tidak berjaya menambat hati sesetengah penyokongnya kerana prestasi jentera pertahanan yang sangat lemah.
"Alhamdulillah, tidak dimalukan pasukan Kelantan di laman sendiri. Yang penting 3 point itu yang diperlukan. Corak permainan totally out tanpa arah tuju. Entah apa pemain buat dalam latihan. Adriano dan Fane amat mengecewakan!, " kata Md Azie.
Seorang lagi penyokong Penang FC, Faiz Daud turut bersetuju dengan luahannya itu.
"Menang tapi game teruk," ulasnya ringkas.
Sementara itu, Muhammad Zulfahmi pula menyifatkan kemenangan pasukan kesayangannya itu hanya bernasib baik sahaja dan berpendapat pemain pertahanan skuad The Black Panthers kurang memberangsangkan.
"Pertahanan 'nazak' sangat... boleh kata hampir semua perlawanan ada bolos," tulisnya.
Bagi penyokong Kelantan FC, Hazman Roslan memuji cara permainan pemain muda Harith Akif yang berjaya meledakkan dua gol dalam perlawanan tersebut.
"Elok Kelantan FC tak perlu ada pemain import. Cukup sekadar Siringoringo seorang sahaja. Guna pemain muda pun sudah okay.
"Kadang-kadang pemain terlalu mengharapkan pemain import sampai tak boleh menunjukkan permainan yang baik.
"Kalau tak guna pemain import baru seronok tengok pemain tempatan bermain atas padang,"
Seorang lagi penyokong, Joe Mohammed turut memuji prestasi yang ditunjukkan Harith Akif.
"Walaupun kita kalah tetapi aku puji Harith Akif. Dia adalah hero kita pada malam ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram