Dollah Salleh pernah 'ikat' Liverpool tanpa khidmat bintang JDT


  • Podium
  • Jumaat, 14 Jul 2023

Malaysia seri 1-1 dalam aksi persahabatan menentang skuad The Reds. — Facebook/FAM

UMUM mengetahui Johor Darul Takzim (JDT) mempunyai barisan pemain berkualiti jika dibandingkan dengan kelab Liga Super lain yang mana rata-ratanya tonggak Harimau Selatan juga sering menjadi pilihan utama untuk membarisi skuad kebangsaan.

Namun lapan tahun lalu, bekas pengendali skuad kebangsaan, Datuk Dollah Salleh membuat kejutan apabila tidak menyenaraikan satu pun pemain Harimau Selatan dalam pasukannya menjelang aksi persahabatan menentang Liverpool di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Julai 2015.

Berdasarkan laporan media pada 17 Julai 2015, Dollah Salleh membuat langkah mengejutkan dengan mengenepikan bintang kelab juara bertahan Liga Super apabila menamakan 20 pemainnya untuk pertembungan menentang pasukan Liga Perdana Inggeris itu.

Ketika itu, beliau menggugurkan 13 pemain daripada skuad kebangsaan yang mempamerkan aksi hambar pada dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Timor Leste dan Palestin pada Jun 2015.

10 pemain JDT yang tidak berada dalam senarai pilihan pemain ialah Farizal Marlias, Fadhli Shas, Junior Eldstal, S. Kunanlan, Mahalli Jasuli, Safiq Rahim, Amri Yahyah, Safee Sali dan Nazrin Nawi (JDT).

Tiga lagi pemain turut mengalami nasib yang sama ialah penjaga gol pasukan Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat, Muslim Ahmad (PDRM), Indra Putra Mahayuddin (Felda United), R. Gopinathan (Pahang).

GAMBAR DALAM

Safee antara 13 pemain daripada skuad kebangsaan yang mempamerkan aksi hambar pada dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018. — Agensi

"Bagaimanapun, Safiq dan Amri diminta untuk bersedia dipanggil menjalani latihan bagi menggantikan mana-mana pemain jika terdapat kecederaan di kalangan senarai 20 pemain yang dinamakan," menurut kenyataan dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika itu.

Di bawah tekanan berikutan keputusan buruk Malaysia dalam kempen Kumpulan A pusingan kedua Piala Dunia 2018 Zon Asia bulan lalu, Dollah ketika itu berjanji akan mengambil tindakan drastik.

Oleh sebab itu, beliau memgambil keputusan memasukkan lima pemain baharu iaitu penjaga gol Zamir Selamat (Perak), Nazirul Naim Che Hashim (Harimau Muda B), Baddrol Bakhtiar (Kedah) dan Norshahrul Idlan Talaha (Terengganu) untuk diturunkan pada pertembungan dengan skuad kendalian Brendan Rodgers.

Dollah turut menamakan lima pemain import, iaitu Ali Ashfaq (Maldives), Robert Cornthwaite (Australia), Thiago Junio ​​Aquino (Brazil), Dickson Nwakaeme (Nigeria) dan Zah Rahan Krangar (Liberia) untuk memperkuatkan pasukan.

Mankala, pemain pertahanan Pahang, Razman Roslan pula menarik diri atas sebab peribadi.

Rentetan daripada keputusan drastik yang dilakukan Dollah itu terutamanya menyingkirkan pemain JDT, ramai pihak menuntut penjelasan daripadanya namun bekas jurulatih Sri Pahang itu tidak menjawab sebarang panggilan telefon.

Malah, bekas pemain kebangsaan itu juga hanya menghantar senarai pasukannya kepada akhbar melalui e-mel.

Pengurus pasukan kebangsaan Datuk Hamidin Mohd Amin ketika itu juga menegaskan bahawa pengguguran pemain JDT bukan disebabkan komen bekas presiden Johor FA, Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini.

Sebelum ini, Tunku Ismail yang meletak jawatan sebagai presiden JFA memberi komen bahawa pemain JDT tidak sepatutnya bermain untuk pasukan kebangsaan kerana mereka sering dikritik selepas setiap kali Malaysia gagal atau mempamerkan prestasi hambar.

“Dollah mahu mencuba beberapa muka baharu daripada pasukan lain. Dia tahu pemain JDT mempunyai kualiti dan tidak perlu diuji menentang Liverpool.

“Pemilihan pemain tiada kena mengena dengan komen Tunku Ismail. Lagipun, kita ada Safiq dan Amri dalam senarai siap sedia.

“Saya harap pemain baharu akan merebut peluang ini dan membuktikan mereka layak mendapat tempat dalam pasukan,” jelas Hamidin yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Setiausaha Agung FAM.

Meskipun beraksi tanpa khidmat pemain JDT, Malaysia berjaya mengikat jaguh England itu dengan keputusan 1-1 hasil jaringan Patrick Ronaldinho Wleh untuk skuad negara manakala Jordon Ibe pula menyumbang gol untuk pelawat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram