Bakal tak senang duduk, fans Kedah petik 2 nama untuk diganti dengan bekas penyerang Harimau Kumbang


  • Podium
  • Jumaat, 14 Jul 2023

Fayadh Zulkifli (kiri) dan Mohamad Al-Hafiz Harun ketika ini masih berkhidmat di bahagian sayap KDA FC, namun dikatakan menunjukkan prestasi kurang baik. — Facebook/KDA FC

LIGA Super 2023 yang kini memasuki pusingan kedua menyaksikan pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC mencetak 10 kemenangan sepanjang 16 perlawanan setakat ini.

Walaupun tewas dalam lima pertembungan, skuad Hijau Kuning masih berada di tangga keempat dalam liga domestik itu.

Ketika ini, pasukan Sang Kenari terus terbang tinggi dengan menunjukkan prestasi cemerlang apabila beraksi atas padang sejak pemain tengah bertahan import, Moses Atede menyertai KDA FC.

Semasa pertembungan skuad PDRM FC, bintang Nigeria itu dilihat mula menunjukkan hasil positif dengan pasukan itu dengan memperoleh kemenangan pada saingan ke-16 menewaskan skuad Sang Saka Biru dengan keputusan 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad lalu.

Selepas lulus ujian pertama bersama Kedah, pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar memberi petunjuk akan membawa masuk dua lagi pemain tempatan untuk menguatkan lagi skuad tersebut.

Walaupun namanya masih belum dapat dipastikan, teka-teki yang terus bermain dalam fikiran para peminat pasukan tersebut pastinya membuat rasa ingin tahu itu lebih kuat dan menebal.

Di sebalik keterujaan tersebut, peminat-peminat Sang Kenari sedang sibuk berbicara untuk menggantikan pemain sayap kiri skuad tersebut, Fayadh Zulkifli dengan penyerang sayap kanan, Faizal Talib untuk bermain di pasukan tersebut.

360097308_6447063718694511_5928992629132431964_n

Faizal Talib (kanan) memaaparkan prestasi yang baik semasa berkhidmat dalam skuad simpanan Sang Kenari. — Facebook/ KDA FC

Bukan apa, pemain berketinggian 1.6 meter itu tidak menyumbang sebarang gol mahupun assist sepanjang 16 perlawanan bersama skuadnya dalam musim ini.

Buat masa ini, walaupun Faizal Talib masih tidak bermain untuk Liga Super musim ini, namun sumbangannya ketika berkhidmat untuk KDA FC B berjaya menempatkan pasukan tersebut pada kedudukan ketiga Kumpulan A Piala MFL baru-baru ini.

Dengan prestasi yang ditunjukkan oleh skuad simpanan itu, tidak hairanlah para peminat Sang Kenari mencadangkan agar pemain berusia 25 tahun itu diberi peluang untuk menyerlah dalam skuad utama KDA FC.

"Dia ini main KDA FC B memang bagus, patut bagi peluang main skuad utama," kata Nik Zakaria.

"Bagilah dia main (dalam skuad utama), takut tahun depan pemain yang bagus akan lari. Coach kena berani bagi dia main (kalau) tidak macam mana nak tahu dia ini okey atau tidak," kata Malik Malik.

Selain menggantikan Fayadh, seorang lagi peminat turut memetik nama Mohamad Al-Hafiz Harun sebagai seorang lagi pemain yang boleh digantikan Faizal Talib dalam kesebelasan utama skuad Sang Kenari.

"NZ (Nafuzi Zain) tolong bagi peluang kepada dia (Faizal Talib), rasanya dia lebih bagus daripada Fayyadh dan Al-Hafiz," kata Zul Kiflee. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram