PERLAWANAN ke-16 Liga Super 2023 pada Ahad bakal menyaksikan berlangsungnya dua perlawanan membabitkan empat pasukan.
Tumpuan semestinya diberikan kepada pertembungan antara Sri Pahang FC dengan Selangor FC dengan aksi berkenaan bakal diadakan di Stadium Darul Makmur, Pahang.
Ini kerana kedua-dua pasukan berada dalam kelompok tiga pasukan teratas dengan skuad Gergasi Merah mempunyai kelebihan tiga mata berbanding lawannya itu.
Satu lagi aksi bakal menyaksikan Kedah Darul Aman (KDA) FC bertandang ke Stadium MBPJ, Selangor untuk bertemu PDRM FC.
Pertembungan kedua-dua pasukan sebelum ini menyaksikan skuad Sang Saka Biru membawa pulang tiga mata dengan dua insiden layangan kad merah terhadap Manuel Ott dan Nafuzi Zain mencuri perhatian.
Namun, selepas 15 perlawanan, kedua-dua pasukan mempunyai jurang yang besar dari segi kutipan mata serta kedudukan dalam Liga Super dengan KDA FC berada di tangga kelima sementara PDRM FC kukuh di tangga kelapan.
Jadi, untuk meramal keputusan perlawanan, wartawan Majoriti, iaitu Zikry Marzuki, dan Rahmi Jumriati Jono memberikan pandangan masing-masing.
Sekitar sesi latihan menjelang perlawanan menentang Selangor FC. — Sri Pahang FC
1. Sri Pahang FC vs Selangor FC
Zikry — Kelebihan di laman sendiri (2-0)
"Pertembungan di Stadium Darul Makmur, Pahang antara skuad Tok Gajah dan Gergasi Merah pasti akan menjadi perlawanan paling menarik untuk aksi Liga Super minggu ke-16.
"Tekanan boleh dilihat sebagai komponen penting buat kedua-dua pasukan memandangkan mereka berada cukup rapat dari segi kutipan mata setakat ini.
"Namun, sekiranya mahu memilih pasukan yang mampu mencatatkan tiga mata, Sri Pahang memiliki kelebihan bermain di laman sendiri berbanding Selangor FC.
"Kekalahan kepada Kuala Lumpur (KL) City merupakan satu-satunya perlawanan yang berakhir dengan skuad Tok Gajah tumpas di laman sendiri.
"Dari segi ramalan pula, skuad kendalian Fandi Ahmad seperti akan melakar kemenangan bergaya 2-0 dengan gol daripada Kpah Sherman dan Nor Azam Azih akan menghadiahkan tiga mata buat mereka."
Boakye dan Cheng Hoe (kanan). — Selangor FC
Rahmi — Teruja aksi Boakye (1-0)
"Melihat kepada prestasi pasukan, Selangor mampu menang namun dengan jaringan tipis 1-0 ke atas Pahang. Seri boleh jadi.
"Gandingan Ayron-Faisal akan tetap digunakan kerana pemain baru, Boakye masih mencari momentum dan menyesuaikan diri dengan Liga M.
"Kalau tengok rekod sebelum ini, Selangor menang besar 4-0 jadi untuk Piala FA. Dan mencatat seri 1-1 untuk game pertama di MBPJ. Jadi tiada masalah untuk Tan Cheng Hoe masih menggunakan skuad yang sama untuk tewaskan Pahang."
Bojan Ciger antara tonggak pertahanan penting skuad Kenari. — Bernama
2. Kedah Darul Aman (KDA) FC lawan PDRM FC
Zikry — Kelebihan kepada The Cops
Melihat kepada prestasi kedua-dua pasukan, PDRM FC mempunyai peluang lebih baik untuk mencatatkan kemenangan.
Walaupun kehilangan dua figura berpengaruh, iaitu Azzmi Aziz dan kapten, Azmi Muslim, skuad Sang Saka Biru dilihat tidak mempunyai masalah dan ia dibuktikan ketika mereka menang semasa aksi Liga Super menentang Perak FC.
Tambahan pula, dengan penyerang baharu KDA FC, Ifedayo Olusegun masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri, ia dilihat satu tugas sukar buat skuad kendalian Nafuzi Zain.
Jadi, ramalan untuk aksi antara PDRM FC dan KDA FC dilihat akan berpihak kepada tuan rumah dengan jaringan daripada Bruno Suzuki memisahkan kedua-dua pasukan.
Bruno (dua dari belakang) bakal memberikan ancaman kepada KDA FC. — PDRM FC
Rahmi — Ancaman Bruno Suzuki
"Melihat kepada prestasi kedua-dua pasukan, PDRM FC mempunyai peluang lebih baik untuk mencatatkan kemenangan. Saya ramal menang 1-0
"Kedah seperti bergelut untuk raih tiga mata jika beraksi MBPJ. Sebelum ni lawan Selangor pun mereka catat kekalahan. Lagi-lagi Nafuzi Zain masih mencari ramuan terbaik untuk membuat taktikal baharu dengan pemain baharu.
"Ifedayo juga dijangka akan sedikit bergelut kerana perlawanan pertama selepas hampir enam bulan tidak turun beraksi.
"Berbeza dengan PDRM, mereka masih dengan skuad sedia ada yang memang serasi dan walaupun baru kehilangan jurulatih, The Cops tidak mempunyai masalah untuk catat kemenangan. Bruno Suzuki sekali menjadi ancaman untuk pertahanan Kedah seperti kemenangan pada perlawanan pertama di Darul Aman. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram