Lebih separuh pesawah Kedah rugi, hasil tanaman tak laku 


  • Massa
  • Jumaat, 14 Jul 2023

Isu tahap penyelenggaran infrastruktur yang kurang baik menjadi antara punca pesawah di Kedah mengalami kemerosotan dalam hasil yang diperoleh. — Gambar hiasan

DIANGGARKAN lebih 50 peratus daripada pesawah padi di Kedah terjejas dan mengalami kerugian sejak tiga musim lalu bermula 2021 ekoran kejatuhan jumlah hasil tanaman.

Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, rata-rata pesawah di negeri tersebut gagal mencapai jumlah hasil tuaian yang normal itu tuaian sekurang-kurangnya tujuh tan sehektar dalam tempoh tersebut.

"Kemerosotan ini bukan berlaku setakat satu musim, tapi trend ini dah berpanjangan sejak tiga musim. Kalau dulu, dapat lapan tan sehektar, sekarang menyusut hingga jadi empat hinggga lima tan sahaja," katanya kepada Majoriti.

Menurutnya, kegagalan untuk mendapatkan jumlah tuaian yang sepatutnya iaitu sekurangnya-kurangnya tujuh tan sehektar menyebabkan petani tidak mampu menampung kos pengeluaran yang semakin meningkat sehingga mengalami kerugian.

WhatsApp Image 2023-07-14 at 4.25.06 PM

Exco PeSAWAH, Abdul Rashid Yob.

Abdul Rashid berkata, antara faktor utama berlakunya situasi tersebut adalah kemerosotan tahap penyelenggaraan infrastruktur saliran di negeri tersebut.

Katanya, ini kerana bajet diperuntukkan Kerajaan untuk kerja penyelenggaraan dikurangkan sejak 2021 ekoran pandemik Covid-19 daripada empat kali setahun kepada dua kali setahun.

"Bila kita tak selenggara dengan baik, akan berlaku banyak banjir walaupun hujan hanya berlaku dalam masa empat atau lima jam. Dulu tak berlaku," ujarnya.

Jelasnya, situasi itu diburukkan lagi apabila pesawah terpaksa menerima benih padi yang didakwa mempunyai kualiti mengecewakan daripada pembekal.

"Isunya benih padi yang dibekalkan itu kurang bercambah, Jadi bila padi tak tumbuh, terpaksa sediakan semula bendang mereka sekali gus menyebabkan kos pengeluaran yang perlu ditanggung mereka itu menjadi berlipat kali ganda," ujarnya yang menyatakan bahawa isu kualiti benih padi itu turut dirasai oleh pesawah di seluruh negara.

Untuk rekod, kerajaan melaksanakan sistem pelesenan dan kuota bagi tertentu terhadap syarikat yang menyediakan bekalan benih padi di seluruh negara.

One of the padi plots at Kampung Besar, Mukim Padang Hang near Gunung Keriang, Kedah. - G.C.TAN/The Star

Abdul Rashid berkata, sekiranya isu dihadapi pesawah itu tidak ditangani, ramai petani berkemungkinan membuat pilihan meninggalkan kegiatan tersebut. — Gambar hiasan

Abdul Rashid berkata, sekiranya beberapa isu yang dihadapi oleh pesawah itu tidak ditangani, tidak mustahil jika ramai petani mula berputus asa dan meninggalkan aktiviti tersebut.

"Kita takut ke depan nanti, tidak ada lagi petani yang mahu usahakan sawah sehingga tanah yang ada terbiar. Sekarang ini ini pun dah berlaku, ada petani di kawasan rendah dah putus asa, sebab mereka dah kehabisan modal untuk buat bendang," ujarnya.

Menurut Abdul Rashid, dianggarkan ketika ini terdapat seramai kira-kira 58,000 petani yang mengusahakan sawah padi di Kedah.

Kerajaan negeri Kedah sebelum ini dilaporkan menyasarkan untuk meningkatkan sumbangan pengeluaran padinya terhadap negara kepada 65 peratus berbanding 43 peratus ketika ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram