BOLA sepak bukan sahaja diwarnai dengan khabar angin perpindahan dan kisah-kisah perlawanan atas padang, malah cerita luar padang turut menjadi rencah industri bola sepak tempatan.
Pelbagai insiden luar padang membabitkan kisah peribadi pemain bola sepak menjadi tatapan penyokong yang mengikuti rapat perkembangan mereka.
Ada yang melibatkan hubungan cinta, masalah disiplin dan pelbagai lagi kisah lain yang secara tidak langsung memberi kesan kepada imej mereka sebagai pemain bola sepak profesional.
Berikut Majoriti senaraikan pemain bola sepak yang pernah terpalit kontroversi dalam kerjaya mereka:
1.Ahmad Shahrul Azhar Sofian
Ahmad Shahrul Azhar Sofian, bekas kapten yang cukup sinonim dengan bola sepak Perak. — Agensi
Ahmad Shahrul Azhar Sofian yang juga bekas pemain kebangsaan berdepan tuduhan melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki bilik hotel didiami wanita berusia 36 tahun di sebuah hotel di Kelana Jaya, Selangor.
Laporan polis kemudian dibuat oleh seorang lelaki selepas mendapati bekas pemain bola sepak terbabit menceroboh bilik hotel sebelum bertindak agresif hingga menyebabkan berlaku kekecohan.
Kesalahan yang dilakukan oleh Ahmad Shahrul Azhar didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.
2.Rizal Ghazali
Rizal (kanan) didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya terhadap pertuduhan memukul dan merosakkan telefon bimbit milik teman wanitanya di sebuah bilik hotel baru-baru ini. — Bernama
Baru-baru ini, industri bola sepak tanah air dikejutkan dengan kontroversi melanda pemain bek kanan The Rhinos, Rizal Ghazali yang dipercayai mengasari teman wanitanya dikenali sebagai Dr Hana Rose.
Bekas pemain bola sepak kebangsaan itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap teman wanitanya dengan memukulnya di bilik sebuah hotel di Petaling Jaya pada 6 pagi, 7 Jun lepas.
Namun, pemain pertahanan Sabah FC itu mengaku tidak bersalah mengasari kekasihnya itu. Impak daripada kontrovesi tersebut menyebabkan Rizal menjadi bualan penyokong bola sepak tempatan buat seketika.
3.Amirul Hadi
Amirul Hadi ditahan oleh pihak polis di sekitar Johor Bahru, Johor selepas didapati memiliki bahan terlarang. — Agensi
Pada Julai 2022, penyokong dikejutkan dengan isu seorang bekas pemain skuad kebangsaan Malaysia, Mohd Amirul Hadi Zainal ditahan oleh pihak polis di sekitar Johor Bahru, Johor selepas didapati memiliki bahan terlarang.
Amirul Hadi ditahan kerana disyaki memiliki dadah jenis Methamphetamine.
Pemain yang dilahirkan di negeri pantai barat Malaysia itu pernah beraksi dengan tiga pasukan sepanjang karier bola sepaknya selain pernah menganggotai skuad kebangsaan bawah 23 tahun serta skuad senior kebangsaan.
Selepas bersara dari karier profesional, Amirul Hadi dikatakan terlibat dengan aktiviti bola sepak disebalik tabir tetapi tidak berpanjangan dan akhirnya dilaporkan ditahan pihak berkuasa kerana memiliki dadah sekali gus menenggelamkan namanya dalam industri bola sepak tempatan.
4.Safee Sali
Safee Sali pernah dikritik kerana memegang rokok ketika berada di Singapura pada 2014. — Agensi
Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali pernah dikritik kerana memegang rokok ketika 'lepak minum' bersama rakan sepasukannya di Singapura pada 2014.
Ekoran daripada itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut memberi amaran keras kepada pemain tersebut sehingga menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan penyokong.
Namun begitu, biarpun dihimpit kontroversi berkenaan, Safee berjaya menutup mulut pengkritik dan membuktikannya di atas padang apabila dikenali sebagai antara penyerang profilik yang pernah dimiliki Harimau Malaya.
5.Akhyar Rashid
Tangkap layar gambar sekumpulan lelaki termasuk Akhyar Rashid yang didakwa mabuk, seperti mana bertebaran di Twitter pada tahun lalu. — Twitter
Pemain sayap Johor Darul Takzim (JDT), Akhyar Rashid pernah didakwa bersama rakan sepasukannya di sebuah kelab malam berhampiran sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada tahun lalu.
Dakwaan itu dilontarkan oleh seorang pengguna media sosial yang dikenali sebagai tasbihwasl dan menurutnya, dia bukan hanya cakap-cakap kosong kerana terdapat bukti menunjukkan pemain itu sedang mabuk di sebuah kelab malam.
Namun begitu, ia hanya khabar angin semata-mata dan tiada bukti yang menunjukkan pemain tersebut mabuk seperti yang didakwa pengguna media sosial tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram