'YB Baddrol' dijangka pulang ke Kedah, tapi bukan bersama skuad Sang Kenari


  • Podium
  • Jumaat, 14 Jul 2023

Hubungan baik antara Baddrol dengan skuad Sang Kenari sememangnya tidak boleh dinafikan. — Facebook/KDA FC

BEKAS pemain tengah negara, Baddrol Bakhtiar mencipta kejutan dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air apabila mengumumkan dia sudah meninggalkan Sabah FC.

Keputusan tersebut dibuat dengan persetujuan kedua-dua pihak, namun sebab di sebaliknya masih tidak dikongsikan pihak pengurusan skuad Sang Badak.

Kini, khabar angin di media sosial kuat mengatakan Kedah Darul Aman (KDA) FC akan menjadi destinasi baharu buat pemain berusia 35 tahun itu.

Ia dikatakan berpunca daripada hubungan baik antara Baddrol dengan kelab Utara tanah air itu memandangkan dia pernah menghabiskan kira-kira 15 tahun dengan pasukan berkenaan.

Namun, perkembangan baharu mula dirasai penyokong seluruh negara apabila terdapat ura-ura mengatakan pemain tengah itu akan menamatkan kariernya.

WhatsApp Image 2023-07-14 at 18.58.05

Ciapan daripada dua wartawan ternama tanah air mengenai penglibatan Baddrol dalam bidang politik.

Berita itu muncul berikutan satu ciapan tersirat daripada wartawan tanah air, Hafizal Hamad selepas pengumuman daripada Sabah FC yang cukup menjadi topik perbualan hangat ketika ini.

"Bintang bola sepak negara bakal diumum sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN). Dengar cerita untuk Perikatan Nasional (PN)," tulisnya.

Ia turut dipersetujui seorang lagi wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam yang seakan-akan mengiyakan hantaran daripada Hafizal.

"Sabah FC ucap selamat tinggal kepada kapten Baddrol Bakhtiar yang dilepaskan menerusi persetujuan bersama dan seolah-olah menceburi bidang politik berdasarkan ciapan Hafizal Hamad," katanya.

Kedah merupakan salah sebuah daripada enam negeri yang akan terlibat dalam pilihan raya kali ini dengan hari penamaan calon bakal diadakan pada 29 Julai.

Berdasarkan laporan dari Berita Harian, Baddrol dijangka bertanding dalam PRN atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Sekiranya diletak sebagai calon PN pada PRN akan datang, dia dijangka berhadapan lawan daripada bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Mohammed Firdaus Johari.

Mohammed Firdaus adalah anak kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul dan abang kepada Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari.

Untuk rekod pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, DUN Gurun dimenangi Johari yang mewakili Pakatan Harapan (PH) selepas meraih 10,732 undi, namun beliau mengosongkan kerusi itu susulan dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat pada Disember lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram