MENJELANG jendela perpindahan kedua pada bulan ini, Kelantan United FC (KUFC) menjadi antara kelab yang rancak membuat kejutan dari segi kemasukan pemain baharu apabila mereka mengumumkan sudah menandatangani lima pemain import baharu, mengatasi semua pasukan lain.
Malah, difahamkan skuad Kijang Hijau itu bakal menampilkan satu lagi kejutan sebelum berkunjung ke Stadium Darul Aman, Alor Setar bagi menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Terbaharu, muncul khabar angin mengatakan bahawa pemain sayap lincah Terengganu FC (TFC), Muhammad Faiz Nasir bakal berhijrah secara pinjaman ke pasukan yang berpangkalan di pantai timur iaitu KUFC.
Desas-desus itu dikhabarkan menerusi ciapan di laman Twitter seorang pemerhati sukan, Zulhelmi Zainal Azam pada Rabu.
Walaupun agak sedih melepaskan dia ke kelab lain, namun demi kelangsungan kariernya, peminat berasakan keputusan itu adalah yang terbaik buat dirinya.
Berikut tiga sebab mengapa perpindahan Faiz ke KUFC bakal memberi sinar baharu sekali gus melonjakkan namanya di persada industri bola sepak tanah air :
1. Persaingan dengan Nurillo, Habib dan Mat Don di bahagian tengah
Faiz Nasir telah merekodkan 68 perlawanan sepanjang bersama skuad Penyu.
KUFC pada Isnin mengumumkan kemasukan pemain import baharu, Nurillo Tukhtasinov bagi memperkuat jentera tengah pasukan itu dalam baki saingan Liga Malaysia 2023.
Pemain berketinggian 1.72 meter itu menandatangani kontrak perjanjian yang akan berakhir pada Disember 2024 bagi mengisi kuota pemain import bebas untuk membantu TFC mengharungi saingan Liga Super, Piala Malaysia dan juga Piala AFC.
Persaingan dengan Habib Haroon, Liridon Krasniqi (Mat Don) dan Nurillo dilihat menyukarkan lagi untuk Faiz menembusi kesebelasan utama skuad Sang Penyu.
Dengan kehadiran pemain import baru Peteh dari Uzbekistan itu dalam jendela perpindahan kali ini akan menyebabkan pemain itu kurang menonjol di atas padang.
Justeru, beraksi di kelab lain merupakan alternatif untuk dia terus mendapat minit permainan sekali gus mengekalkan menjadikan dirinya antara pemain yang masih relevan atas padang.
2. Mengekalkan persembahan memberangsangkan pada musim ini
Faiz Nasir pernah menerima jolokan 'Messi Terengganu'.
Faiz Nasir yang juga terkenal dengan gelaran Messi Malaysia dan Messi Terengganu telah merekodkan 68 perlawanan sepanjang bersama skuad Penyu.
Untuk rekod, dia diturunkan sebanyak tujuh kali sebagai pemain gantian dari bangku simpanan, manakala sekali dalam kesebelasan utama dalam saingan Liga Super musim ini.
Dia tidak disisihkan daripada skuad walaupun agak berusia, jadi penting untuk dia mengekalkan persembahan dan kecergasan sedia ada dengan bermain di kelab lain demi kelangsungan kerjaya.
3. Pengalaman kurang diberi perhatian
Demi kelangsungan karier, peminat berasakan keputusan Faiz Nasir ke KUFC adalah yang terbaik buat dirinya.
Faiz Nasir merupakan antara pemain yang matang dan mempunyai pengalaman beraksi di pentas domestik.
Namun begitu, dia dilihat kurang diberi perhatian berikutan wujudnya saingan daripada pemain lain yang lebih tajam dan menonjol.
Bagi sebuah pasukan yang baru naik ke divisyen pertama liga Malaysia, tidak ramai pemain yang berpengalaman seperti Faiz Nasir untuk menaikkan pasukan itu ke kedudukan yang lebih baik.
Adapun, pemain otai dalam pasukan Kijang Hijau itu antaranya Syazwan Zainon dan Indra Putra Mahayuddin yang masing-masing bermain di sayap kiri.
Jadi dengan adanya pemain berpengalaman seperti mereka bertiga, sudah tentu skuad kendalian Ailton Silva dapat memberikan saingan dalam mengharungi baki saingan Liga Super musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram