Jangan letak kesalahan pada Mat Don, Tommy sebut 3 nama takut ambil penalti


  • Podium
  • Isnin, 26 Jun 2023

Antara reaksi kecewa pemain TFC selepas dikalahkan The City Boys di laman sendiri dalam aksi separuh akhir Piala FA pada Ahad. — Facebook/Terengganu FC

TERENGGANU FC (TFC) akhirnya menangis di laman sendiri selepas dibenam Kuala Lumpur (KL) City FC menerusi penentuan sepakan penalti 2-4 selepas kedudukan hingga masa tambahan terikat tanpa jaringan pada aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Terengganu pada Ahad.

Ketangkasan penjaga gol, Azim Al Amin Kamarudin menyelamatkan dua sepakan dalam penentuan penalti mengesahkan tiket ke pentas akhir Piala FA buat skuad Warga Kota.

Penjaga gawang berusia 21 tahun itu berhasil menyelamatkan tendangan penalti dari tonggak sayap kanan, Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim dan menjadi wira apabila menepis sepakan daripada pemain tengah, Liridon Krasniqi.

Selepas perlawanan berkenaan, penyokong rata-ratanya meletakkan kekalahan di hadapan 26,500 peminat setia itu di bahu tonggak naturalisasi tersebut susulan tendangan lemahnya ke gawang Warga Kota.

WhatsApp Image 2023-06-26 at 09.55.54

Steinbruckner atau lebih mesra dengan sapaan Tommy ketika memberi arahan kepada anak-anak buahnya di tepi padang. Facebook/Terengganu FC

Tidak mengulas mengenai tendangan dari Liridon, pengendali Terengganu, Tomislav Steinbruckner bagaimanapun meluahkan kekecewaanya terhadap beberapa pemain skuad Penyu yang takut untuk mengambil sepakan penalti.

“Saya sendiri tanya Jordan Mintah, dia tak nak. Saya tanya Faiz Nasir, tidak nak juga. Saya tanya Hakimi (Hakimi Abdullah) sebab dia sangat hebat menyepak, tidak nak juga. Awak bagi jawapan kenapa,” katanya kepada Astro Arena saat ditanya wartawan selepas sidang media pasca perlawanan.

Selepas luahan dari Steinbruckner itu, penyokong berpendapat bahawa ketakutan pemain lain memaksa pengendali dari Croatia itu meletakkan Liridon atau mesra dengan sapaan Mat Don untuk mengambil sepakan penalti.

Dalam pada itu, kemenangan tersebut menyaksikan skuad kendalian Bojan Hodak bakal menentang sama ada dengan juara musim lalu, Johor Darul Takzim (JDT) ataupun Selangor FC yang akan beraksi pada Isnin.

Sepanjang tiga tahun mengendali The City Boys, ini adalah final ketiga buat Hodak selepas membawa pasukannya dalam final Piala Malaysia 2021 dan Piala AFC 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram