KEMENANGAN 2-0 bermakna yang diraih Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi Liga Super ketika berdepan PDRM FC di Stadium MBPJ, Selangor pada Ahad.
Tiga mata yang diperolehi itu menyaksikan mereka mengukuhkan kedudukan di tangga keempat dengan satu mata membezakan kelab Utara tanah air tersebut berbanding Sabah FC.
Meskipun kemenangan berkenaan diraih hanya menerusi dua sepakan penalti, ia masih amat diraikan penyokong Hijau Kuning, lebih-lebih lagi dalam kalangan ribuan yang hadir ke stadium terbabit.
Antara perkara manis yang ditekankan adalah apabila penyerang baharu kelab, Ifedayo Olusegun beraksi dengan cemerlang sepanjang 90 minit berada di atas padang.
Tidak cukup dengan itu, penalti yang disempurnakannya pada minit ke-81 permainan mencipta kelebihan buat skuad Sang Kenari sebelum Lee Tuck kemudiannya menjaringkan gol kedua buat KDA FC.
Walaupun terdapat beberapa kesilapan yang dapat diperhatikan, rentak permainannya masih wajar diberikan pujian apabila ia merupakan penampilan pertamanya buat pasukan itu.
Jadi, dengan kelab Utara tanah air tersebut terus mendahagakan kemenangan untuk baki musim 2023, khidmat bekas penyerang Selangor FC dan Melaka United itu.
Ifedayo pernah memenangi Anugerah Kasut Emas Liga Super sebanyak dua kali.
Hasrat berkenaan juga dikongsikan ketua jurulatih Sang Kenari, Nafuzi Zain walaupun dia tahu bahawa pemain kelahiran Nigeria itu masih belum menampilkan potensi sebenar.
"Sebagai penyerang, yang penting adalah keyakinan buat Ifedayo. Saya rasa, untuk perlawanan pertama itu, persembahan yang diberikan agak baik.
"Tetapi, kita tahu, ia bukan tahap yang terbaik buatnya, namun saya percaya dia akan terus meningkat untuk perlawanan-perlawanan akan datang," katanya.
Nafuzi berkata demikian kepada Astro Arena dalam satu sesi temu bual yang diadakan sebelum pertembungan antara KDA FC dengan Kelantan United.
Sebelum ini, penyerang berusia 32 tahun itu tiba di bumi Kedah dengan status ejen bebas apabila dilepaskan skuad Hang Tuah pada penghujung musim lalu.
Bagaimanapun, ia tidak menghalang kegembiraan dalam kalangan penyokong Hijau Kuning itu memandangkan dia mempunyai reputasi cukup megah dalam Liga Super.
Nafuzi tidak mahu terburu-buru untuk meningkatkan prestasi anak-anak buahnya. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Dalam masa sama, jurulatih kelahiran Kelantan tersebut juga menegaskan lambakan pilihan bukanlah sesuatu yang cukup menggusarkan kerana dia tahu pendekatan pasukan lawan memainkan peranan lebih besar.
"Dari segi pilihan pemain, kita mempunyai banyak pilihan untuk perlawanan itu. Jadi, kita perlu tengok yang mana sesuai dengan pihak lawan, mungkin dia yang kita pilih.
"Kita tahu ramai pemain, terutamanya dalam kalangan import sedikit memeningkan kepala kerana mereka yang tak bermain akan berasa kurang senang dan tertekan," katanya lagi.
KDA FC bakal berdepan skuad Kijang Hijau dalam aksi Liga Super yang bakal berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah pada Jumaat.
Sekiranya berjaya mengumpul tiga mata di laman sendiri, skuad Sang Kenari berpotensi untuk merapatkan jurang antara mereka dengan pasukan di tangga ketiga, Sri Pahang FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram