
SABAH FC pada Jumaat membuat pengumuman mengejut apabila menyatakan pemain tengah merangkap kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar akan meninggalkan kelab itu.
"Keputusan ini diambil melalui persetujuan bersama Baddrol atas sebab yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
"Dia akan sentiasa menjadi legenda di Sabah FC. Segala komitmen, dedikasi, semangat dan motivasi yang diberikan sepanjang bermain bersama Sabah FC dan seterusnya menerajui Sabah ke AFC Cup 2023 akan sentiasa dikenang," kata kenyataan itu.
Musim ini, Baddrol sekali lagi menjadi tonggak utama skuad Sang Badak dengan mencatatkan 12 penampilan dengan empat gol dan tiga bantuan jaringan sudah direkodkan.
Bagaimanapun, sumbangannya pada 2022 pasti lebih diingati apabila dia menjadi 'tulang belakang' buat Sabah FC yang menamatkan saingan di tangga ketiga.
Tidak cukup dengan itu, dia juga sering diberikan pujian penyokong pasukan Borneo itu apabila Baddrol sering diberikan peranan sebagai ketua pasukan sekiranya Park Tae-su tidak diturunkan.
Setakat ini, tiada perkembangan mengenai destinasi baharunya dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC disebut-sebut sebagai kelab paling sesuai untuknya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram