'Penalti adalah psikologi game', Fans Terengganu bidas komen Steinbruckner


  • Podium
  • Isnin, 26 Jun 2023

Penyokong Terengganu kecewa selepas Sang Penyu gagal layak ke peringkat akhir Piala FA. — Facebook/TFC

TOMISLAV Steinbruckner ternyata kecewa apabila pasukan kendaliannya tewas kepada Kuala Lumpur City FC (KL City) selepas Nik Sharif Haseefy dan Liridon Krasniqi gagal menyempurnakan sepakan penalti sekali gus tidak layak ke pentas akhir Piala FA 2023.

Perlawanan separuh akhir di antara Terengganu FC (TFC) dan KL City berlangsung sengit yang mana kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 0-0 selama 120 minit permainan.

Pengendali kelahiran Croatia itu selepas perlawanan ternyata tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewanya apabila ada beberapa pemain TFC yang enggan mengambil sepakan penalti.

"Saya sendiri minta Jordan Mintah tapi dia kata tidak. Saya minta Faiz Nasir untuk mengambil, dia kata tak mahu. Saya minta Hakimi kerana dia mempunyai kaki kiri yang bagus, tetapi dia tak nak. Awak beritahu saya sebabnya,” kata Tomislav selepas perlawanan menentang KL City pada Ahad.

Namun begitu, komen yang diberikan Tomislav dilihat seolah-olah memakan diri apabila lantang dikritik oleh penyokong-penyokong Terengganu.

Salah seorang penyokong sejati TFC, Piang Shankly menerusi laman Facebook miliknya pada Isnin membidas komen yang diberikan oleh Tomislav selepas anak-anak buahnya gagal menyempurnakan sepakan penalti.

"Bila dah habis 'extra time' baru nak pilih siapa yang ambil penalti, maksudnya persediaan tak sempurna dan teliti.

"Penalti adalah permainan psikologi, bila tak bersedia macam mana nak tenang dan dapat keyakinan diri.

"Kena ingat bola sepak sekarang sangat teliti, walau apa pun terjadi, jurulatih tak boleh salahkan pemain sendiri atau sebut kelemahan pemain sendiri depan media.

"Ada masalah, selesai dalam bilik persalinan atau pun secara peribadi," katanya.

LK

Liridon meminta maaf kepada penyokong Terengganu selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti. Facebook/TFC

Selepas perlawanan, Liridon menerima kecaman hebat dari peminat yang menganggap sepakan penaltinya terlalu perlahan yang mudah diselamatkan oleh penjaga gol lawan, Azim Al-Amin.

Walaupun Liridon sudah meminta maaf selepas perlawanan, penyokong TFC masih lagi belum mampu 'move on' dengan kekalahan di halaman sendiri.

KL City akan turun menentang sama ada juara bertahan, Johor Darul Takzim (JDT) atau Selangor di final Piala FA apabila kedua-dua pasukan itu akan berentap pada satu lagi aksi separuh akhir pada Isnin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram