Fans Selangor petik nama 'The Gladiator' Maghribi solusi benteng goyah Gergasi Merah


  • Podium
  • Rabu, 05 Jul 2023

Kekalahan memalukan baru-baru ini kepada JDT dalam kancah Piala FA membuktikan benteng pertahanan Selangor FC masih lemah. — Facebook/SelangorFC

WALAUPUN tampak cukup bersedia untuk menjadi salah satu pencabar takhta Liga Super, masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki Selangor FC.

Kekalahan memalukan baru-baru ini kepada Johor Darul Takzim (JDT) dalam kancah Piala FA membuktikan benteng pertahanan mereka masih lemah dan perlu diperbaiki lagi.

Manakan tidak, gandingan antara Quentin Cheng, Fazly Mazlan, Shahrul Nazeem Zulpakar dan Yazan Al-Arab dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Johor itu membuktikan skuad Gergasi Merah perlu mencari solusi segera.

Bagi sebilangan besar penyokong, penyelesaian terbaik yang boleh diambil adalah dengan mencari rekrut baharu sepanjang jendela perpindahan kedua Liga Super.

Setakat ini, Selangor FC sudah mengumumkan kehadiran penyerang kelahiran Ghana, Richmond Boakye-Yiadom bagi menguatkan lagi barisan serangan mereka.

340800356_624940625638098_6815792056115068291_n

Yazan dikritik kerana tidak mempamerkan aksi terbaik. — Facebook/SelangorFC

Namun, ia masih belum cukup untuk menggembirakan peminat setia kelab Lembah Klang itu apabila mereka mahu seorang pemain yang boleh beraksi di bahagian pertahanan atau mungkin juga bek tengah dibawa masuk.

Malah, ada juga yang mengharapkan pemain baharu itu akan dibawa masuk untuk menggantikan Yazan yang dilabel terlalu perlahan untuk menghentikan serangan balas pihak lawan.

Ketika ini, nama yang disebut-sebut sebagai pertahanan ideal untuk dibawa masuk ialah pemain kelahiran Maghribi, Amine Aboulfath yang beraksi bersama kelab Afrika, Wydad AC.

Perkara tersebut dikongsikan seorang penyokong Selangor FC, Irwan Mohd Rasid.

"Kalau dapat pemain ini di bahagian pertahanan sudah mantap. Amine Aboulfath pernah digelar 'The Gladiator' Maghribi.

"Cara permainannya juga 'keras' dan agresif. Speed (kelajuan) agak tinggi. Harga pun tidak mahal, siapa setuju," tulisnya.

Melihat kepada profil Amine, terdapat tiga kualiti yang dimilikinya untuk mengatakan bahawa dia merupakan calon terbaik untuk menggantikan Yazan, sekali gus menguatkan lagi benteng pertahanan skuad Gergasi Merah.

1. Boleh bermain beberapa posisi

Pemain Wydad Casablanca ini juga mempunyai kelebihan bermain dalam pelbagai posisi berbeza.

Amine yang juga bermain dalam posisi bek tengah itu mampu menggalas sebagai pemain tengah bertahan sekali gus memberikan kelebihannya buat dirinya dan juga pasukan.

2. Muda tetapi berpengalaman

Dianggap sebagai seorang pemain yang pintar dan berbakat besar, Amine merupakan pemain penting dan mampu memberikan kelebihan kepada pasukannya pada ketika ini walaupun baru berumur 25 tahun.

Pada masa sama, dia juga dikenali sebagai seorang yang lincah ketika berada di atas padang sekali gus mampu mengucar-ngacirkan permainan pihak lawan.

NYxIQMltXJtDL9ugKZqXbtOEOOvXeFaraiN06atr

Amine pernah diberi jolokan nama 'The Gladiator' kerana cara permainnya ketika berada di atas padang. — Agensi

3. Lasak

Dengan kualiti terbaik dimilikinya, pemain berketinggian 1.83 meter itu pernah diberi jolokan nama 'The Gladiator' kerana cara permainnya ketika berada di atas padang.

Sehubungan itu, kombinasi kekuatan fizikal, ketenangan dan keupayaan teknikal menjadikan Amine sebagai seorang pertahanan lengkap untuk menyarung jersi skuad Gergasi Merah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram